Saturday, April 4, 2009

First Step To Change




Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu… Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendenganmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.
Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah… tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!

Saturday, March 21, 2009

Betulkah dia contoh ikutanmu?

“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari akhirat dan yang banyak mengingati Allah.” Al-Ahzab : 21

Alhamdulillah, sekali lagi berpeluang untuk menulis. Sekian lama dihimpit dengan kerja-kerja duniawi (semoga ianya diterima sebagai ibadah) akhirnya Allah memberi peluang kelapangan untuk menulis. Mungkin tak baik jika diberi alasan masa. InsyaAllah, kita mesti cari masa, jangan tunggu masa!

Masalah Kita
Kali ini nak kongsi pendapat mengenai sambutan maulidurrasul. Sudah jadi adat umat akhir zaman, setiap kali 12 Rabiul awal mulalah terfikir aktiviti apa yang perlu untuk persiapan sambutan ini. Dalam fikiran mula terbayangkan pearakan sepanduk, selawat beramai-ramai, ceramah, kompang(?), dan makanan free selepas sambutan itu. Laungan yang jarang didengar seperti “Kami cinta Nabi”, “Nabi Muhammad Idola kami!”, ‘Jom, hidupkan sunnah!” mula kedengaran.

Tanyalah dirimu “Betulkah kau ambil Rasulullah itu sebagai suri tauladanmu?”, “benarkah rasulullah s.a.w itu idolamu”. Terasa menipu, jika dikatakan ya, tetapi rasa bersalah jika dikatakan tidak. Rasa bersalah semasa sambutan maulid tahun lepas datang lagi. Baiklah, sebelum kita menjawab pertanyaan tadi, ada perkara yang perlu kita sentuh. Adakah kita tahu sifat-sifat yang layak untuk menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan? Jom kita teliti maksud ayat di atas.

Untuk menjadikan Rasulullah sebagai teladan jika tiga syarat dipatuhi- pertama rasa harap pada Allah, mengaharapkan rahmat kasih-sayang Allah, kedua, mengharapkan kedatangan hari akhirat dan yang ketiga yang banyak mengingati Allah. Ayat sebegini banyak dibacakan semasa ceramah maulid namun seolah-olah kita mengabaikan kepentingannya.

Syarat Pertama
Jika kita teliti adakah kita berada dalam tiga golongan tadi? Pertama mengharapkan Allah yang bermaksud bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Tiada bergantung pada yang lain selain dari Allah. Hanya Dialah satu-satunya tempat mengadukan masalah, meminta rezeki, ilmu pengetahuan, peluang hidup dan yang paling penting iaitu kasih-sayang(rahmat)-Nya. Kita tak akan rasa semua ini jika kita masih belum mengenali Allah itu sendiri. Kenalilah sifat (asma’)nya yang 99 itu. Jika kita teliti, segala sifat penyayang, pemurah dan lain-lain itu datang dari sifat-Nya yang tiada tandingan. Kerana itulah dalam rukun iman, beriman kepada Allah adalah yang pertama. Tindakan pertama yang kita perlu untuk kenali Allah ialah kenallah diri kita sendiri. Sekuat manakah kita? Sebesar manakah kita jika Allah tidak menolong kita? Adakah masih ada rasa sombong? Dengki? Tepuk dada tanyalah imannya!

Syarat Kedua
InsyaAllah saya teruskan dengan yang golongan yang kedua iaitu golongon yang mengharapkan kedatangan hari akhirat. Bagaimana? Dapat teruskan? InsyaAllah, jika kita betul2 ikhlas, Allah akan bantu kita. Golongan ini dah tak nampak dah keindahan dan kenikmatan dunia. Dalam fikirannya hanya difikirkan akhirat. Segala kerja yang dilakukan dengan matlamatnya adalah hari akhirat. Jika kita reflect pada diri kita, apakah tujuan kita belajar? Jika (masih) untuk mendapat kerja yang senang, untuk hidup senang, maknanya matlamat kita masih tujuan duniawi. Betulkanlah niat itu. Bukannya salah. Niatlah untuk hidup senang didunia supaya dapat juga hidup senang diakhirat. Itu sudah dikira niat ikhlas. Ingat, niat ikhlas bukan sahaja niat kerana Allah tetapi jika niat kerana kehidupan akhirat seperti untuk masuk syurga, tak nak masuk neraka juga sudah dikira niat ikhlas sebab anda meyakini adanya syurga dan neraka itu. Itu sudah termasuk dalam mempercayai perkara-perkara ghaib. Jika kehidupan seharian anda lakukan untuk tujuan akhirat, anda sudah termasuk dalam golongan ini. InsyaAllah.

