Thursday, June 10, 2010

Maksud Kaya Hati

Apakah yang dimaksudkan dengan kaya jiwa atau kaya hati?

Kaya hati bermaksud, hati itu mampu bersabar apabila ditimpa kemiskinan dan mampu bersyukur apabila mendapat kekayaan & kesenangan. Dalam apa jua keadaan, orang yang memiliki hati sedemikian akan mendapat ketenangan dalam hidupnya. Ketenangan inilah yang menjadi asas dan teras pada kekayaan hakiki pada seseorang individu. Dan Maha Adil Tuhan yang telah menentukan behawa kekayaan hati itu dapat dimiliki oleh sesiapa sahaja tidak kira si miskin atau si kaya. Asalkan sahaja hati itu dihubungkan dengan Allah, maka hati itu akan tenang.

Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra’d:28)

Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenang dengan mengingati Tuhan?
Apabila hati mengingati tuhan maka seseorang itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa pada dirinya. Apabila ditimpa musibah, katalah kemiskinan, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan daripada Allah yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah. Walaupun dia telah berusaha gigih dan sekuat yang mungkin, jika ditakdirkan miskin…diterimanya ketentuan itu dengan hati yang sabar.

Dalam hatinya dia berkata “Takdir sentiasa atasi tadbir. Tentu ada hikmah disebalik kepahitan ini.” Dia tidak akan menyalahkan dirinya, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpanya. Kerana apa? Kerana dia sedar, sebagai hamba dia hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah.

Maka dengan keyakinan yang sebegini, seseorang itu akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan dia tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidupnya. Dia yakin, semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang daripada Allah (Yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kita diajar mengucapkan “innalillahi wa inna ilaihiraaji’un” – Kami datang daripada Allah dan kepada Allah jua kami akan dikembalikan. Tegasnya, ucapan ini mengingatkan kita bahawa kita adalah hamba-Nya.

Maka jika sedar akan hakikat itu, layakkah kita sebagai hamba untuk memberontak menentang ketentuan Allah?

Sahabat sekalian, kita sering mendapat kurniaan nikmat daripada Allah. Apabila kita mendapat sesuatu, kita diajar untuk mengucapkan terima kasih. Kita memuji pemberi tersebut. Begitu juga apabila Allah memberi kurniaan, kita diajar mengucapkan Alhamdulillah – segala puji bagi Allah. Sepatutnya kita merasakan apa jua pemberian itu datangnya darpada Tuhan. Jika tidak, kita mungkin ditimpa oleh dua kemungkinan – rasa sombong dengan pemberian itu atau belum puas dengan apa yang diberikannya.

Dalam hidup kita, kita tidak akan boleh lari daripada dua keadaan ini. Sama ada dalam keadaan senang ataupun keadaan sempit dan susah. Permasalahan yang timbul ialah bagaimana seseorang itu berdepan dengan situasi sebegini.

Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia pada hari ini, tidak kira di mana jua, sesiapapun(termasuklah saya), pada bila-bila masa pun, telah pun mengalami ‘sakit rohani’ atau sakit hati. Memang, itulah sifat sabar dan syukur yang jarang dimiliki oleh manusia.
Manusia kerap bersifat keluh-kesah apabila ditimpa musibah, tetapi lupakan diri apabila memperoleh nikmat. Oleh sebab itu, manusia sering berasa tidak tenang dan sering rasa menderita dalam apa jua keadaan pun. Dalam pepatah hukama ada mengatakan “Barang siapa yang tidak merasa cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak."

Orang yang sentiasa melihat pemberian itu daripada hati yang sihat, akan tahu erti kesabaran dan syukur dalam erti kata yang sebenarnya. Kekayaan hati dan jiwa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seorang manusia untuk berhadapan dengan 2 situasi itu. Apabila memperoleh nikmat, dia bersyukur, apabila menghadapi musibah dia bersabar. Dia percaya semua adalah ujian daripada Allah. Dalam dua keadaan, dia berjaya menghadapinya dengan tenang. Apabila dua kata yang berbeza bercantum akan menjadi satu. Dua kata itulah sabar (dengan ketentuan Allah) dan syukur (dengan pemberian Allah) akan melahirkan ketenangan hati yang sebenarnya.

