Thursday, April 14, 2011

Drama Bersiri : MAKBUL


Alhamdulillah. Kali ni nk share sikit. Pada setiap hari Khamis malam jumaat jam 9.00 malam ada cerita yg sangat menarik untuk ditonton. Siapa yang tak tengok cerite ni memang rugi la. Kat TV2 je. dah start awal 7 april 2011. tapi ada 15 episod. belum terlambat lagi! jgn miss criter ni yep!

Cerita ini mengisahkan tentang seorang Kontraktor , iaitu Anuar (Jalaluddin Hassan) , yang kurang mempercayai keberkatan serta penting doa dalam kehidupan seorang muslim. Namun bila ada krisis yang melanda syarikatnya, dan kebetulan beliau telah mendapat suatu tawaran tender (projek),itu telah membuka hati beliau untuk menaja 12 orang penduduk kampung mengerjakan umrah bagi mendoakan beliau di sana supaya dapat kelulusan dalam pinjaman banknya. Bol- seorang pemuda kampung lurus bendul yang sering diperlekeh, terlalu ingin menziarahi Makam Rasullullah, telah diberi peluang menggantikan Imam Rosdi untuk mengerjakan umrah, namun tidak dipersetujui Anuar merasakan doa Bol seorang yang lurus bendul dan tidak pandai membaca dan menulis itu tidak akan dimakbulkan.

Bagi ana, mesej yang disampaikan pada setiap episod jelas. Memberi keyakinan kpd kita tentang kekuatan sebuah doa. Pasti menyentuh perasaan punyer. Termasuk diterangkan bagaimana nk dakwah secara berhikmah pada orang yg kadang-kadang susah nk terima teguran kita. Cuma loghat kedah dia kuat sikit na..

Kalau xde masa nk tengok, dengar lagu dia pun best..simple tapi menginsafkan..


Lirik Lagu Tema Drama Bersiri MAKBUL : KU BERMOHON PADA MU :

ASTAGHFIRULLAH.. ASTAGHFIRULLAH..
ASTAGHFIRULLAHAL ‘ADZHIM.. AL LADZII LAA ILLA HA ILLAHA..
HUWAL HAYYUL QAYYUUM.. WA ATUBU ILLAIK..AMIN… AMIN… AMIN… AMIN…
KU BERMOHON PADA MU YA ALLAH..TETAPKAN IMAN KU SENTIASA PADA MU BERSERAH PADA MU SESUNGGUHNYA
SOLAT SERTA IBADAH KU HIDUP DAN MATIKU
HANYALAH UNTUK MU HANYALAH UNTUK MU
YA ALLAH..
LAILLAHAILLALAH.. LAILLAHAILLALAH.. LAILLAHAILLALAH..

KU BERMOHON PADA MUTIAP DETIK KU MENGHARAP KEBAIKAN MU LINDUNGILAH AKU SELAMATKANLAH
DARI SEKSAAN MU YANG AZAB SENGSARA
LAILLAHAILLALAH.. LAILLAHAILLALAH.. LAILLAHAILLALAH..

KU BERMOHON PADA MU
PERMUDAHKANLAH SEGALA URUSAN RAHMATILAH SEGALA PEMBERIAN KURNIAKANLAH AKU DUNIA DAN AKHIRAT
AMIN… AMIN… AMIN… AMIN


P/s: manfaatkan cerita mcm ni..sebab jarang ade..lagi elok daripada tngok cerita omputih tuu..

Wednesday, April 13, 2011

KYBMGYB

Kali ini suka saya nak kongsikan pengisian khutbah pada hari jumaat yang lepas. Seluruh masjid di seluruh negeri Selangor menggunakan tajuk yang sama. Cuma apa yang special kali ini ialah khatib ialah ahli majlis negeri Selangor yang datang sendiri memberi khutbah. Sungguh bertenaga sekali walaupun umurnya saya kira-kira 50 lebih. Setiap saat kata-kata beliau lontarkan penuh dengan bait-bait yang mampu menaikkan semangat setiap jemaah yang mendengarnya.