Syarat Ketiga
Golongan yang terakhir ini pula golongan yang paling banyak mengingati Allah. Orang ini sifatnya tenang. Rasulullah memang tenang orangnya. Baginda tidak pernah terburu-buru. Jadi orang yang mengambil Rasulullah sebagai contoh ini memang hatinya tenang kerana hatinya banyak mengingati Allah. Firman Allah yang dah biasa kita dengar yang bermaksud:
“Dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang,” surah ar-Ra’du : 28

Selain itu golongan ini banyak mengingati Allah dalam kehidupan sehariannya. Sama ada ketika berdiri, duduk dan baring, golongan ini tetap akan memikirkan Penciptanya. Jadi, bagaimana kita nak jadi seperti golongan ini? Ingatlah, Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui apa yang kita buat. Sama ada dizahirkan atau disimpan. Dalam kehidupan seharian kita, rasakanlah ‘kehadiran’Nya, rasakanlah yang Dia sedang melihat setiap tindak-tanduk yang kita lakukan. Dalam Al-Quran banyak diperingatkan tentang ini, tetapi kita masih lagi lakukan kemungkaran dan dosa. Cuba kita kaji diri kita, setiap tindakan yang kita nak ambil, adakah kita mengambil kira sama ada Allah suka perkara itu atau tidak? Nah, tanyalah iman didalam dada (lagi). Ingat Allah bukanlah ketika kita susah sahaja bahkan diwaktu lain pun perlu juga. Banyakkanlah berzikir seperti baca Al-Quran kerana itu akan memberikan ketenangan kepada kita.


Penyelesaian Kita
Jika kita tengok syarat-syarat tadi, layakkah kita katakan yang kita mengambil Rasulullah sebagai contoh kita? Muhasabahlah diri kita balik dimanakah kesilapan kita. Renungkanlah kenapa kita dikatakan umat yang paling mulia antara umat lain. Kita katakan yang kita mahu masuk syurga tetapi kita tak berusaha pun untuk ke sana. Kita katakan tak nak masuk neraka tetapi perlakuan seharian kita seperti menunjukkan yang kita ingin kesana. Usahalah sekarang. Ikutlah perintah Allah, semua itu untuk kebaikan kita. Jauhilah larangan Allah, kerana ia membawa mudharat kepada kita. Berubahlah sekarang kerana masih belum terlambat lagi. Berdoalah agar perubahan kita ini berkekalan sepanjang tahun dan bukan sahaja pada sambutan maulid Nabi!

Monday, March 2, 2009

Bilakah saat itu kan kembali?


Sudah lama ku pendamkan perasaan ini
Semakin hari semakin kuat rinduku
Setiap saat ku memikirkan tentang itu
Dialah..dialah yang memanduku
Mencari cinta sejati kearah kehidupan diredhai..

Sudah lama ku pendamkan hati ini
Sujud, rebah menghambakan diri
Menyesali perbuatan diri
Dosa-dosa yang memekat dihati

Ya Allah, bilakah lagi..
Bilakah saat itu kan kembali?
Hanyut ku dengan dunia yang tak sampai ke mana
Hanyut ku mengejari nikmatnya yang sementara
Hanyut ku dalam kelalaian dimamah usia
Lupa tentang KewujudanMu
Lupa pada KekuasaanMu

Ya Allah, bilakah lagi..
Bilakah saat itu kan kembali?
Setiap hari kurasakan tiada maknanya
Setiap detik merasakan gelisahnya
Setiap saat ku rasakan kehilangannya
Apakah yang ku risaukan itu??
Apakah itu Ya Allah??
Duniakah itu? Atau akhiratkah??