Kesimpulannya, carilah kekayaan hati disamping mengejar kekayaan yang lain. Kaya jiwa bukan sahaja menjamin hidup kita diakhirat, bahkan menjamin keselamatan kita di dunia lagi. Ingat, Ketenangan didunia adalah bayangan kekayaan di akhirat. Bukankah hadis mengatakan ‘dunia adalah tanaman akhirat?’. Janganlah merebut kekayaan dunia kerana ia akan membawa kepada huru-hara. Dunia itu sentiasa menipu manusia. Sebab itu orang yang mengejar dunia semata-mata akan melahirkan hati yang tidak tenang dan sering memberontak dengan ketentuan Tuhan. Itulah yang dinamakan ‘miskin hati’. Sudahlah ‘miskin’ di dunia malah cerminan warga miskin di akhirat nanti! Nauzubillah…

“Carilah syurga yang disegerakan di dunia (Al-Jannatul Ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!” –kata ahli sufi-

Saturday, May 22, 2010

Musibah : Mesej daripada Ilahi

Sebuah negara yang menguji kekuatan pasukan tenteranya dan kehebatan senjata miliknya, sebenarnya sedang menyampaikan mesej kepada negara lain bahawa mereka kuat. Begitu juga dengan musibah yang menimpa penghuni alam ini, ia mengandungi mesej tertentu daripada Allah s.w.t.

Renungilah hikmah di sebalik musibah seperti berikut:
  • Melatih diri agar dapat bersabar.
  • Menyucikan hati daripada sifat-sifat tercela.
  • Menguatkan iman seseorang mukmin.
  • Agar manusia lebih dekat dengan Allah.
  • Mungkin Allah rindu untuk mendengar rintihan hamba-Nya.
  • Supaya darjat umat dapat ditingkatkan.
  • Musibah juga ditimpa akibat manusia memutuskan hubungan dengan Allah lantaran dosa-dosa yang melalaikannya. Supaya manusia dapat mengambil pengajaran dan hikmah disebalik musibah tersebut. Allah berfirman yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Kami telah menghukum (firaun dan) kaumnya dengan (mendatangkan) kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka mengambil pengajaran.” (Al-A’raf 7:130)
  • Musibah menguji tahap iman seseorang .
  • Indicator bahawa Allah itu Maha Perkasa dan manusia pula hamba yang sangat lemah dan tidak berdaya apa jua.
  • Musibah bagi menjadikan doa dan taubat itu betul-betul ikhlas. Manusia yang baru ditimpa musibah berada dalam keadaan yang lemah dan tawaduk. Ini boleh menghasilkan doa dan taubat yang tulus.
  • Membangkitkan orang yang diuji daripada kelalaian dengan nikmat dunia.
  • Kadangkala orang yang ditimpa musibah akibat perbuatan orang lain. Keadaannya ini dikira orang yang teraniaya. Maka Allah telah merahmatinya dengan mengurniakan doa yang makbul
  • Musibah sumber pahala dan kebaikan.
  • Musibah juga menunjukkan bahawa dunia ini hina dan tiada apa-apa jika dibandingkan dengan akhirat. Dunia hanya jambatan ke syurga atau ke neraka.
  • Sesungguhnya pilihan Allah ialah pilihan terbaik berbanding pilihan seseorang hamba. Begitu juga musibah, ia adalah pilihan Allah buat hamba-Nya.
  • Kadangkala manusia tidak tahu sesuatu perbuatan. Dengan adanya musibah, manusia dapat mempelajari sesuatu iaitu “akibat”.

Pengetahuan manusia yang terbatas tidak akan mampu menjangkaui pengetahuan Allah yg Maha Luas. sesungguhnya Dia lagi Maha Mengetahui akan apa yg terbaik utk hamba-hamba-Nya

Sesungguhnya artikel yang dipetik daripada solusi 19 ini betul-betul menyentuh hati. Betapa lamanya aku tidak sedar akan kelalaianku akan takdirnya. Aku selalu lupa bahawa kelemahanku sebagai hambaNya. Oh, dunia ini betul-betul telah menipuku sehingga kabur jalanku menuju akhirat. Semoga musibah yang kecil ini dapat tabahkan hati dan iman untuk menghadapi segala kemungkinan-Nya selepas ini. Ya Allah, sunggguh hambamu ini telah melupakanMu, semoga dengan ujian musibah ini Kau ampunkan dosa-dosa ku dan pandulah aku kembali ke pangkal jalan andainya aku ini telah jauh tersimpang dari jalan menuju redha-Mu. Ya Allah, terima kasih atas ‘mesej’ yang Kau berikan! .amin

Saturday, April 3, 2010

Erti Tawakal

Ya Allah...
dalam kembara ini KAU mengajarku erti tawakal
pada lambungan dan lenturan awan
ada takut dan harap
ada cemas dan tenang

Ya Allah..
terlalu rapuh rupa-rupanya imanku pada-Mu
terlalu jauh penyerahanku pada-Mu
aku takut ya Allah...
di mana aku di sisi-Mu?