Alhamdulillah, saya kira khutbah jumaat semenjak akhir ini semakin segar tak kiralah dari segi isi, khatib, ataupun penyampaiannya melalui multimedia. Segenap jemaah yang mendengar kelihatan khusyuk dan saya lihat tidak ramai yang melelapkan mata. Tajuk khutbah pada kali ini ialah KYBMGYB-KELUARGA YANG BAIK MELAHIRKAN GENERASI YANG BAIK. Semoga beroleh manfaat~

Pada permulaan khutbah khatib melahirkan rasa bimbang dan risau terhadap apa yang sedang dialami oleh masyarakat masa kini. Walaupun maju dan canggih dari segi pembangunan tetapi masih mundur dalam aspek kekeluargaan. Kajian daripada JAIS menunjukkan daripada 64, 000 perkahwinan, sebanyak 35% bercerai pada 1-5 tahun usia perkahwinan mereka. Kemudian ia menunjukkan kadar terbanyak di dunia! Kemudian khatib menunjukkan kerisauan dengan masalah sosial anak muda seperti keruntuhan akhlak, pergaulan bebas, merokok, zina, buang anak dan macam2 lagi.

Mimbar jumaat menerangkan masalah ini berpunca daripada asasnya iaitu institusi kekeluargaan. Kerana pendidikan awal anak bermula dari rumah. Rata-rata masyarakat muslim kini mengabaikan pendidikan Islam di awal pendidikan anak-anak mereka. Ini kerana untuk membentuk peribadi muslim yang baik pada anak-anak bermula sejak mereka kecil lagi.

Khatib menegaskan bahawa pentingnya mencari pasangan yang baik dan asas perkahwinan mestilah dibina dengan asas-asas Islam. Niat untuk melahirkan rumah tangga yang sempurna mesti dimulai sejak awal perkahwinan lagi. Mereka mesti berniat untuk melahirkan zuriat keturunan yang soleh dan solehah. Bukan kerana hawa nafsu.

Sabda nabi ““Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat”. Melalui hadis ini mereka memilih pasangan menepati syarat ini untuk mencapai tujuan ini. Ibu bapa pula tidak sepatutnya menerima sahaja lamaran untuk meminang anak mereka tanpa menyelidiki latar belakang agama dan akhlak bakal menantunya.

Asas keluarga yang baik mesti mempunyai ketua keluarga yang baik dan beragama. Kerana dengan itu dia akan mendidik seisi keluarganya dengan bertepatan dengan syariat dan nilai-nilai Islam. Suami atau bapa mestilah menunjukkan contoh yang baik kepada isteri dan anak-anaknya. Bagaimana dia boleh mendidik anak menjadi baik sedangkan dia jahil dan tidak berpengetahuan tentang ilmu menjadi suami yang baik? Bagaimana dia bisa mendidik isterinya jika dia kurang arif tentang ilmu mendidik isteri? Khatib menzahirkan rasa kecewa dan risau terhadap masyarakat kini yang tidak berminat menghadiri satu kursus sekalipun tentang ilmu fiqh kekeluargaan yang dianjurkan oleh masjid termasuklah yang dah kahwin, ataupun yang merancang untuk berkahwin. Kebanyakannya dihadiri oleh ajk masjid dan warga emas sahaja.

“Wahai orang-orang yang beriman!, peliharalah diri kamu dan

keluarga kamu daripada api neraka, yang bahan-bahan bakarannya ialah

manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikatmalaikat

yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada

Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka

pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.

Dalam firman Allah surah At-Tahrim ayat 6 diatas jelas Allah menyuruh kita memelihara diri dan keluarga supaya menjauhi dari azab api neraka dengan menuruti ajaran Islam. Suami mesti tegas dalam mendidik anak dan isteri dalam mematuhi syariat Islam dan menjauhkan perkara-perkara yang membawa kemungkaran.