Ya Allah, jiwaku membentak..bilakah lagi..
Bilakah saat itu kan kembali?
Keimananku hanyut dalam nafsu
Ketaqwaanku kian hari ku rasakan palsu
Hindarkan lah itu semua wahai Tuhanku
Bangunkanlah daku untuk sujud kepada Mu
Gugurkanlah kembali tangisanku yang degil ini
Kembalikanlah rintihanku di malam hari
Binakanlah kekuatanku..
Teguhkanlah istiqamahku..
Kembalikanlah keghairahanku yang dahulu
Kembalikanlah keindahan yang kurasakan dahulu
Kembalikanlah Ya Allah..
Tahajudku..
Taubatku..
Hajatku..
Witirku..
Tasbihku…
Zikirku…
Sebagai wasilah menuju REDHA dan CINTAMU!

Sunday, February 1, 2009

AlGhaffar, AlGhaffur, AlGhafir : Bukti Rahmat Asma Allah

Insya-Allah. Sedikit perkongsian daripada saya tentang apa yang diceritakan dalam kuliah tafsir Al-Quran Ustaz Kariman Abdul Mu’in. Tajuknya sifat Asma’Allah. Mungkin cara penyampaian saya agak berlainan tetapi isinya lebih kurang sama. Jika ada kesalahan, minta dibetulkan.

Maknanya sama. Menutupi atau mengahalangi. Maghfirah bermakna yang tadi. Al-ghaffar, apa yg ditutupi oleh Allah. Perbuatan ini memberi manfaaat yg banyak kpd manusia sama ada dari segi fizikal ataupun mental. Segala yg dalam badan kita tidak nampak diluar. Ianya ditutup kerana sifatNya. Begitu juga niat. Tak siapa yg mengetahuinya. Orang yang paling dekat pun tidak tahu. Itupun kerana sifatNya. Termasuk dosa, kejahatan, kesalahan. Banyak perkara yang kita lakuakan. Allah tak menampakkannya di sini sama ada kita sendiri mahupun orang lain. Itulah makna AlGhaffur. Tapi jgn fikir di hari kiamat kelak. Allah akan menampakkan segala dosa kita. Tetapi dosa kita akan bertukar kepada bentuk azab neraka. Nauzubillah!

Beza antara sifat-sifat Pengampun Allah:

Al-Ghaffaar: sentiasa memberi pengampunan yang banyak. Sebagai contoh apabila seorang hamba meminta pengampunan daripada Tuhannya, Allah akan memberikan maghfirah lebih daripada apa yang dimintanya. Selain itu Ia bersifat berulang-ulang kali. Sama ada yang diminta ataupun tidak, Allah sudahpun memberi pengampunan kepada mereka. (boleh rujuk Surah Al-Baqarah: 51, 52 dan Surah AnNisa’ : 31. kalau nak diceritakan disini takut panjang lebar)

Al-Ghaffur
: Tetapi sifat ini berlainan sedikit daripada sifat yang tadi walaupun maksudnya hampir sama. Apa yang lainnya ialah ianya tidak berulang tetapi banyak juga memberi maghfirah.

Al-Ghafir: Dosa yang diampunkan hanya sebahagian. Manakala sebahagian lagi perlu diminta dan diusahakan. Lagipun ianya bersifat tidak spesifik. Al-ghafir bermakna Pengampun. Kalau kita bawa contoh sabar. Dalam bahasa arab, Al-Sobir, bermaksud Penyabar. Tetapi jika dikatakan orang itu penyabar, kita tidak tahu orang itu penyabar dari segi apa, dalam hal apa, apa yang dia sabarkan. Begitulah perbezaanya.