Ya Allah...
pimpinlah aku
didiklah aku
terimalah aku
sebagai hamba-MU yang yakin
selalu menyerah kepada MU
dalam apa jua keadaan
di mana jua kedudukan
yang ku harap hanya KAU
rahmat dan pembelaan-MU
kemudi hatiku kian longlai
pelayaran ini terlalu panjang
kembara seakan tak berhujung
aku lelah...
KAUlah yang Maha Gagah
pada kelemahan dan keletihan ini...
kupohon KAU pulihkan
berilah aku kekuatan...
untuk kuteruskan perjalanan

p/s: All da best for exam..tomorrow..Usaha + Doa = Tawakal

TIBE (^_^)~

Monday, March 29, 2010

Boikot cara hidup Yahudi!

Ada yang memandang sinis usaha memboikot produk yang ada kaitannya dengan Zionis. Kata mereka, bukan musuh yang susah tetapi anak bangsa kita yang “merempat”. Apa tidaknya, memboikot barangan Amerika samalah menutup mata pencarian para pekerja Islam yang bekerja dengan syarikat-syarikat berkenaan? Amerika tidak sakit, kita yang tersepit. Boikot itu bukan caranya, dakwa mereka.

Ada pula suara sinis yang memandang enteng jerit pekik, maki hamun dan teriak semangat dalam demonstrasi- demonstrasi menentang Yahudi. Persis anjing menyalak bukit! Tel Aviv dan Washington tidak bergegar sedikit pun dengan luapan kemarahan jutaan umat Islam di seluruh dunia. Justeru, kaedah demonstrasi juga bukan cara yang tepat, kata sesetengah pihak yang lain.Namun, itulah sahaja tindakan yang dapat difikirkan dan dilaksanakan demi melahirkan kebencian dan kemarahan. Bukan soal berkesan atau tidak, tetapi apa yang mampu kita buat untuk melahirkan simpati dan empati kita terhadap umat Islam Palestin. Pokoknya mesti ada tindakan – “actions speaks louder than words.”Sebenarnya, Yahudi mesti dibenci dan ditentang mengikut cara yang sangat dibenci dan memudaratkan mereka. Apakah cara itu? Firman Allah:
“Sekali-kali Yahudi dan Nasrani itu tidak akan reda selagi kamu tidak mengikut cara hidup mereka.”
Ini rahsia “hati perut” Yahudi yang dibongkar oleh Allah SWT sendiri. Sekiranya umat Islam berjaya mengamalkan cara hidup Islam dan membuang cara hidup Yahudi, itulah sikap yang paling menyakitkan mereka.

Tegasnya, dengan mengamalkan sepenuhnya cara hidup bersyariat, itulah “demonstrasi” yang paling menyakitkan Zionis. Dan usaha “memboikot” cara hidup Yahudi – budaya hedonisme (berseronok-seronok dengan hiburan secara keterlaluan), pendedahan aurat, pergaulan bebas, arak, pengamalan riba, dadah dan lain-lain perkara yang haram, maka itulah kaedah yang paling ditakuti oleh Yahudi.

Boikot cara hidup Yahudi tidaklah sesukar mana. Contohnya, tidak sesukar kita membeli bendera Israel, pemetik api dan kemudian membakarnya tetapi cukup, sekadar tidak membakar… Jangan membakar rokok! Bukankah merokok itu membazir dan memudaratkan? Dan itulah juga industri yang paling banyak menyumbang kepada kekuatan Yahudi?

Marilah kita semarakkan cara hidup Islam, sepenuh dan seluruh. Insya-Allah, secara automatik Yahudi akan tertekan. Jangan hanya lisan sahaja yang membenci tetapi sebaliknya tindakan kita memuji. Justeru, membenci jangan hanya dengan emosi tetapi gunakanlah akal dan hati!

artikel diambil dari: genta-rasa.com

Tuesday, March 16, 2010

Fikir & Zikir

Assalamualaikum..

