Tuesday, November 17, 2009

Hikmah Daging Korban


Allahuakbar, allahuakbar, allahuabar..walillahilhamd. Ya, raya korban bakal menjelma tidak lama lagi. Kalau kita lihat dimasjid, berbagai persediaan dilakukan untuk menghadapi hari yang mulia ini seperti menguruskan hal korban, akikah dan sebagainya. Manakala para jemaah haji pula sedang menunaikan ibadah haji di tanah haram. InsyaAllah, artikel pada kali ini suka saya nak berkongsi sedikit tentang persiapan kali ini. Pernah saya terbitkan artikel ini dalam risalah Pusat Islam semasa di matrikulasi dahulu.

Jadi, apakah persediaan raya kali ini? Rasa-rasanya tentu tidak sehangat raya puasa yang lepas. Tak mengapalah jika persiapan fizikal tidak sehebat mana, tetapi bagaimana dengan persiapan mental, fikiran dan jiwa? Sejarah raya korban ni banyak berkisarkan tentang sejarah nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail yang saya rasa ramai yang tahu. Inputnya tetap sama iaitu pengorbanan. Apa yang kita boleh ambil dari sempena raya korban ni? Adakah sekadar daging korban? pernah kita fikirkan hikmah di sebalik pengorbanan itu? Inilah yang kita akan bincangkan pada kali ini iaitu pengorbanan.

Pada kita pengorbanan itu sesuatu yang sukar dan mungkin terpaksa mengorbankan kepentingan diri demi sesuatu tujuan.

Sebagai contohnya sebagai pelajar. Banyak pengorbanan yang kita lakukan demi mencapai kejayaan seperti jumpa lecturer, hadir ke kuliah, buat tutorial dan berbagai lg. Namun hakikatnya untuk mencapai sesuatu yang berharga, banyak dugaan-dugaan yg kita perlu tempuhi.

Tetapi bagi umat Islam, kejayaan yang ingin dicapai adalah kecemerlangan di dunia dan akhirat. Maka, segala ibadah seperti solat, puasa, belajar (yang diniatkan kerana Allah) semuanya memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi kerana matlamatnya ialah mencapai keredhaan Allah dan mendapat balasan Syurga.

Ketahuilah bahawa syurga itu sesuatu yang sangat mahal dan berharga. Bukan calang-calang orang yang dapat memasukinya. Hanya iman yang betul-betul kental sahaja yg dapat layak mendapatkannya.

Apa yang saya nak kaitkan dengan erti pengorbanan kali ni? Ya, semua manusia tidak dapat lari daripada pengorbanan. Lagi-lagi pengorbanan sebagai seorang muslim yang selalunya mudah kita lupakan. Apa yang kita lakukan untuk agama kita hari ni? Biar saya perincikan, apa yang kita korbankan demi Islam hari ini? Adakah sekadar solat dan puasa sahaja? Tidak cukup, itu semua baru sedikit.

Cuba kita fikirkan, dalam sehari ada 24 jam. Berapa jam yang kita luangkan untuk beribadah? Cukupkah jika hanya 20 minit jika nak dibandingkan dengan hidup di syurga yang selama-lama nya? Jika nak dibandingkan amalan kita itu untuk masuk ke syurga rasa-rasanya sudah cukupkah? kalau semua yang kita lakukan itu betul-betul sempurna tidak mengapa, yang saya bimbangkan kalau tak.

Jika anda bijak, mesti anda akan lakukan alternative seperti melakukan ibadah2 tambahan. Macam study juga, untuk menguatkan pemahaman, anda mesti lakukan alternative seperti melakukan latihan tambahan, membuat nota, berbincang dengan rakan dan sebagainya. Dengan itu barulah kita akan mudah mencapai kejayaan. Walaupun ianya susah tetapi hakikatnya itulah pengorbanan. Selalu kita diperingatkan dengan kata-kata “jangan dipandang pada pahitnya usaha tetapi renunglah pada manisnya sebuah kejayaan.”

Oleh itu saya nak ajak pembaca sekalian,
Berkorbanlah untuk melakukan amalan ibadah yang boleh membantu anda mencapai kejayaan di akhirat kerana disitulah terletaknya kejayaan yang paling manis iaitu syurga. Di syurga semua nikmatnya manis-manis belaka. Oleh itu, kita perlulah menghadapi kepahitan ujian dan dugaan ketika didunia. No pain no gain. Buatlah amalan-amalan yang dapat mendekatkan kita dengan Allah, sabarlah menghadapi ujian yang Allah berikan kepada kita kerana ujian itu pada hakikatnya semacam ajakan Allah untuk mendekatkan kita pada-Nya.
Jangan tunggu tua baru nak buat kerana waktu tu kita sudah tak berkemampuan.
Rebutlah peluang masa muda ni untuk berkorban kerana waktu inilah tenaga kita masih kuat (seperti yang saya ceritakan dalam artikel sebelum ini). Tetapi awas dalam berkorban, jangan sehingga anda sendiri yang terkorban!
Rajin-rajinlah datang ke masjid memohon keampunan kerana masjid itu rumah kepada Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Menerima Taubat.
Jadi segala apa yang anda pohonkan pasti diperkenankan cepat.
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya AidilAdha dan selamat menjalankan ibadah “korban”!