Jika kita nak berdoa, boleh guna mana-mana sifat-Nya yang diatas. Apa yang dapat dikongsi disini. Pengampunan Allah (maghfirah) adalah rahmat yang paling besar antara semua rahmatnya. Sebagai contoh, jika kita sakit, kita memohon rahmat Allah untuk sihat. Jika kita miskin, kita memohon rahmat daripada Allah untuk kaya. Tetapi bagaimana pula bagi yang kaya? Adakah dia memohon rahmat Allah untuk miskin? Saya bergurau. Tentulah dia bersyukur!. Tetapi apa yang saya nak tekankan disini, adakah bahagia jika dia kaya tetapi tidak mendapat maghfirah Allah?. Sungguh!, tiada berguna sedikit pun kekayaannya itu.


Ubah pendapat kita tentang si syirik.
Pernah juga kita terdengar bahawa dosa syirik tidak akan diampunkan. Jika kita lihat antara 70 dosa besar, dosa syirik akan duduk dalam tangga teratas. (maknanya memangla besar). Tetapi sama ada ia boleh diampunkan atau tidak sebenarnya ada 2 pendapat. Pertama diampunkan dan yang kedua tidak. Penceramah menegaskan supaya memegang yang pertama disebabkan beberapa dalil Al-Quran membuktikannya.

Dari kisah firaun dalam surah An-Nazi’at ayat 17,18, 19 ada menceritakan yang Allah menawarkan pembersihan diri kepada Firaun walaupun dia seorang yang sangatlah kejam. Cuba kita bandingkan firaun dengan si pensyirik. Firaun tidak mempercayai Tuhan bahkan menjadikan dirinya Tuhan pula. Jika kita lihat pensyirik, dia mempercayai Allah itu Tuhannya tetapi dia menduakan Allah dengan sembah benda lain. Jika kita kata dosa syirik tidak diampunkan Allah, adakah ini bermaksud Allah lebih sayangkan firaun?? Sama-sama kita renung kembali. Dosa syirik akan diampunkan tetapi taubatnya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ekstrim sebab dosa itu sangatlah besar.
Sedar diri kita.
Akhir kata, sifat Allah yang maha mengampun itu sangatlah besar dan bermanfaat pada kita. Janganlah kita putus asa daripada rahmat Allah dalam memohon keampunannya. Kita sering melengahkan taubat kita. Kita tak tahu bilakah kita mati, bila saatnya dan dimana tetapi ia pasti akan datang kepada kita. Janganlah tunggu sehingga nyawa sampai kerongkong. Banyakkanlah amal kita. Tingkatkanlah keimanan kita dengan zikrullah. Ingatlah, hendak memasuki syurga bukanlah senang. Jalan menuju kearahnya sangat payah dan panjang. Insya-Allah apa yang dikongsi sedikit ni moga-moga akan memantapkan keimanan kita kepada Allah Rabbul A’lamin. Jika kita menghafal sahaja nama-namanya tanpa memahami dan menghayatinya sangat (dan sangatlah) rugi. Saya baru ceritakan satu. Belum lagi yang lain. Jika ada masa lagi saya kongsi pula nama-Nya yang lain yang sangat hebat! Serius.

InsyaAllah dalam mencari keredhaan Allah dalam hidup ini, kita perlu tahu jalannya. Apalagi kalau bukan jalan Mujahadah!

Saturday, January 31, 2009

Antara minat dan tanggungjawab



“Kenapa kita kena belajar semua ni?”

Akhirnya dia meluahkan. Memang sejak kebelakangan ni dia jadi ‘pendiam’ sedikit ketika dalam kuliah. Kalau dah jadi lain ni, mesti ada masalah. Gerenti punya! Walaupun soalan dia kali ini macam biasa-biasa sahaja, saya tidak boleh main-main. Memandangkan dia seorang hafiz dan ilmu agamanya lagi tinggi daripada saya, perlulah saya memikir betul-betul sebelum menjawabnya. Kalau tidak mudah saja dibidas.

“kenapa kita perlu ingat semua ‘benda’ ni?”nota kuliah biologi yang dipegangnya nampak ‘bersih’ tetapi buku rujukannya banyak dihias coretan-coretan kecil disetiap helaian yang ada. Oh, begitu rupanya cara dia belajar. Ketika itu kami berdua baru sahaja selesai kuliah biologi pada pukul 10 pagi. Sementara menunggu kuliah Kimia pada pukul 11, kami sempat membuat ulangkaji di perpustakaan yang ketika itu di’imarahkan’ oleh pelajar-pelajar lain. Mungkin final exam dah hampir. Pelajar yang jarang ke perpustakaan pun ada juga termasuk saya.