Cerita Kerbau Pak cik


Satu hari, seorang Pak cik telah kehilangan kerbau belaannya (teringat kerbau kat Langkawi). Kemudian beliau telah pergi mencarinya sehingga masuk ke hutan dan akhirnya bertemu dengan seorang budak yang sedang memancing di sebuah sungai dalam hutan tersebut. Lalu Pak cik itu pun pergi berjumpa dengan budak tersebut untuk bertanyakan kerbaunya.

“ Salam nak. Anak ada nampak kerbau Pak cik tak?” Tanya Pak cik tersebut.

“Oh, kerbau Pak cik yang matanya buta disebelah kanan, giginya ada yang patah dan kakinya tempang disebelah kanan itu ke?” Tanya budak tersebut.

“Ya. Ya. Benar sekali. Anak nampakkah dia?”

“ Tidak” jawab budak tersebut. Pak cik itu pun mula mengerut dahinya kehairanan.

“bagaimana kamu tahu sifatnya sedangkan kamu tidak nampak ia?” Tanya pakcik itu semula.

“saya tak pernah nampak kerbau pakcik tapi saya dapat bukti yang ia pernah ada disini dan saya boleh mengenalinya.” jawab budak itu dengan penuh yakin.

“Mana? Mana buktinya?”

“Itu.” Tunjuk budak itu pada sebuah semak yang berhampiran. “cuba pakcik lihat pada semak tersebut. Terdapat kesan gigitan binatang dan gigitannya tidak sekata. Ini membuktikan giginya ada yang patah.”

Pak cik itu pun mengangguk tanda faham.

“Kemudian, cuba pak cik tengok. Kebanyakan gigitan banyak pada bahagian kiri semak. Manakala bahagian kanan tidak terusik. Ini membuktikan matanya buta sebelah kanan. Ia hanya nampak yang kiri sahaja.”

“Benar-benar…bagaimana dengan bukti yang ketiga?”

“Bukti yang ketiga ada pada tanah. Cuba pak cik lihat pada kesan tapak kakinya. Sebelah kiri kita nampak tapak kaki tetapi pada bahagian kanan ada kesan seretan yang tidak bersambung. Pak cik faham tak?”

Akhirnya akurlah pak cik tersebut bahawa kerbau itu pernah ada disitu dan budak itu telah melihatnya.
Nie bukan kerbau sesiapa..hanya sekadar hiasan..huhu

Pengajaran cerita
So, apa yang kita dapat belajar dari cerita ini? First sekali untuk membuktikan sesuatu itu ada, tidak semestinya ia dapat dilihat. Tetapi melalui tanda-tanda atau bukti kita boleh pastikan yang memang sesuatu itu ada di situ. Cuba kita lihat dalam kes penyiasat pembunuhan. Penyiasat atau detektif tidak tahu siapa yang membunuh kerana dia tidak nampak pembunuhnya. Tetapi melalui bukti-bukti yang ditinggalkan oleh pembunuh, detektif boleh tahu siapa pembunuhnya.

Cuba kita kaitkan dengan ciptaan alam ini. Kita memang tidak nampak Penciptanya tetapi kita boleh lihat alam ini sebagai tanda-tanda atau bukti ciptaannya. Buktinya, setiap kehidupan yang dicipta termasuk diri kita pasti ada yang menciptanya dan bukan ia terjadi secara kebetulan. Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebab dan musababnya.

Mengapakah Allah mencipta alam ini dengan sebegitu indah dan cantik susunannya?
Ini kerana Allah menyuruh kita berfikir tentang kewujudan-Nya melalui kejadian yang diciptakannya. Dalam surah Al-Imran ayat 190-191 yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, serta bersilih gantinya malam dan siang, pada semua itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi golongan yang sempurna akal fikirannya.
Iaitulah mereka yang berZIKIR mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk malah berbaring serta berFIKIR tentang penciptaan langit dan bumi, seraya berkata: Wahai Tuhan kami, tidaklah engkau jadikan semua ini sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada siksaan api neraka kelak”

Cuba kita lihat dalam ayat tersebut tanda-tanda kebesaran Allah itu hanya dapat disedari oleh golongan yang sempurna akal fikirannya. Ini bermaksud orang-orang yang mempunyai ilmu dan berfikir sahaja yang dapat menemui tanda-tanda kebesaran dan kewujudan Allah. Kemudian pada ayat yang seterusnya, menerusi fikiran tersebut maka lahirlah ungkapan-ungkapan zikir iaitu apabila mereka mengingati Allah lah yang menjadikan semua kejadian ini.