KEJAYAAN DUNIA
bayangan kejayaan akhirat.
Selagi tidak berjaya di dunia
kita tidak akan berjaya di akhirat.
Di dunia kita menyemai.
Akhirat kita menuai.
Bolehkah kita memetik buah yang baik
jika pohon yang kering?

Monday, November 2, 2009

Kuatkan Mujahadah!!

Zikir pada petang itu seolah2 rasa lain macam. Hari-hari terakhir di matrikulasi benar-benar membuatkan ku rasa sedih. Memandangkan disini banyak kenangan bersama sahabat dalam membina ukhuwah dan bai’ah soleh bersama-sama. Ku terfikir sejenak pada nasibku sesudah memasuki alam university kelak. Pasti ianya penuh dengan rintangan dan cabaran memandangkan ujian dan dugaannya pasti berkali-kali ganda daripada apa yg ku hadapi ketika ini. Adakah aku masih dapat mengekalkan imanku? Adakah kemanisan zikir akan menjadi tawar selepas ini? Adakah aku akan mendapat sahabat2 yg begitu membangkitkan aku ketika aku lemah? Adakah lagi kata-kata tarbiah yang meningkatkan cinta pada Tuhanku?

“Salam syeikh, anta tengah fikir apa?” terkejut disapa oleh sahabat ana yg sekarang ni belajar di Mesir dari belakang dan duduk disebelahku. Petang tu orang tak ramai kat masjid. Hanya kami dan beberapa sahabat lain sedang beriktikaf di situ. Ada yang membaca al-Quran, bertafakur, usrah dan ada yg sedang sibuk mengulang kaji pelajaran di belakang. Oh, indah dan tenangnya pemandangan itu.

“Ana tengah fikir dugaan yg kita terpaksa tempuh selepas ini, ana sangat risau bila kita masuk ke universiti nanti, apa yang akan terjadi pada ana, takut2 ana tak jadi seperti yang sekarang ni. Ana dengar kawalan universiti tak lah ketat seperti dalam matrik sekarang ni. Pergaulan bebas. Perempuan boleh jumpa lelaki sesuka hati. Tiada lagi kawalan pihak universiti. Ana takut syeikh..”
Panggilan ‘syeikh’ merupakan panggilan mesra antara kami memandangkan kami saling menasihati dengan berbagai ilmu dan cara. Jadi setiap antara kami semacam ada ‘trademark’ cara tarbiah masing2 menyebabkan kami saling respect dan lagak seperti golongan ilmuwan. Kelakar jugak kalau fikirkan balik tetapi inilah manisnya persahabatan. Semakin hari, semakin rapat. Semuanya dengan nikmat ukhuwah dan petunjuk yang Allah berikan.

“jangan risau syeikh, anta lagi kuat daripada ana..” aku tersenyum. Sahabatku yg seorang ni memang seorang yang merendah diri. Kalau jadi imam, boleh cair kami mendengar bacaannya. Kalau memberi tazkirah didepan, boleh luntur hati yang keras ni.

“camnilah syeikh, kita pergi mana-mana pun, iman yang paling penting..”

“Itu ana tau, tapi takut sangat ujian yang kita terima nanti menyebabkan kita jadi lupa dan terus jadi binasa. Kalau kat sini, ana ade antum yang boleh ingatkan ana. setiap kali lepas kuliah, kita akan jumpa kat sini. Ana harap sangat ana dapat jumpa sahabat seperti antum bila masuk universiti nanti.” Tidak dapat tahan, air mataku mengalir jugak pada waktu itu..saat perpisahan memang menyedihkan tetapi apa nak buat, sudah lumrah kehidupan.

“InsyaAllah, ana akan doakan anta, kita sama-sama tak tahu apa yang akan jadi bila masuk university nanti tetapi ana harap anta bersedialah, tingkatkan iman anta sebab hanya iman yang kuat sahaja dapat menahan dugaan yang kuat..carilah sahabat-sahabat yang baik. Jangan risau kita umat Islam tidak berseorangan. Ana yakin pasti anta boleh..” usapan tangannya pada belakangku membuatkan aku rasa semangat semula. Seolah-olah ada nafas baru. Ya, aku tidak keseorangan. insyaAllah, aku pasti boleh..

“Tapi anta selalu kena ingat yang Allah sentiasa ada untuk memberi pertolongan setiap kali kita dilanda kesusahan. Kalau anta dah yakin dengan tu, ana jamin yang anta tak perlu takut apa-apa lagi. Yang penting amalan. Itu yang menguatkan cinta kita padaNya. Mohon pada Allah syeikh, bukan ana, bukan sesapa lagi. Ayah anta kan hebat, mesti boleh tolong..” Aku tergelak. Mulalah tu dia nak mulakan.