“kenapa? Tak minat?” akhirnya saya menjawab.
“bukan, tapi ana keliru..bende ni semua macam tiada kaitan dengan hidup kita..”
“kan biologi tu..mestilah ada kaitan,”. Jawapan saya membuatkan dia tersenyum sedikit. Mungkin bukan jawapannya..

“habis tu macamana?”

“bukan, ana tengok apa yang kita belajar ni macam mengarut jer..DNA lah, translation la, mutation lah, betul ke apa yang kita belajar ni?”

Sah. Memang dia tak minat la tu. Persoalannya itu memang normal bagi saya. Kadang-kadang ia juga pernah timbul dalam hati saya. Tapi mungkin kerana minat, saya meneruskan.

“ana tak tahulah, tapi buktikan dah ada, lihatlah berapa ramai doktor, pakar genetik, ahli bioteknologi yang sekarang ni dapat membantu kehidupan kita. Cuba anta lihat makanan yang dijual sekarang, semuanya berkualiti dan sedap. Semua tu hasil daripada ilmu yang kita belajar tadi.”saya cuba menjelaskan. Dia kelihatan agak muram sedikit selepas itu.


“tapi ana kelirulah..” lama dia terdiam, akhirnya dia menjawab. “memang ana susah nak kaitkan dengan kehidupan kita. Kalau macam fikah ke, hadis ke, semua tu ana belajar boleh dikaitkan dengan Tuhan, dengan kehidupan. Kalau macam biologi ni, kimia, lagi-lagi matematik, ana susah nak aplikasikan pun dalam hidup ana. Ana tak nampak pun kepentingan dia. Tu yang ana jadi kurang minat tu”

Memang, dia merupakan pelajar maahad tahfiz. Tentunya dia kurang didedahkan dengan ilmu sains sebaliknya banyak ditekankan ilmu-ilmu agama. Saya terdiam agak lama. Persoalan perlukan penyelesaian. Saya perlu menjawabnya. Perlu fikir dahulu, jangan menjawab membuta tuli.

“ Hmm..cubalah belajar kerana tanggungjawab,”

“macamana tu?”

“Yalah, anta kan tak minat dengan semua tu. Tapi anta terpaksa belajar juga. Biarpun susah, anta ada matlamat anta sendiri untuk kehidupan akan datang. Firstly, niatkanlah belajar kerana Allah. Walaupun kita tak minat, tak suka dengan ilmu tu tapi anta kena tahu bahawa semua tu hakikatnya datang dari Allah. Lihatlah sel manusia, Allah yang ciptakan semua tu. Semuanya memainkan fungsi untuk tubuh badan kita. Jika kita kenal ciptaanNya, maka kita akan kenal Pencipta-nya! Tu kan dah menjadi tanggungjawab kita, betul tak? ”

Dia mengangguk. Tanda faham agaknya.

“Kemudian, tanggungjawab kepada keluarga. Anta kena ingat semua ni akan berguna masa kita kerja nanti. Nanti apa yang kita bagi makan, tempat tinggal, nafkah untuk keluarga kita semuanya datang dari hasil kerja anta. Kalau anta tak menguasai semua ni, tak mungkin anta dapat kerja yang bagus, pendapatan yang cukup, tempat tinggal yang selesa untuk keluarga anta pada masa akan datang. Tu pun menjadi tanggungjawab juga kan?”

Dia mengangguk lagi. Tapi kali ni dia bersuara.
“Ok, ana faham. Lagipun semua ni ilmu..kita hidup ni kena menuntut ilmu. Hadis Nabi menyuruh kita menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad. Betul?” Nadanya kembali bersemangat. Itulah sikap yang paling saya suka sepanjang saya berkawan dengannya. Kata-katanya sungguh tegas dan sesiapa yang mendengarnya mesti dapat merasakan aura ‘semangat’ dia tu. Kalau dia memberi tazkirah di masjid, pasti ada yang ter’kena’ termasuklah saya.