Kemudian disebutkan golongan ini berfikir dan berzikir mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring. Ini menunjukkan golongan ini tetap berfikir dan berzikir dalam apa jua keadaan sekalipun. Dan melalui zikir itulah lahirnya hati-hati yang tenang dan sejahtera hasil gabungan zikir yang disertai dengan fikir tadi.



Apabila kita belajar mengenali ciptaan Allah seperti bidang-bidang tumbuhan, perubatan dan sebagainya, kita dikatakan mencapai tahap FIKIR. Tetapi ia mesti disertakan dengan memuji kebesarannya, kebijaksanaannya apabila kita rasa takjub dengan penemuan bahawa ciptaannya itu sangat canggih dan tiada tandingannya mahupun manusia. Pada tahap itu, kita dikatakan mencapai tahap ZIKIR.

Contoh:
Kita belajar mengenai tubuh badan manusia. Ianya sangat kompleks dan ianya tersusun dalam menjalankan fungsinya dengan baik. Kita berfikiri bahawa setiap organ dalaman itu semua berperanan dalam menjalankan fungsinya untuk kehidupan manusia dan ianya bukanlah diciptakan untuk sia-sia sahaja. Maka ketika itulah timbul rasa syukur dalam hati dan merasai betapa sayangnya Tuhan kepada kita memberi kita nikmat tubuh badan ini. Dari rasa syukur itu, kita menjaga tubuh badan kita ini sebaiknya dan menggunakannya untuk membuat perkara yang baik dan beribadah.

Inilah yang dikatakan kita telah mencapai tahap fikir dan zikir! Apakah kesannya pada masa panjang? Kita akan menemui ketenangan dalam hati kita. Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang? So, masa yang kita luangkan dalam kehidupan seharian banyak kita habiskan untuk belajar. Sangat rugi jika kita tidak dapat manfaat apa-apa daripada apa yang kita pelajari itu. Dan yang paling kita takut sekali ianya tidak dinilai sebagai ibadah. Hanya dengan ibadah sahaja boleh menjamin kita masuk ke syurga kelak. Jadi jika kita lihat pada ayat tadi, janganlah semua yang kita belajar itu menjadi satu perkara yang sia-sia!

tazkirah pagi. 7.45

Sunday, March 7, 2010

All for Islam!!


Artikel ini ditujukan khas buat mereka yg mencintai Islam dan yang ingin menegakkan kalimah Lailaha Illallah di atas muka bumi ini. (hanya sebagai reflection..) Dah lama siap artikel ni tapi fikir banyak kali untuk terbitkannya. Akhirnya, terbit jugak atas niat menyuarakan pendapat. Jika anda yang membaca merasakan ianya tidak sesuai, minta beritahu.
.................................................................................

Hati ini meronta lagi. Seperti meminta-minta.

“Selamatkanlah sahabat-sahabatmu, yang lalai, yang leka, yang jauh, dari Tuhannya. Kau sayangi mereka bukan? Kau mahu bersama mereka disyurga nanti bukan? Jadi, mengapa perlu bertangguh? Buatlah sesuatu! Tidak mengapa ianya tidak sebesar mana, tidak segempak mana, tidak semahal mana, tetapi yang penting, kau buat sesuatu!!”

Begitulah katanya ketika ini. Membuatkan aku terasa ingin bergerak saat ini juga. Bukannya aku tidak mampu, bukkannya aku tidak layak, bukannya soal masa dan lain-lain. Takkan nak tunggu sampai malaikat maut menjemput? Bertangguh itu pasti melahirkan penyesalan pada akhirnya.

Sahabat, aku mahu kita bersama-sama menegakkan Islam ini. Kita tidak boleh keseorangan. Kita bukanlah sekuat nabi Nuh yang berdakwah bersendirian kepada kaumnya. Iman kita bukanlah setegar nabi Musa yang mampu membidas kata-kata firaun itu. Namun, satu sahaja yang aku pasti kita inginkan iaitu kita mahu juga tegakkannya walaupun kita ini tidak sekuat mana. Percayalah, jika usaha kita yang sekecil ini pasti Allah akan menilai usaha kita dan pasti menolong kita. Tidak mengapa jika Islam belum tertegak di saat ini, tapi yakinlah ia pasti akan kembali gemilang pada suatu hari nanti.