Sebagai seorang ketua keluarga mesti memerhatikan tingkah laku dan mengambil tahu hal anak-anak. Dengan siapa mereka berkawan, bergaul, ke mana, dan lain-lain. Ketua keluarga juga mesti memastikan setiap ahli keluarga menunaikan solat berjemaah kerana dengan itu kasih sayang dan silaturrahim akan terjalin. Ambillah masa seketika selepas solat berjemaah untuk member tazkirah kepada anak-anak akan tarbiyah islam. Kebanyakan anak-anak sibuk melayani rakan-rakan mereka di Facebook dan lain-lain sehingga kurang masa untuk bersama keluarga.

Anak adalah amanah yang dikurniakan oleh Allah. Penting untuk ibu bapa mencari rezeki dan pendidikan yang baik untuk anak-anak mereka. Tidak ada gunanya jika harta yang banyak tetapi datangnya dari sumber yang haram. Tidakkah mereka kasihan jika api neraka akan membakar setiap daging mereka yang tumbuh dari sumber yang haram. Jika mereka bersungguh-sungguh mencari sumber yang halal, insyaAllah anak-anak akan menjadi soleh dan mudah mendengar cakap.

Akhir kata, khatib mengajak semua jemaah supaya menghayati ajaran Islam sepenuhnya untuk mmbina rumah tangga yang sakinah dan bahagia. Suami yang baik dijadikan untuk isteri yang baik, akan melahirkan pula anak-anak yang soleh dan solehah. Kefahaman Islam yang jitu, kecintaan kepada Allah dan Rasul serta kesungguhan melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan merupakan benteng yang paling kukuh untuk menghadapi cabaran kehidupan manusia pada hari ini. Moga-moga kita tergolong dalam golongan hamba-Nya yang bertaqwa. Amin..

"Wahai Tuhan kami!, anugerahkanlah kepada kami isteri dan

zuriat keturunan kami sebagai penenang hati kami dan jadikanlah kami

pemimpin ikutan bagi orang yang bertaqwa”.

Wednesday, April 6, 2011

Ayuh soleh dan solehah!

Alhamdulillah. Setinggi syukur nikmat masa lapang yang diberikan oleh Allah, akhirnya dapat menulis lagi. Kali ini nak tulis artikel cinta. Sebenarnya saya tak berapa suka untuk menulis kisah cinta ni tapi setelah ditrigger oleh seorang rakan saya, saya menulis untuk kebaikan bersama. Katanya “untuk kebaikan ummah, kita yang faham ni kena beri peringatan kepada mereka.” insyaAllah syeikh, ana cuba sekadar yang mampu. Dari ayah : tulislah apa yang kau alami, rasai, dan perjuangkan. Jadi saya teruskan menulis…

………………………………………………….

Sedih melihat anak muda remaja masa kini walaupun berpakaian sekolah tetapi sudah berani jalan berpegang tangan bersama ‘couple’nya. Dengan tiada perasaan malu. Bangga sambil menarik tangan kekasihnya melintas jalan. Mungkin itu bisikan hatinya. “Aku sudah ber’punya’. Siapa tak ada lagi dia ketinggalan!” Manakala mata-mata yang memerhatikan (dari dalam kereta) seolah-olah biasa dengan fenomena tersebut. Hanya pandang sekilas tanpa rasa hairan, pelik dan marah jangan sekali. walaupun dalam hatiku sedang meluap-luap.

Kalau diikutkan hati mahu sahaja pergi menegur mereka. Tapi iman yang secebis ini hanya mampu membenci. Hanya membenci daripada takut dibenci. Dibenci apabila menegur kesilapan mereka. Lemahnya iman kita.

