Friday, October 29, 2010

Islamic Success Therapy

Sudah seminggu exam. Kepala masih pening. Mungkin terlalu stress banyak pelajaran yang perlu di ulangkaji, mungkin sebab masalah-masalah yang mendatang, cuaca, entahlah. Kadang-kadang terpaksa tidur jika tak tahan. Alhamdulillah, panggilan daripada ibu dan ayah sedikit melegakan apabila mendengar suara mereka. Kata ayah, mandi mula dari kaki dan makan panadol boleh membantu. Mula-mula tak nampak kesannya. Tetapi setelah beberapa kali cuba (sehingga saya suka mandi sekarang), alhamdulillah saya mula rasa cergas. Inilah nikmatnya Allah ciptakan air..

Sebagai mukaddimahnya, inilah tips yang saya cuba kongsikan untuk sahabat2.Tips yang berguna daripada Imam Syafi’e apabila menuntut ilmu ialah pertama mandi 5 kali sehari (mungkin sebelum solat 5 waktu), memakai wangian dan memakai pakaian dibuat daripada kapas (cotton). Mungkin sebab ini menyenangkan ilmu mudah diserap dalam kepala. InsyaAllah saya pun sendang cuba mengamalkannya. Semoga bermanfaat.

..................................................

Kerap kali kita jadi lemah semangat apabila menuntut ilmu. Saya juga kadang-kadang merasakannya. Ayuh, cuba kita selidik dan cuba cari apakah puncanya kita jadi begitu. Bagi saya, tidak ada jawapan lain yang boleh dijumpai selain rasa MALAS.

Daripada dulu sehingga sekarang memang itulah punca penyakitnya.

Antara akibatnya (saya cuba menyentuh dari perspektif mahasiswa) ialah pelajaran banyak tertinggal, tidak minat pelajari ilmu, kuliah dan kelas banyak tertinggal dan penghujungnya menjadi ketinggalan berbanding pelajar lain.

Saya tidak mahu menceritakan selebihnya tentang rasa malas ini sebab saya rasa kita semua sudah tahu dan merasainya. Tetapi apa yang lebih penting sekarang ialah cara mengatasinya. Kadang-kadang saya sendiri berasa sedih dan risau mengapa bangsa sendiri semacam ketinggalan pada masa kini. Yang lebih merisaukan ialah bangsa Melayu merupakan bangsa yang majoritinya beragama Islam. Semuanya berpunca dari malas.

Persoalannya, apakah Islam tidak mengajar erti rajin? Tidak mengajar erti kejayaan? Tidak mengajar kemajuan?

Tidak perlu kita buka kitab-kitab agama pun kita boleh jumpa. Melalui seruan azan “hayya a’lal falah” yang bermaksud marilah menuju kejayaan telah membuktikan betapa Islam mementingkannya. Jika tidak, masakan kita mendengarnya 5 x 4(azan dan iqamah) kali sehari.

Lihatlah betapa gemilangnya ketika zaman Rasulullah dan para sahabat, zaman para khalifah mentadbir negara dengan penuh alat dan teknologi yang belum pernah dicapai zaman sebelum mereka. Ilmuwan-ilmuwan yang bijak lagi bertakwa menghasilkan kitab-kitab seperti Al-khawarizmi, Ibnu Sina, Al razi dan lain-lain menjadi rujukan sehingga kini. Apakah ini belum cukup bukti Islam tidak mengajar kemajuan?

Untuk menyelesaikan masalah ini perlulah kita kembali kepada punca masalahnya. Tanyakan diri kita “Apakah kita sudah benar-benar Islam?” “Berapa jauhkah kita mengamalkan ajarannya?”. Marilah kita muhasabah kembali dengan harapan kita benar-benar sedar selepas saat ini. Teringat kata-kata mentor saya, Prof Dr Nabishah ketika mana saya gagal exam tahun lepas “sepatutnya kalau kita benar-benar Islam, kita tidak akan gagal.” Masa tu terkejut juga saya. Benar. “Kerana Islam mengajar umatnya bersungguh-sungguh, menepati masa, berdisiplin, jangan lalai dan fokus!”tambahnya lagi.