Kini, aku dilanda ujian yang sangat berat. Lebih berat lagi dengan masaku yg singkat menyebabkan masa untuk ibadah seolah2 menjadi kurang. Fikiran tidak dapat lagi fokus. Jiwa seolah-olah lemah. tetapi dalam hati aku yakin semuanya ini adalah dari Tuhanku. Kalau ini sahaja jalan yang dapat menujukan aku kepada cintaNya, aku rela. Jika sampai masa aku terpaksa berkorban, aku akan tetap berkorban. Moga-moga dosa yang aku buat akan terampun dengan pengorbananku ini. Aku yakin syurga bukanlah sesuatu yg mudah untuk dicapai kerana penghuninya tak ramai. Ya Allah, hanya Engkau sahaja dapat memberi pedoman untukku. Tiada siapa2 lagi. Jalan mujahadah memang payah, tetapi jalan inilah yang paling indah. Kerana setiap kemanisan pasti dirasai disepanjang jalan itu. Tiada penghujungnya kerana kita diciptakan untuk hidup selama-lamanya. Di dunia dan akhirat kelak. InsyaAllah..Jalanku adalah Islam, Tuhanlah yang menunjukkan jalanku. Ya Allah, redhailah aku dunia dan akhirat dan tempatkanlah aku bersamaMu dan pejuang-pejuangMu yang lain di syurga nnti.

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Lirik nasyid Muhasabah cinta dari EdCoustic…indah senikatanya, moga2 boleh kuatkan jiwa yg lemah ni..amin..
"When God is your friend, who is your enemy?"

Sunday, October 25, 2009

Wahai anak..


3 hari di Langkawi rasa seperti sekejap sahaja..namun, kenangan yg terpahat sangatlah mahal nilainya. Urusan program yg perlu diselesaikan dalam masa yg singkat di sana membuatkan badan begitu penat namun puas hati disebabkan layanan daripada pihak kampung yang mesra membuatkan semua keletihan seolah-olah berbaloi. Kenapa tiba-tiba saya menulis tentang kasih ibu? Padahal topik sebegini dah bosan, semua orang pun tahu. Tapi apa yg saya nak tekankan disini kasih ibu lah yang kita paling penting dan sering lupakan di kala kita sibuk dan dihimpit kerja.


Hari kedua di langkawi, saya dan beberapa orang organisasi saya pergi ke sekolah Nyior Chabang untuk mengusulkan program OPKIM fakulti kami kepada guru besar mereka. Tersentuh. Itu lah yang saya cuba ungkapkan daripada luahan hati seorang guru kepada kerenah anak-anak muridnya. Yang membuat saya betul-betul tersentuh apabila guru besar tersebut menerangkan cara menyedarkan anak-anak muridnya dengan suruh mengingati raut wajah ibu mereka betul-betul. Kebanyakan muridnya menangis dengan caranya itu sehingga saya sendiri yang mendengar pun turut mengalirkan air mata.

Betul-betul tesentuh. Ketika saya pening kepala sibuk menguruskan program, tiba-tiba ‘disuruh’ mengingati ibu. Sepintas dan sekejap kenangan segala kesusahan ibu terpintas di fikiran saya membuatkan hati jadi luntur. Itulah kuasa yang Allah berikan kepada semua ibu kita. Kekuatan. Kekuatan yang tidak ada pada seorang ayah. Ibu melahirkan kita dengan sangat kesakitan. Itulah pengorbanan mereka yang pertama. Sewaktu kita lahir, kita menangis, namun ibu gembira. Ketika kita ‘berjaga’ pada tengah malam, ibulah yang menemani kita. Kesusahan demi kesusahan (wahnan a’la wahnin) yang ibu alami sehingga sekarang semuanya atas dasar kasih sayang yang tiada tolak bandingnya.

Teringat ketika kecil, saya memang seorang yang suka keluar merayau, ponteng kelas, mencuri dan banyak lagi perangai nakal saya. Namun, ibu merawat ‘penyakit’ saya itu dengan merotan, memukul dan saya rasa itulah penawar terbaik sehingga saya ‘sihat’ sehingga sekarang. Jika tidak pasti saya tidak menjadi seperti sekarang ni. Namun, ada juga antara kita yang tidak mempedulikan semua itu. Ada yang lari dari rumah, mengherdik, memarahi ibu mereka atas sebab tidak dapat wang dan sebagainya. Perbelanjaan ibu kepada kita daripada kecil sehingga besar tidak pernah pun sedikit diminta dibayar(apalagi diungkit) tetapi anak sering berkira dengan ibunya. Sehinggakan memberi sedikit wang setiap sebulan kepada ibu pun sudah dianggap ‘lepas tangan’. Lebih-lebih lagi mengungkitnya apabila mereka susah.