Anak muda mempunyai hati yang kuat. Semangat mereka dalam mencuba sesuatu yang baru sangat tinggi apabila usia mereka meningkat remaja. Tenaga mereka masih kuat. Jika disalurkan untuk sesuatu yang baik tidak mengapa. Yang dibimbangkan adalah mereka menyalurkan tenaga untuk perkara yang salah.

Rasa cinta

Fitrah semua manusia punyai rasa untuk mencintai dan dicintai. Sudah anugerah yang Allah berikan sejak Nabi Adam diciptakan yang mempunyai rasa berteman untuk berkongsi rasa. Lalu Allah ciptakan Hawa dari tulang rusuk baginda untuk memenuhi rasa ini. Namun, mereka bukan dianugerahkan rasa cinta untuk suka-suka sahaja. Ada matlamatnya. Mana mungkin nabi Adam boleh mentadbir muka bumi tanpa ditemani Hawa. Ringkasnya, anugerah rasa cinta adalah sebagai anjakan untuk mereka hidup bersama-sama memakmurkan dan melaksanakan tanggungjawab mereka mentadbir muka bumi ini. Matlamatnya sebagai khalifah dan sebagai hamba. Hanya cinta itu sebagai alat dan pelengkap untuk mereka laksanakan tugas itu.

Berbalik kepada perasaan anak muda teruna dan dara tadi. Apakah mereka bercinta kononnya untuk berumah tangga dan atas dasar tanggungjawab? Atau hanya suka-suka, mencuba, ikut adat dan cita rasa (nafsu)?

“sudah punya cewek?” seorang rakan bertanyakan saya. “tak ada..kenapa?”

“waduh, segerakan mencarinya..kok tiada teman mana bisa boleh belajar!” terang beliau kepada saya. seakan penting sangat. Ramai di antara mahasiswa yang sudah berpunya ‘teman’ kononnya untuk mereka bersama-sama belajar, memberi semangat. “kami hanya belajar bersama-sama!” alasan yang biasa. Namun tersirat seribu makna.

Dalam ajaran Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Walau niat baik mana sekalipun jika jalannya salah tetap menjadi perkara yang salah dan dikira berdosa. “saya couple juga tapi solat saya jaga.” Ada juga yang memberi alasan sedemikian. Jawapan saya senang je..orang yang betul-betul solat tak akan bercouple! Bukankah dalam al-quran ada menyebutkan bahawa solat itu mencegah daripada perkara buruk dan kemungkaran? Habis kenapa masih buat? Senang sahaja jawapannya, tentu ada something wrong dengan solat you! Jangan mencampurkan antara perkara yang hak dan batil dalam amalan kita. Kerana setiap perkara ada balasannya diakhirat nanti.

“kau tidak pernah merasai..kau tidak tahu bagaimana nikmatnya..” terang sahabat saya. “ye..nikmat tak nikmat, nafsu yang selalu dibelai tu la akan membawa kita ke neraka!” orang beriman adalah orang yang berjaya menundukkan nafsunya. Memang payah kerana di situ perlu mujahadah. Mujahadah itu yang membawa kita ke jannah. Sesiapa yang tak sanggup menderita di sini akan menderita di sana. Bukan saya tak pernah merasai, tetapi pernah juga. Tapi akhirnya saya mengaku cinta yang lahir itu bukan cinta sejati. Mengapa? Yang dirasai adalah nikmat bukannya rahmat.

Allah memberi kenikmatan kepada semua manusia. Tetapi yang mendapat rahmat-Nya hanyalah segolongan sahaja. Hanya dengan rahmat Allah sahaja yang membawa kita ke syurga.