Benar sekali kata-katanya. Kita tak perlu pandang jauh. Cukuplah kita nilai solat kita. Kerana apa? Kerana solatlah bermulanya didikan perkara-perkara tadi. Jika kita teliti betul-betul antaranya:

1. Sebelum solat, pakaian kita mesti BERSIH.

2. Rukun solat yang pertama ialah niat. Niat kita mestilah kerana ALLAH

3. Ketika masuk waktu solat, kita hendaklah meniggalkan segala kerja duniawi. Ini mengajar kita MENEPATI WAKTU.

4. Ketika solat berjemaah kita diajar BERORGANISASI kerana adanya imam dan makmum wajib mengikut perintah imam.

5. Kemudian lurus dan rapat saf mengajar kita TERATUR.

6. Apabila solat, tidak boleh melanggar perkara yang membatalkan solat. Itu mengajar kita BERDISIPLIN.

7. Solat mestilah khusyuk. Tidak boleh lalai dan mengingati perkara lain. Itu mengajar kita FOKUS dan BERSUNGGUH-SUNGGUH.

Itu baru sedikit. Banyak lagi nilai-nilai lain sebenarnya. Saya nak tanya anda, apakah seseorang yang betul-betul melakukan solat seperti ini boleh berjaya? Tentu boleh jika semua aktiviti seharian dilakukan seperti solatnya. Ini dibuktikan oleh firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mukminun ayat 1 dan 2 yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Mukmin itu. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.”

Jika diteliti tentu sahaja solat boleh menghilangkan rasa malas. Kerana apa, setelah kita berhubung dengan Pencipta kita tentu kita jadi lebih bersemangat. Cukuplah seseorang itu jika dia benar-benar Islam, pasti dia tidak meninggalkan solatnya. Pasti dia solat dengan bersungguh-sungguh. Pasti dia akan berjaya dalam hidupnya. Pasti dia tidak melibatkan dirinya dalam kemungkaran kerana solat itu mencegah mungkar. Oleh itu marilah kita menjadi golongan ini. Bukan sahaja berjaya di dunia malah diakhirat kelak.

Sebagai seorang mahasiswa, tunggu apa lagi? Marilah kita melakukan perubahan dari saat sekarang. Mulakan dengan diri kita. Mulakan dengan perlahan-lahan jika kita rasa payah kemudian istiqamahlah. Niatkan kerana Allah kerana Allah sahaja yang boleh membantu kita.

Buktikan kepada orang bukan Islam yang kita boleh berjaya. Bukan atas nama bangsa, bukan atas nama sesiapa tetapi atas nama seseorang yang bergelar Muslim yang membuktikan ke-ISLAM-annya! Sambutlah seruan Hayya a’lal falah!

p/s: Semoga selepas ni solat kita lebih berkualiti dan seterusnya membuang sifat malas yang sememangnya merupakan kesukaan musuh tradisi kita iaitu syaitan yang benci melihat kita berjaya...(-_-)


Friday, October 1, 2010

Lamar lelaki langkah terpuji


ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya de­ngan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.

Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran.
Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup.

Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya.

Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita.

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh.

Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.

Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.

Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya? Mungkin kaum wanita mengang­gap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan.

Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.
Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasa­ngan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.

Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya...!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)

Pendakwah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.

“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.

“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.

“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.

“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.

Pahrol berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.

“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang sangat terpuji.

“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan.

Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.

Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada wanita.

“Wanita tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.

“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai pasangannya,” katanya.

Berdasarkan sejarah yang masy­hur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.

“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya Siti Khadijah.

“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.

“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.

Beliau menasihatkan perkara utama untuk mencari pasa­ngan ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.

“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat de­ngan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.

Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.

“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mung­kin Allah hendak selamat­kan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.

“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.

“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.

Beliau berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.

“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,” katanya.

dipetik dari Harian Metro 30/9/2010

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...