Berbalik kepada cerita guru besar tersebut, beliau menceritakan betapa anak murid mereka tidak menghargai pengorbanan mereka pada Hari Guru. Tiada ucapan terima kasih pun yang diterima daripada anak muridnya padahal itulah hadiah buat guru yang paling bernilai. Jasa ibu yang menggunung tidak pernah pun dituntut supaya membayarnya namun apa yang diharapkan adalah kejayaan anak dalam hidup dan mengingat mereka setelah berjaya. Ibu tak sanggup melihat kita susah kerana sayang. Ibu tak nak kita malas kerana sayang. Ibu tak nak kita jadi bodoh kerana sayang. Ibu tak nak kita kelaparan kerana sayang. Ibu tak nak kita susah kerana sayang. Semua yang ibu buat daripada kita kecil, mula bersekolah, masuk universiti dan bekerja nanti semuanya adalah atas dasar kasih sayang. Tapi ramai yang kurang menyedari hakikat ini dan sanggup menderhakai mereka walaupun atas sebab-sebab yang kecil sahaja..
Janganlah sewaktu Hari Ibu sahaja kita memberi hadiah, mengingatinya. Setiap hari dalam fikiran mereka adalah memikirkan kita apalagi jika mereka duduk berjauhan dengan mereka. Telefon dan tanyalah khabar mereka. Apakah mereka sihat? Penawar rindu seorang ibu hanyalah dengan ingatan anak kepada mereka. Islam menyuruh kita mendoakan ibubapa kita setiap hari. Doakan kesejahteraan mereka setiap kali solat 5 waktu. Tidak perlulah hadiah yang bersifat sementara yang bersifat material kerana ianya tidak kekal. Dan ingatlah hadiah yang paling terbaik yang dapat diberikan oleh seorang anak kepada ibunya ialah menjadi anak yang soleh kerana itulah hadiah yang tetap kekal sehingga akhirat kelak! Ingatlah syurga dibawah telapak kaki ibu. Ketaatan kita kepada ibu kita yang menjamin kita ke syurga. Kederhakaan kita terhadap mereka akan menghumban kita ke neraka.

Pesan saya, setiap waktu walaupun dimana ingatlah wajah ibu kita, ingatlah kembali kenangan pahit manis kita bersama mereka, ingatlah setiap tangisan yang mereka alirkan kerana kita, kesusahan mereka membesarkan kita dan yang paling penting doa mereka untuk kita kerana itulah yang sering kita lupakan.

Akhir kata renung-renungkan senikata lagu Odei anak dari kumpulan raihan dibawah..

Wahai anak apakah kau mengerti
Betapa deritanya ibu yang mengandung
Aduhai anak apakah engkau tahu
Alangkah deritanya ibu melahirkanmu

Namun kelahiranmu adalah penghibur hati
Dibelai dan dimanja setiap hari
Di malam hari tidur tak berwaktu
Tapi tak mengapa kerana kau disayangi

Hari-hari sudah pun berlalu
Usiamu makin bertambah
Seorang ibu sudah semakin tua
Namun terus berkorban untuk sesuap rezeki
Agar sempurna hari depanmu

Kini kau dewasa ibumu telah pergi
Waktu yang berlalu seakan memanggil
Sudahkah kau curahkan kasih sayangmu
Apakah terbalas segala jasanya
Syurga itu di bawah tapak kakinya

Hanyalah anak-anak yang soleh
Bisa memberikan kasih sayangnya
Hanyalah anak-anak yang soleh
Bisa mendoakan hari akhiratmu

Wednesday, August 5, 2009

Muda saat terbaik dekati Allah

Dalam hati saya “Alhamdulillah, dia sudah mula menulis blog.” Dah lama saya nanti-nantikannya setelah agak lama sahabat saya ni seolah-olah ‘memendam’ idea mengenai remajanya itu. Itulah zaman muda, zaman yang saya kira agak gagah dan semangat untuk melakukan apa jua pekerjaan pun. Allah memberikan kita zaman muda sebagai satu nikmat yang sangat bernilai untuk kita sebenarnya. Cuba kita renungkan zaman remaja yang telah banyak kita lalui, semuanya meninggalkan pengalaman yang sangat baik untuk kehidupan kita. Daripada pengalaman itulah kita mula menjadi matang dan mula mengenali erti cabaran dan ujian dalam kehidupan.

Boleh dikatakan siapa yang tidak menikmati zaman muda memang sangat rugi. Sehinggakan orang yang sudah tua pun ingin muda kembali! Jadi pada kali ini saya nak menyentuh persolan saat muda kita. Mudah-mudahan dengan perkongsian kali ini kita lebih mengetahui apakah sebenarnya tujuan Allah memberi kita zaman muda ini. Semoga saya dan anda beroleh manfaat.

Dalam Islam, agama kita menitikberatkan zaman muda ini. Apa buktinya?

Pertama, sewaktu kita dipadang mahsyar kelak, kita akan ditanyakan tentang waktu muda kita dimanakah ia dihabiskan. Allah tidak tanya waktu tua kita. Jika kita lihat ahli syurga, semuanya Allah jadikan muda untuk merasai nikmat syurga tersebut. Kedua, ada hadis yang meyebut tentang naungan Arasy banyak disebut tentang pemuda. Antaranya, pemuda yang diajak berzina, pemuda yang menangis waktu malam dan lain-lain. Ketiga, banyak diceritakan dalam Al-Quran tentang ketaatan orang muda seperti Ashabul Kahfi, Ukhdud dan sebagainya. Begitu juga para nabi kebanyakannya orang muda. Keempat, nabi Muhammad juga bertahannuth (bersunyi diri) dalam gua Hira’ sejak muda lagi.