Sejarah pasti berulang.
Hari-hari aku mendengar titipan semangat kegemilangan tamadun islam dahulu daripada mulutmu. Aku percaya pasti hatimu lebih semangat dari itu. Aku percaya impian dari setiap kita adalah sama. Marilah kita sama-sama mencapainya. Sejarah kegemilangan itu tidak akan pernah tenggelam selagi jiwa kita masih mengimpikannya. Jadi, untuk itu kita mesti lakukan sesuatu..

Zaman kini sudah banyak kejahilannya. Walaupun kita sedar, apa yang kita telah buat? Aku risau, kita boleh terlibat sama tanpa kita sedari. Perangkap syaitan itu sangat halus. Jalan-jalan syaitan itu tidak nampak. Kalau kita jatuh, kita merasainya tidak apa. Aku risau jika kita tidak merasainya. Sahabat, untuk itu, aku sangat berharap kita saling mengingati agar kita semua dapat perbaiki diri. Semoga dengan usaha seperti itu akan menjadikan kita lebih kuat untuk menempuh ujianNya.

Kita adalah sama.

Aku berasa sangat pelik jika kita masih menilai taraf, harta, nama diantara kita sedangkan Islam itu pada penganutnya sama. Bukankah inilah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w supaya tidak membeza-bezakan antara kita? ayuh, janganlah terlalu menilai seseorang itu pada luarannya, aku takut kita akan tergolong dalam golongan yang sombong. Dan yang paling aku takut, kita sendiri tidak menyedarinya. Janganlah rasa dirimu itu hina, janganlah rasa dirimu itu mulia kerana engkau tidak berhak menilai dirimu. Allah lah yang lebih berhak. Bukankah kita solat dalam saf yang sama? Dengan imam yang sama? Dan juga kiblat yg sama? Oleh itu, sentiasalah baiki diri dan usaha untuk tingkatkan amalan mu agar Allah mengangkatmu bersama orang-orang yag bertaqwa di sisi-Nya.

Sahabat, marilah sama-sama kita perbaiki diri ini. Betulkah kita ini masih yakin dengan ajarannya? Adakah kita masih yakin dengan balasannya? Kiamat, neraka, syurga, pahala, dosa kita percayakah? Bukan aku mahu menuduhmu tidak percaya, tetapi percaya itu dibenarkan oleh tindakan. Jika kita percaya syurga itu ada, kenapa kita tidak beramal seperti ahli syurga? Jika kita yakin dosa itu ada, mengapa kita seolah-olah tidak rasa bersalah melakukannya?

Sahabat,

Mahukah engkau lihat satu hari nanti dunia ini sudah tidak ada lagi kedamaian dan kesatuan? Mahukah engkau lihat dunia ini berperangan antara satu sama lain disebabkan rakusnya manusia mengejar dunia? Bukankah kau katakan kau cintakan kedamaian? Bukankah kau katakan Islam itu agama yg damai? Aku sangat takut apabila satu hari nanti kejahilan semakin biasa, kemaksiatan menjadi tegar, kezaliman berleluasa dan aku sangat takut kita sudah tidak mampu lakukan apa-apa waktu itu.

Aku yakin dalam hati kita masih ada keyakinan tentang ajaran Islam. Lantaran Islam itu mulia, tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Tegakkanlah Islam yang ada dalam diri kita. Bukan hanya setakat dapat A dalam subjek Pendidikan Islam malah kita dapat A dalam mengamalkannya. Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah, akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

Kesimpulannya, kita sangat memerlukan Islam ini. Walhal Islam tidak memerlukan kita. Islam menyuruh kita bersatu. Ukhuwah dan cinta antara sahabat-sahabat Rasulullah menunjukkan bukti gemilangnya Islam dahulu. Bila bersepadu, maka takutlah musuh. Ketaqwaan mereka kepada Allah dan Rasulullah lah yang membuatkan mereka tidak pernah putus asa apalagi mengeluh dalam meneruskan usaha dakwah kekasih Allah yg tercinta. Kita katakan kita cinta tetapi apa yang kita sudah lakukan untuk membuktikan kecintaan itu? We must do something for the ummah. Sometimes silent is not an option. Kita mengetahui apa kelemahan kita. Kita juga mengetahui apa kekuatan kita. Setiap kita perlu tahu apa peranan yang kita pegang masing-masing. Tidak perlu sibuk dengan hal yang lain. Cukuplah kita focus dengan peranan kita. Dengan itu kita pasti akan saling melengkapi. Apa yang perlu kita lakukan sekarang? Lakukanlah sesuatu! Semoga dengan sesuatu yang kita buat hari ini dapat menyumbang kepada Islam pada hari esok. All for Islam!