Kajian membuktikan bahawa kebanyakan cinta yang dimulai sebelum perkahwinan banyak yang berhenti di pertengahan jalan dan akhirnya mereka berkahwin dengan orang lain dan yang tidak dicintainya. Remaja pada arus kemodenan ini ramai yang memilih untuk berkahwin dengan wanita yang mereka cintai. Tetapi mengapa kadar penceraian meningkat secara mendadak? Apakah itu disebabkan oleh cinta? Salah aku atau dia?Dan kajian terbaru membuktikan terdapat 1 penceraian akan berlaku dalam masa 3 hari. Inilah akibatnya kerana cinta, cinta, cinta, couple, couple, couple dan akhirnya benci, benci, benci..alasannya, tak sesuai, she’s not the right choice, rasa bosan dengan dia, bukan taste saya. memanglah, kerana semua kenikmatan rasa cinta telah dirasai sebelum berkahwin lalu apa yang mahu dirasai lagi selepas berkahwin? Renungkanlah. Semakin banyak kemanisan cinta yang dirasai sebelum perkahwinan semakin hambarlah cinta selepas perkahwinan.

Pelik cinta ibu bapa kita. mereka kahwin atas pilihan ibu bapa tetapi masih bertahan hingga ke tua..agaknya inilah indah cinta selepas kahwin..

Tragedi cinta

Cinta yang tidak didasari dengan hukum dan perintah Allah selalunya diakhiri dengan kekecewaan dan tangisan. Ramai yang akhirnya kecewa selepas dikecewakan. Buat yang pernah mengalami tentu merasainya. Betapa peritnya menerima kenyataan itu. berbulan-bulan, malah bertahun untuk menyembuhkan. Kembalilah pada cinta Allah. Allah yang berhak menerima cintamu. Dia tidak akan mengecewakan. Malah lebih menyembuhkan. Kau akan sedari kelak bahwa Dia mengajarmu erti kecewa untuk mendekatkan diri mu pada-Nya. Mungkin kerana dirimu begitu jauh dengan-Nya dahulu. Jangan jatuh dua kali dilubang yang sama.

“Habis, bagaimana saya mahu menyalurkan cinta ini di jalan yang halal dan betul?”. Jawapannya mudah sahaja…berkahwinlah. Itu sahaja jalan yang lebih suci dan dihalalkan oleh agama. Jika tidak mampu, berpuasa. Itulah ajaran daripada nabi kita. Mungkin ada halangan daripada ibu bapa atas dasar pelajaran. Jadi bagaimana? Focus cita-cita dahulu, kemudian baru cinta. “tapi mana boleh tahan..saya nak sangat ber’pasangan’”…bersabarlah. Allah lebih tahu saatmu sudah bersedia ataupun belum. Mungkin jiwamu masih belum bersedia. Persiapkanlah dirimu dengan bekalan ilmu dan fardhu ain. insyaAllah, apabila jiwamu sudah bersedia, kekasih akan tiba dengan sendirinya. Tak perlu lagi mencari, atau tercari-cari!

Akhir kata, saya menulis artikel ini untuk menyedarkan diri saya sendiri. Andai ada sahabat yang terasa, saya minta maaf. Sesungguhnya sudah tanggungjawab untuk menegur kesilapan sesama musilm. Saya tidak mengatakan bahawa saya sempurna. Saya juga insan lemah seperti anda. Guru kecewa itu yang akan menggerakkan kita untuk mengingatkan supaya jangan biarkan orang lain pun mempunyai nasib yang sama.

Berubahlah. Jadi lebih baik. Belum terlambat. Memang susah sebab berubah kepada kebaikan itu jalannya sakit. Meninggalkan sesuatu yang kita suka adalah yang paling sakit. Tetapi percayalah, sakit itu yang akan dibayar dengan pahala. Itu lebih kekal dan membawa kita ke syurga.

Couple tu halal di mata barat. Haram di sisi Islam. Sudah terang lagi bersuluh, mengapa kita masih berdegil? Buta mata atau mata hati yang ada di dalam dada?..peace no war..

Monday, April 4, 2011

Jadilah anggur yang bersabar

Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak menjenguk blog ini akhirnya diberi peluang untuk menulis kembali. Teringat kata-kata sang pujangga kebaikan itu perlu dimulakan berulang-ulang kali. Walaupun pada masa kita rasa lemah untuk melakukan sesuatu kebaikan itu, jangan sesekali hilang rasa untuk memulakannya kembali. Reflect untuk diri saya yang seringkali diri ini rasa lemah untuk menulis. Namun, syukur masih belum patah semangat untuk memulakannya kembali.