Ramai yang mengatakan hidup ini singkat sehingga merasakan tidak cukup waktu. para sahabat Rasulullah SAW. Mereka merasakan kematian boleh datang bila-bila masa. Mereka bersegera untuk lakukan kebaikan. Kata As Syahid Imam Hasan Al Banna: “Kerja kita lebih banyak dari masa yang ada.” Sebaliknya, manusia yang jahat juga merasakan tidak cukup masa untuk melaksanakan kejahatan. Banyak lagi yang perlu diburu oleh nafsu. Contohnya, orang Barat. Mereka kata, “life begin at forty…” . “Lelaki umpama arak . Makin tua, makin jadi!”

Hidup ini memang singkat. Kita lahir diazan dan diqamatkan. Kemudian kita pun hidup menanti waktu untuk disembahyangkan (mati). Jadi, jangkamasa hidup bandingannya hanyalah diantara waktu qamat dengan takbiratul Ihram yang pertama. Kata Sayidina Ali, “manusia tidur apabila mati, baru terjaga.” Tegasnya, kalaulah keseluruhan hidup itupun sudah singkat, apalagi muda yang hanya sebahagian daripada kehidupan lebih-lebih lagi singkat.

Banyak manusia yang tersalah anggap terhadap zaman muda ini. Ada yang mengangap muda untuk enjoy, tua nanti barulah taubat. Alasannya ialah muda hanya sekali. Sebenarnya 2 kali. Satu di dunia satu lagi akhirat nanti. Terdapat juga golongan yang menganggap muda untuk memburu kekayaan, kerjaya bukan beribadah. Itulah silapnya, jika mereka faham konsep ibadah, mungkin kerjaya mereka boleh dikira sebagai ibadah.

Semua tanggapan ini dibuat kerana tidak menjadikan Islam sebagai panduan. Semuanya untuk memenuhi kehendak nafsu semata-mata. Sebenarnya, zaman mudalah saat yang paling sesuai untuk dekati Allah kerana waktu inilah segala pekerjaan yang dilakukan dengan tujuan untuk dekati Allah akan mendatangkan keuntungan. Allah tidak meletakkan keadaan lose-win apabila manusia beribadah kepada-Nya. Semuanya dalam keadaan win-win (walaupun pada hakikatnya Allah tidak mengkehendaki sebarang kemenangan). Tegasnya, manusia akan mendapat untung dalam mendekati Tuhan. Inilah yang terbaik yang telah Allah tetapkan untuk kita.

Sebabnya?

Pertama, nafsu kita mudah dididik dan dilatih sewaktu muda. Nafsu manusia sentiasa mengajak kepada kejahatan. Lawannya adalah mujahadah. Kata Imam Ghazali, “kejahatan nafsu umpama akar pokok, lebih mudah dicabut sewaktu muda.” Banyakkanlah amalan yang mendekatkan diri dengan Allah agar nafsu kita lebih terdidik kepada kebaikan.

Nabi Muhammad SAW bersabda, “jika umur sudah mencecah 40 tahun sedangkan kejahatan mengatasi kebaikan, bersiap-siaplah masuk neraka.” Hadis ini boleh dilihat secara congak matematik. 40 – 15 = 25. Ertinya, umur 40 tahun (dalam kejahatan) tolak 15 umur (akil baligh) berbaki 25. Jadi 25 tahun dalam kejahatan. Kemudian 63 – 40 = 23. Ertinya, umur 63 (umur kebanyakan umat Muhammad SAW meninggal dunia) tolak umur 40 tahun (sipenjahat tadi mula bertaubat) berbaki 23. Jadi 23 tahun dalam kebaikan. Jadi logik kalau masuk neraka sebab lebih lama buat kejahatan daripada kebaikan.

Kedua, akal lebih mudah menerima ilmu sewaktu muda. Mengajar waktu muda ibarat mengukir atas batu tetapi mengajar waktu tua ibarat mengukir atas air. Waktu muda lebih senang untuk mengahafal, mengingat, belajar luar negara dan sebagainya.

Ketiga, jiwa orang muda lebih bersemangat waja. Orang muda lebih kuat semangat dalam mengharungi ujian. Jiwa yang kuat ini sangat diperlukan untuk mendekati Allah kerana jalannya banyak dugaan dan ujian. Perjuangan itu pahit, kerana syurga itu manis.

Keempat, faktor emosi akan memudahkan jalan mendekati Allah. Perasaan lebih mudah teransang sewaktu muda. Ini diperlukan untuk merasai kebesaran dan keindahan Tuhan. Tetapi sayangnya perasaan kita lebih banyak ingat perkara lain. Sayanglah.

Kesimpulannya, waktu muda adalah saat yang paling sesuai untuk dekati Allah. Teringat pula lagu yang pernah didendang oleh kumpulan Raihan yang menyebut 5 perkara antaranya muda sebelum tua. Jadi, janganlah kita berlengah-lengah lagi. Marilah kita sama-sama menggunakan zaman muda ini sebaiknya untuk mendekati Allah. Ingatlah, harga muda itu MAHAL disisi Allah. Seorang hamba sangat MUDAH mendekati Allah pada zaman muda jika dibandingkan dengan waktu tua. Lihatlah, betapa sayangnya Allah kepada kita kerana meletakkan sesuatu yang MUDAH pada nilai yang sangat MAHAL.

Monday, July 27, 2009

Muhasabah: Saat berpisah...