“Dan orang-orang yang beriman serta mengerjakan kebajikan, Kami tidak akan membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya,”

Al-A’raf : 42

Seindah sedamai pantai melambai gemalai
begitulah hati merindu kasih yang padu
bagaikan pepasir basah di simbah lautan
begitulah perjuangan ini
biar basah dengan iman dan ukhwah

kita ingin segalanya indah
sebersih pasir pantai memutih
seindah dan secerah pawana
berseri ukhwah dipupuk kasih

kita ingin segala terlerai
dengki dan dendam kesumat musnah
biar keikhlasan berbicara
di dada hati luas saujana

Seindah sedamai pantai melambai gemalai
begitulah hati merindu kasih yang padu
bagaikan pepasir basah di simbah lautan
begitulah perjuangan ini
biar basah dengan iman dan ukhwah

Saturday, February 20, 2010

Niat yang besar

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a, kata beliau: “Saya mendengar Raasulullah s.a.w bersabda: “Hayasanya (sah atau sempurna) segala amalan dengan niat. Hayasanya untuk setiap orang apa yang dia niatkan. Oleh itu sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia akan diperolehinya atau perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada tujuan dia berhijrah tersebut,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Alhamdulillah, sekali lagi diberi peluang oleh Allah untuk menulis. InsyaAllah, sy cuba terbitkan artikel yang lebih bermanfaat kali ini. Kali ini nak sentuh pasal hadis diatas. Pernah ditanya ustazah satu ketika di sekolah dahulu supaya diberi 1 satu contoh hadis Rasulullah. Walaupun contoh yang saya berikan agak simple dan pendek tetapi bagi saya ia amat bermakna dan sangat berkait rapat dalam kehidupan kita ni. Baru sekarang sy cuba hafal ‘versi’ yang panjang. Mudah-mudahan kefahaman akan hadis ini bertambah seiring dengan usia kita.

Apa yang specialnya hadis ni? berkenaan dengan niat. Tetapi apa yang saya nak ceritakan di sini bagaimana niat kita yang simple dan pendek boleh mempengaruhi hidup kita dalam jangka masa yang agak panjang. Saya beri contoh, katalah kita dapat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan dan of course harapan kita hendak menjadi doktor pada masa kan datang. Wah, masa tu kitalah insan yang paling gembira. Bila ditanya kenapa? Minat, mak ayah, cita-cita, nak tolong orang dan banyak lagi. Semua tu akan meresap dalam niat kita secara tak langsung.

Tetapi apa yang peliknya, apabila diuji dengan kelas yang banyak, soalan peperiksaan yang susah, tugasan dan assignment yang banyak nak disiapkan, dan lagi-lagi gagal dalam exam menyebabkan kita terasa frust dan mula keliru dengan niat yang kita tanam pada mula-mula tadi. Mulalah terlintas di hati “Apakah tujuanku belajar bidang ini?”, “Betulkah ini jalanku?”, “laratke?? Tak takut gagal?”. Niat yang ditanam dalam hati (sewaktu gembira dahulu) tiba-tiba terganggu dan dipersoalkan. Kenapa jadi begitu? Mesti ada something wrong pada niat kita.

Sebelum saya pergi pada penjelasan yang lebih lanjut, cuba kita tafsir sikit hadis yang saya bawakan tadi. “An-Niaat” yang bermaksud tujuan. Dalam ungkapan yang lebih luas, ia bermaksud: Hati mula bangkit (tertarik) kepada perkara sama ada pada pandangannya dapat meraih kemanfaatan atau menolak kemudaratan. Manakala melalui syarak pula, keinginan yang terpandu untuk melakukan sesuatu perbuatan bagi mencari keredhaan Allah dan melaksanakan hukum-Nya.