Pada kali ini tulisan saya biasa sahaja. Cuma ingin menghangatkan kembali jari jemari dan fikiran yang lama tidak menulis. Petikan dalam artikel kali ini banyak saya ambil dari tulisan saudara Umar M Noor. Cuma saya olah sedikit mengikut citarasa saya. Idea dan isinya bagus dapat meningkatkan semangat dan beri inspirasi kepada saya. Setiapkali membaca Solusi, beliau antara kolumnis yang menjadi idola saya. Mungkin isi dan ideanya agak sama tetapi tidak mengapa ianya diulang kerana bukankah peringatan itu perlu diingatkan berkali-kali? Selamat membaca…
…………………………………………………..
Jika mengikut perkembangan masa kini, pendidikan di Malaysia seakan ‘mendesak’ rakyatnya untuk maju kehadapan. Jika diamati, setiap pelajar perlu menghabiskan silibus pelajaran dalam tempoh masa tertentu dan di uji dengan kaedah peperiksaan untuk menilai pencapaiannya. Kaedah sebegini ada pro dan kontranya.. Mungkin ia memberi kelebihan untuk pelajar-pelajar naik ke peringkat yang lebih tinggi dalam masa yang singkat. Cepat sampai ke menara gading dan seterusnya memasuki alam pekerjaan. Namun, kaedah sebegini terdapat juga kelemahannya. Pelajar-pelajar yang kurang bijak atau lambat mungkin akan ketinggalan dan tidak upaya untuk mengejar sistem ini. Setiap manusia sangat berbeza dari segi keupayaan mereka. Ada yang cepat tangkap dan ada yang memerlukan masa yang lama untuk faham. Sebagai contoh, pelajaran matematik tambahan. Walaupun ianya susah pada sesetengah orang, jika diberi teknik yang betul pasti ianya menjadi mudah. Cuma bezanya untuk proses memahaminya bergantung pada setiap individu. Ada yang perlu latihan yang banyak baru dapat tangkap. Ada yang cepat tangkap walaupun baru diajar sekali. Polanya senang sahaja, sesiapa yang cepat, dia menang dan yang lambat kecundang.
Kaedah yang sedang kita amalkan sebegini kurang bertepatan kaedah sebenar menuntut ilmu dalam Islam. Setiap ilmu itu akan melahirkan amal seperti mengaplikasinya dalam alam pekerjaan sama ada berbentuk perkhidmatan ataupun menjana pendapatan sendiri. Kadang-kadang sudah menjadi persepsi dalam masyarakat mendidik anak mereka supaya cepat-cepat ke menara gading, cepat-cepat ke alam pekerjaan sedangkan mereka itu perlukan masa untuk membesar dan matang bahkan hal itu sebenarnya akan menekan dan merosakkan diri mereka. Mereka disibukkan dengan pelbagai perkara sehingga tidak sempat lagi menimba ilmu pengetahuan dan tidak dapat merasai kemanisan menuntut ilmu. Akhirnya menjadikan mereka lebih tertekan dan kebanyakannya tidak mencapai ke tahap yang diharapkan.

Walaupun sebilangan berjaya meneruskan pengajian mereka dan akhirnya memegang segulung ijazah, benarkah mereka itu sudah mencapai tahap yang tinggi dan matang dalam bidang ilmu? Terkadang kita melihat diri kita begitu besar dan matang apabila telah mencapai peringkat ijazah padahal sebenarnya diri kita masih kecil dan mentah. Untuk mencapai kedudukan ilmu itu sempurna dalam diri kita memerlukan proses yang bertahap dan ia tidak datang dalam masa singkat apalagi jika dalam keadaan terpaksa. Jika kita tidak sabar dan terkejar-kejar dalam hal seperti ini maka ini akan membantut proses kesempurnaan ilmu itu. ini penting untuk membentuk skill dan disiplin dalam ilmu tersebut sehingga melahirkan kepakaran yang sebenar.