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak minta, maka perginya tidak diduga. Apabila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Apabila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabiskan bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji…tiba masanya pasti kembali!

Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:
“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah ke seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang...untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap…untuk bersabar.

Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangunlah kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan langkah menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan,jangan jadi lalat yang membusukkannnya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak menciptakan manusia bodoh. Tuhan menciptakan manusia dengan kebijaksanaan berbeza. Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.

Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut…katalah pada diri, apabila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu apabila berdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandang jalan yang lebih jauh merenang di hadapan. Ingatlah kata-kata ini:
“In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning.”

Sesunguhnya matu itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang, mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya…syurga! Amin.


Sumber: Majalah Anis Julai 2009

Friday, July 24, 2009

Panadol untuk hari esok!


Alhamdulillah, pagi ini dapat bangun juga walaupun masih pening-pening lagi. Semalam hampir tak larat nak bangun. Nasib baik rakan-rakan yang prihatin datang menghulurkan bantuan. Kalian memang best. Saya rasa betul-betul terhutang budi dengan mereka. Walau apapun, saya mesti bangun juga hari ini memandangkan peperiksaan mini test medicine society pada hari isnin ini rasanya rugilah kalau terlantar atas katil sahaja. Mesti fight! Bak kata mak, kalau kuat semangat nanti cepat sembuh..

InsyaAllah pada kali ini nak sentuh sikit pasal sakit memandangkan ramai juga kawan-kawan yang demam sekali. Semalam saya terima sms daripada adik yang mengatakan “Alamak, doktor pn sakit?” bengang jugak. Tapi agak tersirat maknanya kalau diamati betul-betul. Dalam perubatan, banyak juga kita belajar mengenai penyakit-penyakit yang banyak. Belajar sampai nak rak tapi akhirnya diri sendiri pun tak dapat nak elakkan kalau penyakit tu datang pada kita.

Terlintas di fikiran, betul juga, walaupun kita ini mempunyai ilmu yang tinggi dalam perubatan pun tetapi apa gunanya kalau hilang nikmat kesihatan? sebab itu Nabi Muhammad s.a.w ada mengingatkan kita tentang dua nikmat yang selalu dilupakan oleh manusia iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang. Apabila kita sakit, berbagai perkara kita tidak dapat buat, hilang selera makan, dan sebagainya. Apabila jadi begitu, barulah kita mula mengeluh “kan bagus kalau aku sihat, dapat buat itu, dapat buat ini..” ketika itu, jiwa seolah-olah baru sedar bahawa indahnya nikmat sihat.

Ketika itu, barulah nak merintih, Oh Tuhan, mengapa ini terjadi padaku?... barulah jiwa kita mula nak mengingati Tuhan, mulalah ingat nak beramal. Dapatkah kita yakin bahawa kita akan terus mengingati Tuhan apabila kita kembali sihat nanti? Jika ya, Alhamdulillah. Jika tidak, percayalah bahawa pada ketika itu bukan badan kita yang sakit tetapi yang sakit adalah jiwa kita.

Mengapa jiwa kita boleh sakit? Ingatlah kembali sewaktu kita sihat dulu. Muhasabahlah di mana kekurangan kita, amalan kita, ingatan kita pada Tuhan. Allah memberi kita sakit supaya kita kembali mengingatinya. Ia sebagai ubat kepada sakit kita itu. Samalah jika fizikal kita yang sakit. Oleh kerana badan kita berasal daripada tanah, maka ubatnya pun semuanya dibuat daripada unsur tanah. Ferum, natrium, magnesium dan lain-lain semuanya berasal dari tanah. Tetapi soal hati atau jiwa kita ini soal rohaniah. Jiwa kita perlu kembali kepada asalnya, iaitu kembali kepada Penciptanya iaitu Allah. Hati yang dekat dengan Allah akan tenang dan sihat semula kerana ia telah kembali pada fitrahnya.

Jika hati kita telah sihat, kita akan tetap dalam mengingati Tuhan sama ada kita ini sakit ataupun sihat. Jika kita sihat, kita akan bersyukur, kita akan banyakkan beramal, dan menggunakan nikmat sihat itu sebaik-baiknya. sebaliknya jika kita sakit, kita akan bersabar dan menganggap ianya sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita. Banyak sebab Allah menguji kita dengan kesakitan antaranya sebagai kifarah(bayaran) kepada dosa-dosa yang telah kita buat, Allah tidak mahu kita diseksa dengan azab akhirat yang lebih dahsyat kerana Allah menyayangi kita. Sepatutnya dengan sakit pun kita patut bersyukur.