“Cuba anta lihat mak anta.” saya cuba alternatif lain.
“kenapa?”

“cuba bayangkan dia meyara kehidupan anta selama 19 tahun! Berapa banyak duit yang dia habiskan, tenaga yang yang dia gunakan selama 19 tahun tu? Kalau anta jadi dia macamana? Mesti tak laratkan. Mesti tak minat punya. Tapi apa yang membuatkan dia jadi begitu tabah sampai ke hari ini? Haa…itulah kerana tanggungjawab. Dia memainnkan peranan dia sebagai seorang ibu. Kalaulah dia buat kerana minat, minatnya tidak akan bertahan lama. Bayangkanlah kerenah anak-anak yang macam-macam. Bila anak-anak dah besar, lagilah..”

“cukup, cukup, ana dah faham. Ana rasa ana dah dapat dah jawapan dia!” Kata-katanya membuatkan saya tersenyum. Senyuman puas. Walaupun saya tak pasti betul ke saya dah beri jawapan yang betul tetapi saya harapkan dia faham kata-kata saya.


“Apa jawapannya?” saya cuba memastikan. Dia tersenyum kemudian kembali membelek notanya. Rahsia agaknya. Geram. Mesti dia nak kenakan saya.

Perbualan kami berakhir apabila jam menunjukkan hampir pukul 11. Saya lihat dia begitu semangat sekali belajar didalam kuliah. Alhamdulillah, berkat usahanya, dia berjaya meneruskan pengajiannya dalam bidang perubatan di Mesir. Kini sudah masuk 2 tahun. Saya amat merindui detik-detik kenangan dengannya. Semoga bila dia kembali, bukan sahaja menjadi doktor yang merawat manusia tetapi juga boleh merawat jiwa manusia. Insya-Allah. Agak-agaknya itulah ‘jawapan’nya!

Wednesday, January 28, 2009

Pengumuman!!

Assalamualaikum w.b.t
InsyaAllah akan diadakan 1 program yang bermanfaat. Semoga semua org boleh join yer. Sesiapa yang ingin mendapatkan kefahaman tentang cinta menurut islam boleh la sama2 turun mengimarahkan skali program ni.

Butiran-butiran program:

Ceramah Bicara Hati

Anjuran Badar

13 Februari 2009

DSG KTSN

Penceramah oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Pakaian adalah sopan dan menutup aurat




Sunday, January 18, 2009

Alhamdulillah...selesai!

Bismillahirrahmaanirrahim..

Ya Allah, tiada yang mudah melainkan Engkau menjadikan sesuatu itu Mudah..
Oleh itu Kau permudahkanlah urusan kami ini. Mudah-mudahan dengan usaha ini akan  mendapat keampunan dan rahmat daripada-Mu!

Majlis Perasmian Forum sbg Upacara Pembukaan Program Untukmu Palestin
10 Januari 2009
7.45-11.30 malam
Stadium Titiwangsa, jalan temerloh
Ahli panel:
Dr Zainurrashid bin Zainuddin
Nadzri bin Musman
Muslim bin Abu Umar
Tajuk:
Nakbah 60 Tahun Derita palestin

Pengarah Forum
Alhamdulillah, ana ingat lg waktu menerima tugasan ini. Seakan tidak percaya ianya dah selesai..walaupun banyak rintangan yg datang tanpa diundang tetapi alhamdulillah dengan berkat kesabaran dan kecekalan ahli2 organisasinya, akhirnya berjalan dengan lancar.Kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini mahupun secara langsung atau tidak, ana ucapkan ribuan terima kasih especially, abang2 n kakak2 yg turut sama turun utk tolong kitorg. Tak lupa juga pada abang Ro yg byk support kitaorg!!Syukran Jazilan..Moga2 dengan usaha yang sedikit ini akan memeberikan pengajaran dan kesedaran kepada kita tentang betapa pentingnya kita mengambilberat terhadap isu Palestin yang mana bukan shj oleh orang islam tetapi seluruh manusia selagi dia mempunyai hati haruslah memperjuangkan isu ini. Takbir!!