Contohnya dalam bidang perubatan, untuk menjadi seorang doktor yang memiliki kepakaran dalam sesuatu bidang, ia memerlukan masa dan tempoh yang lama untuk mencapainya. Mencapai darjat kesempurnaan seperti ‘pakar’ dalam sesuatu bidang perlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Bukan hanya dengan status pangkat yang boleh kita bangga-banggakan. Kita memperkatakan aspek kualiti ilmu dan bukan kuantitinya.

Jika kita telah memiliki ijazah dalam bidang kedoktoran misalnya, namun ia tidak menjadikan anda seorang ahli perubatan yang sebenar sebelum kita merawat seorang pesakit dengan kepakaran yang ada. Kepakaran ini dapat dilihat setelah kita benar-benar sudah menguasai teknik tanpa masalah dan biasa berhadapan dengan pesakit walaupun dalam keadaan kronik bagaimana sekalipun. Apa pun bidangnya, coraknya sama, iaitu diperlukan latihan dan ketekunan yang berpanjangan untuk tiba ke tingkat kepakaran yang sempurna. Setakat membaca teori tanpa banyak berlatih tidak akan menerapkan sifat itu dalam diri.

Jadi, jalan menuju kepakaran itu panjang. Sesiapa yang menempuhnya dengan sabar maka dia akan menjadi seorang pakar yang disegani. Sebaliknya sesiapa sudah menjadi pakar sebelum tiba masanya maka ia sudah kering sebelum matang. Ucapan dan pendapatnya tidak mengandungi ilmiah sekali. Jangan bimbang jika kita lambat daripada orang lain kerana keupayaan diri kita tidak sama dengan mereka. Jangan lah mudah berputus asa dalam melakukan perkara yang baik kerana natijahnya Allah akan lebih menyayangi kita.
Jika kita tidak sabar untuk menjadi seorang doktor sebelum kita menguasai semua bidang ilmu yang perlu kita kuasai, ia bukan memberikan kebaikan malah merosakkan orang lain. Apa gunanya jika kita mangamalkan sesuatu tanpa ilmu dan hujah yang kuat? Bukan sahaja merosakkan orang lain malah diri sendiri kerana ini menyebabkan dia tidak sempat lagi menimba ilmu dan menjauhkan dirinya daripada peningkatan ilmu. “sesiapa yang ingin memiliki sesuatu sebelum masanya, maka ia diharamkan dari memiliki sesuatu itu”. orang seperi ini ibarat pokok yang belum ditanam dengan sempurna, maka buah yang keluar daripadanya pun tidak berkualiti.


Kesimpulannya, tekun dan bersabarlah dalam menuntut ilmu. Laksanakanlah arahan guru dan menerima tegurannya. Adakalanya kita sering dimarahi guru kita dan membuatkan kita rasa lemah. Tetapi sebenarnya untuk kebaikan kita supaya membetulkan kesilapan kita sendiri. Walaupun kita rasa hina, tetapi ini lah yang akan membawa kebaikan pada masa hadapan. Kemudian rasakanlah setiap ilmu yang ada bukan milik kita kerana ilmu tersebut tidak akan datang sekiranya Allah tidak memberinya. Jangan sombong dan berlagak dengan ilmu yang ada kerana tidak mustahil Allah boleh menariknya kembali. Semoga Allah menghidupkan ilmu itu dalam diri kita dan menempatkan kita di darjat yang tinggi di sisiNya di akhirat kelak. Amin..

Sahabat, andai diri ini terdapat kesilapan, tegurlah aku. Kerana fitrah manusia itu tidak lekang dari melakukan kesilapan..

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...