Memang betul, agak susah untuk mengubat hati kerana sudah semulajadi ubat memang selalunya pahit. Jarang ada yang manis. Namun, untuk kembali sihat, kita kena tempuhinya jua. Apakah ubat hati? Mula-mula cubalah lazimkan diri menghadiri majlis ilmu yang mengingatkan kita pada Allah. Ilmu adalah penerang hati kita. Walaupun berat kaki ni nak melangkah, kuatkanlah diri seperti pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit. Kemudian mulakanlah amalan-amalan yang boleh merawat hati. Mengingati Allah adalah amalan yang paling utama seperti berzikir, solat dan membaca al-Quran. Janganlah kita meninggalkan solat kita kerana solat sebagai perhunbungan kita dengan Allah. Selain itu, dengan mengingati Allah, segala emosi kita akan kembali tenang. Ini sangat penting semasa kita sihat ataupun ketika kita sedang sakit. Ahli psikologi ada mengatakan emosi mempunyai pengaruh dalam menghasilkan antibodi dalam badan untuk melawan penyakit. Pesakit yang lebih kuat semangat mempunyai peluang sihat yang lebih cerah berbanding pesakit yang kurang semangat. Sebab itu doktor yang baik bukan sahaja dapat merawat fizikal manusia malah juga boleh merawat hati manusia.

Oleh itu, marilah sama-sama kita keluarkan ‘antibodi’ itu. Lawanlah penyakit hati seperti malas, risau dan sebagainya. Apakah ‘antibodi’ hati itu? Itu lah yang dinamakan iman kita. Apabila iman kita kuat, maka kita akan hadapi semua ujian dengan hati yang mengingati Allah s.w.t. Apabila iman kita sihat, hati kita sihat, kita tidak perlu risau terhadap apapun penyakit yang akan datang pada diri kita kerana pada waktu kita sudah pun menjadi doktor kepada diri kita sendiri!

Wednesday, July 22, 2009

Ber’nas’ yang tidak bernas


Artikel ini mengingatkan saya pada sambutan maulidurrasul yang lepas. Seperti biasa, kolej kami menganjurkan ceramah dan menjemput seorang ustaz utnuk menyampaikannya. Saya seorang ahli yang terlibat dalam mengendalikan majlis tersebut.

Pada permulaan ceramah, saya sempat memasang lagu nasyid selawat yang agak biasa dipasang dalam televisyen dan radio. Kemudian sesi ceramah dimulakan. Suasana agak riuh sedikit apabila ustaz tersebut membuat pernyataan bahawa selawat beramai-ramai adalah satu bid’ah. Kemudian, kebetulan selepas sesi ceramah akan diadakan selawat beramai-ramai menyebabkan ustaz itu melarang kami melaksanakannya. Saya cuma terdiam dan berbagai-bagai persoalan bangkit dalam hati. Saya tidaklah begitu mahir dalam soal bid’ah dan sunnah ini.

Tetapi persoalan yang dibawa oleh penceramah akan menyebabkan kekeliruan pada orang ramai tentang amalan selawat sama ada dibenarkan atau tidak. Saya tidaklah menentang persoalan tersebut tetapi masakan persoalan ini rasanya tidak sesuai dibawa ketika sambutan ini.

Hati saya penuh dengan persoalan. Kenapa tidak boleh berselawat? Adakah ianya perkara yang buruk? Apabila saya terbaca artikel ini, barulah saya jumpa jawapannya. InsyaAllah, semoga dengan perkongsian kali ni lebih memantapkan pemahaman kita dalam agama yang tercinta ini. Allahuakbar!
.......................................................................

Sebaik imam memberi salam, seorang lelaki gempal terus keluar daripada saf sembahyang dengan melangkah bahu para jemaah yang lain. Agak sedikit kasar kelihatannya. Ramai yang kurang senang dengan perlakuan itu. Ada pula yang mencemik dan mengerutkan muka.
Ketika makan di kantin selepas sembahyang, kebetulan lelaki gempal berkumis nipis itu duduk di sebelah saya.

“Mana nas yang awak semua doa ramai-ramai selepas sembahyang ni?” katanya tiba-tiba.
“Sudah maklum”
“Awak taqlid buta. Amal tanpa nas yang sahih adalah bid’ah. Setiap yang bid’ah sesat. Yang sesat terjun ke Neraka.”

Saya cuba tenang.
“Apa yang Rasul tak buat, kenapa awak buat?” asaknya lagi.
Saya diam. Nasi yang ada dalam mulut saya kunyah perlahan-lahan. Setelah menelannya saya bertanya, “Mana pula nas yang tidak membolehkan doa ramai-ramai selepas sembahyang?”
Dia diam. Tapi kemudiannya menjawab, “Tentulah ada…err…err..”
“Nampaknya kita lebih kurang sama. Sama-sama taqlid buta,” pintas saya cepat.
“Amalan bid’ah macam tulah yang buat Islam ketinggalan. Islam berpecah-belah,” joloknya lagi.
“Mengapa awak tergesa-gesa keluar tadi?” saya mengelak.
“Tidak mahu terlibat dengan bid’ah.”

“Baiklah, bagaimana pula sikap awak yang melangkah bahu dan peha orang lain tadi, ada nasnya?”
Sekali lagi dia mencemik.

“Kekasaran tadi telah mengganggu orang lain dan boleh menimbulkan prasangka. Itu benih perpecahan. Itu bukan amalan Rasulullah. Apa salahnya awak tunggu seketika dengan niat nak menghormati orang lain.”

“Tidak ada penghormatan pada pembawa bid’ah,” katanya.
“Kalaupun doa beramai-ramai satu bid’ah…bid’ah memecah-belahkan persaudaraan lebih besar daripada itu.”