Dalam kehidupan kita, setiap perbuatan mesti dimulakan dengan niat. Tak payah lafaz2 pun. Ada tak pencuri mesti melafazkan niatnya sebelum mencuri? Tak perlu kerana apa yang sudah terlintas dalam hati semuanya boleh dikira sebagai niat. Bagaimana lintasan ni boleh berlaku? Yalah, apa2 yang disukai oleh hati kita, pasti akan terlintas sendiri niat itu. Sama ada disebabkan oleh nafsu atau syaitan, sama-samalah kita kaji. Tetapi kita diberi akal oleh Allah untuk menilai setiap lintasan itu. Mana yang baik dan mana yang buruk. Kata ulama salafussoleh, jika hati diletakkan didepan akal maka akan binasalah dirinya kerana jika kita hanya buat keputusan ikut nafsu(hati) tanpa memikirkan dahulu (dengan menggunakan akal) pasti mengundang banyak kelemahan. Sebab itu Allah memandu kita dengan hadis yang diriwayatkan tadi agar setiap amalan kita diniatkan kerana Allah dan Rasul supaya apa yang terlintas didalam hati(niat) kita dapat di’jaga’ dan di’lindung’ dari anasir-anasir yang tidak baik dan sentiasa suci.

Bila niat dihati sentiasa suci dan didasari niat kerana Allah, pasti ianya bersifat matlamat jangka masa panjang. Kerana apa saya kata begitu? Ok, cuba kita lihat kes mahasiswa tadi. Niat yang ditanam mula2 dahulu tiba-tiba goyah dipertengahan jalan. Minat terhadap perubatan tiba-tiba hilang seleranya apabila terpaksa meredah tahap pembelajaran yang makin sukar dan memeningkan. Di tambah lagi dengan soalan peperiksaan yang susah, assignment yang banyak. Semua tu mula menggugat minatnya. Tadi kata minat..


Bandingkan
Kerana apa pula saya katakan niat yang bersandarkan pada Allah dan rasul bersifat matlamat jangka masa panjang? InsyaAllah sama-sama kita renungkan..

Buktinya, cuba kita lihat kembali hadis diatas. Diriwayatkan hadis ni ketika peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w dari kota Mekah ke Madinah apabila seorang lelaki yang berhijrah bersama-sama nabi dengan niat untuk mengahwini seorang perempuan yang bernama Umu Qais di kota Madinah, bukan kerana Allah dan Rasul. Dia (saya tak pasti sama ada dia seorang atau ramai lagi) berhijrah kerana perempuan manakala yang lain berniat kerana Allah. Sampai disana dia akan dapat berkahwin dengan perempuan tersebut sebab memang dah itu matlamatnya. Maknanya matlamatnya bersifat jangka masa pendek. Tetapi bagaimana dengan yang lain? Kita lihat kesan matlamat mereka. Madinah menjadi pusat perkembangan Islam dan melahirkan ramai ulama-ulama yang pergi berdakwah ke seluruh dunia. Kesannya amat panjang sehingga dengan berkat niat mereka yang suci tu, kita dapat menikmati Islam sekarang. Ya, semuanya berniat kerana Allah dan Rasul. Apa yang Allah perintahkan semuanya dituruti. Apa yang dilarang semuanya dijauhi. Maka lahirlah seorang hamba yang taat dan niat hanya semata-mata kerana Allah dan rasul sahaja. Tak pandang dah pada niat yang lain. Seolah-olah tenggelam dalam niatnya yang satu tu.

Di fikiran hanya memikirkan bagaimana nak menegakkan agama Allah dimuka bumi ni. Di hati hanya zikir dan munajat memuji Tuhannya. Setiap masa, apa jua keadaan, siang ataupun malam semuanya dipenuhi ibadah kepada Tuhannya. Ya, inilah yang dikatakan cinta. Apabila lahirnya cinta maka tanggungjawab pasti akan lahir sama. Setiap orang akan bertanggungjawab terhadap apa yang dicintainya. Sebagai hamba, banyaklah tanggungjawab yang perlu ditunaikan untuk tuannya. Namapun hamba, betul tak?


Jadi sebagai kesimpulannya. Pasanglah niat jangka masa panjang iaitu belajar atas matlamat yang lebih besar dan jauh. Dalam Islam, kita diperintahkan menuntut ilmu kerana Allah. Maka secara tak langsung, tanggungjawab yang kita pikul, cabaran yang kita hadapi yang besar mahupun kecil, semuanya didasarkan atas niat kerana Allah Taala.
Segala perbuatan yang diniatkan kerana Allah akan dikira IBADAH. Jika terdapat anasir-anasir jahat yang datang mengganggu ketika menuntut ilmu pun dapat ditepis kerana Allah membantu dan melindungi kepada siapa yang beribadah kepada-Nya. Tetaplah dengan niat yang satu. Matlamat yang besar akan mengecilkan cabaran yang ada didepan kita. Jadi besarkanlah niat anda berlandaskan pada Yang Maha Besar!

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...