Walaupun cuaca tak beberapa baik tetapi alhamdulillah dapat memenuhi stadium. Yang hadir bukan sahaja pelajar UKM, tetapi pelajar UM, UIA, UPM dan lain2 turut mghantar wakil..terima kasih kerana turut menjayakan program ini.




Upacara perasmian oleh Dato' Dr Mohamad bin Abdul Razak, Pemangku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM


Detik2 terakhir hari sebelum program. Thanx abg GG ngan abg Fahmi sbb turun skali tolong kitorang. Bergambar seketika bagi menghilangkn stress anda...Malam tu kitorg semua tidur lewat. Berjihad!!


Dalam proses menyiapkan banner..ana takde time ni, terpaksa balik umah ada hal family. salah satu usaha memupuk kerjasama n menguatkan ukhuwah.


Barisan Ahli panel yang mantap dengan hujah2 mereka. Semua persoalan dapat dijawab dengan baik. syukran jazilan atas ilmu yg diberi..dari kiri: En.Mohamad Dhany graduan dari UIA, Dr Zainurrashid dari Aman Palestin, Ustaz Mejar Nadzri dari KAGAT ATM, Abu Muslim merupakan rakyat Palestin dari UIA

Antara persoalan yg kami timbulkan dalam forum kali ini antaranya:
Pusingan pertama:
1.Dr.Zainurrashid: Bolehkah tuan menjelaskan dengan serba ringkas mengenai negara Palestin itu sendiri dan apakah yang sebenarnya berlaku di sana?

2.Ustaz Mejar Nadzri: Mengapakah negara Palestin masih diselubungi isu hak kemanusiaan yang masih belum selesai dari dahulu hingga sekarang? Apakah sebenarnya yang berlaku 60 tahun yang lalu?

3.Saudara Muslim: Why the Palestinian still failed to overcome their unity problems among them?

Pusingan kedua:

1. Dr.Zainurrashid: Apakah sumbangan yang harus kita berikan untuk membantu perjuangan umat Islam Palestin? Cukupkah dengan doa dan rasa simpati sahaja?

2. Ustaz Mejar Nadzri: Mengapa Allah izinkan rejim Zionis terus-terusan menindas umat Islam Palestin? Kenapakah rintihan, doa dan harapan mereka tidak didengar dan dikabulkan Allah, padahal Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengasihani?

3. Saudara Muslim: What lesson can we, as a Muslim, learned from what had happened to your country?


 


Malam terakhir meeting. Post mortem malam tu kitorg flashback balik ape masalah2 yg berlaku dari awal program sampai abes program. Semua exco kene criter balik masalah yg berlaku dan cadangan penambahbaikan utk masa akan datang. Alhamdulillah, segala salah faham dapat diselesaikan juga malam tu. Diakhiri dengan doa rabithah, surah Al-Asr dan tasbih kafarah..


Yang baik tu semua datang dari Allah, dan yang buruk tu datang dari kelemahan ana sendiri dalam mengendalikan majlis ini. Semoga usaha yang sikit ni dapat meraih keampunan dan mendapat keredhaan Allah s.w.t
InsyaAllah, marilah sama2 kita memperjuangkan palestin kerana isu ini ialah isu akidah oleh kita sebagai umat islam. Boycottlah barang2 Israel. Buatlah apa yang kita mampu. semua usaha tu akan dinilai Allah di akhirat kelak. Tunjukkan yang kita ni mempedulikan nasib saudara-saudara kita disana. teruskanlah Mujahadah wahai umat Islam sekalian. Allahuakbar!!!


"Akan sentiasa wujud sekumpulan dari umatku yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walau dipinggirkan dan dirintangi kesusahan ujian (Ilahi) sehinggalah datang ketentuan Allah. Mereka akan tetap sedemikian.
Sahabat bertanya "dimanakah mereka sedemikian itu?" baginda menjawab "Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya".

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...