“Apa nas awak?”
“Ukhuwah itu wajib. Berdoa selepas sembahyang sama ada secara sendirian atau beramai-ramai adalah sunat hukumnya. Apa salahnya kita mengalah tentang yang sunat demi memelihara yang wajib?”

Matanya bersinar-sinar. Tiba-tiba tangannya menghentak meja.
“Saya tanya mana nas?”
“Mana nas awak hentak-hentak meja depan ramai ni. Kan malu begini…Tenanglah.”
“Aah, saya anti bid’ah. Doa ramai-ramai, qunut, Sayidina dan tah apa-apa lagi…semua bid’ah. Mana hadis sahih mereka?”

“Masalah itu dah lama diselesaikan oleh imam mazhab yang lebih alim dan taqwa daripada kita. Kita sekarang berdepan dengan masalah kita sendiri.”
“Masalah apa?”
“Masalah ramai orang tak sembahyang. Kita bergaduh soal ranting, ketika soal pokok nak tumbang…Berbahas soal qunut, sedangkan masih ramai orang yang tak sembahyang Subuh…”
“Qunut bid’ah. Awak mesti tinggalkannya,” desaknya lagi.

“Saya rela tinggalkan qunut bila sembahyang berjemaah dengan awak nanti,” kata saya.
“Ei, macam mana tu, kejap tinggal kejap buat. Awak ni saya rasa kaki qunut ni..”
“Apa salahnya saya korbankan qunut demi menghormati awak. Bukankah Imam Syafie bila bersembahyang di masjid yang ada di dalamnya maqam Imam Abu Hanifah, dia meninggalkan qunut..”

“Mengapa?”
“Sebab Imam Syafie menghormati Imam Abu Hanifah yang telah wafat… semasa hidupnya Imam Abu Hanifah tidak mengamalkan qunut.”
Dia melopong.

“Ulama-ulama dahulu mementingkan persaudaraan daripada soal ranting. Sekalipun berbeza pandangan, mereka tetap hormat-menghormati. Itu di antara yang hidup dengan yang mati, apatah lagi sesama hidup…lebih-lebih lagi.”
“Tapi saya bencikan bid’ah.”
“Skop bid’ah luas. Jangan dalam hal-hal peribadatan sahaja.”
“Maksud awak?”
“Bid’ah juga terjadi dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain. Itu lebih merbahaya!”

“Bid’ah di bidang ekonomi?”
“Ya, bila ekonomi mengamalkan riba, penindasan, penzaliman, monopoli dan kerakusan. Itu lebih bahaya daripada qunut dan doa ramai-ramai…”
“Betul ke ni?”

“Bukankah Rasulullah tidak buat begitu. Bila Rasulullah tak buat, kita buat…Bid’ahlah namanya tu.”
“Itu hal dunia. Kita cakap tentang hal-hal ibadat. Ini hal Akhirat.” Katanya.
“Memisahkan antara dunia dengan Akhirat pun bid’ah. Itu tidak pernah dibuat oleh Rasulullah. Dunia itu sabdanya, adalah tanaman Akhirat…tidak boleh pisahkan.”
“Saya tak faham…”

“Riba itu haram, jika dibuat berdosa. Dosa dibuat didunia, balasannya di Akhirat…Sebaliknya berniaga itu halal, pahalanya dibalas di Akhirat. Itu dunia, itu jugalah Akhirat.”
“Saya keliru,” akuinya terus-terang.

“Tiidak mengapalah. Tapi saya ingin bertanya, pada pandangan awak, mana lebih merosakkan…qunut yang awak akatakan bid’ah itukah atau pengamalan riba?”
Dia diam.

“Awak nak cari nas ke?”
Dia diam.

“Al Quran jelas mengharamkan riba. Dalam Hadis begitu juga. Nas haramnya riba lebih mudah dicari daripada nas bid’ahnya qunut dan doa beramai-ramai. Cuba-cubalah cari.”
“Awak mesti faham saya bertekak soal nas ni kerana nak mempertahankan Hadis. Dah ada puak yang berani mempersoalkan kesahihhan Hadis!”

“Pada saya, bertekak soal nas inilah yang menyebabkan timbul golongan yang mempertikaikan Hadis. Sikit bid’ah, sikit Hadis dhaif. Akhirnya orang ‘frust’. Kata mereka, ah kalau begitu…lebih baik ambil Quran ‘direct’, susah-susah nak ambil Hadis kenapa? Nanti terkena Hadis dhaif, nanti dituduh bid’ah…”

“Apa awak cakap ni?”

“Ya, kerana pertengkaran tak habis-habisan tentang qunut, lupa kita memikirkan bagaimana nak ajak orang lain bersembahyang. Dan mereka itu pun tak ghairah mencontohi kita. Kata mereka, ah…orang sembahyang pun bergaduh, baik jadi macam kami yag sembahyang.”
“Berhentilah berbahas tentang nas. Kita ada nas, orang lain pun ada nas. Yang penting amalkanlah Islam dengan nas masing-masing. Tidak bernas kalau kita terus berbahas…nanti semakin berleluasalah amalan-amalann yang tidak ber’nas’ langsung!”

sumber: Ustaz Pahrol Muhamad Juoi

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...