Saturday, February 20, 2010

Niat yang besar

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a, kata beliau: “Saya mendengar Raasulullah s.a.w bersabda: “Hayasanya (sah atau sempurna) segala amalan dengan niat. Hayasanya untuk setiap orang apa yang dia niatkan. Oleh itu sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia akan diperolehinya atau perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada tujuan dia berhijrah tersebut,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Alhamdulillah, sekali lagi diberi peluang oleh Allah untuk menulis. InsyaAllah, sy cuba terbitkan artikel yang lebih bermanfaat kali ini. Kali ini nak sentuh pasal hadis diatas. Pernah ditanya ustazah satu ketika di sekolah dahulu supaya diberi 1 satu contoh hadis Rasulullah. Walaupun contoh yang saya berikan agak simple dan pendek tetapi bagi saya ia amat bermakna dan sangat berkait rapat dalam kehidupan kita ni. Baru sekarang sy cuba hafal ‘versi’ yang panjang. Mudah-mudahan kefahaman akan hadis ini bertambah seiring dengan usia kita.

Apa yang specialnya hadis ni? berkenaan dengan niat. Tetapi apa yang saya nak ceritakan di sini bagaimana niat kita yang simple dan pendek boleh mempengaruhi hidup kita dalam jangka masa yang agak panjang. Saya beri contoh, katalah kita dapat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan dan of course harapan kita hendak menjadi doktor pada masa kan datang. Wah, masa tu kitalah insan yang paling gembira. Bila ditanya kenapa? Minat, mak ayah, cita-cita, nak tolong orang dan banyak lagi. Semua tu akan meresap dalam niat kita secara tak langsung.

Tetapi apa yang peliknya, apabila diuji dengan kelas yang banyak, soalan peperiksaan yang susah, tugasan dan assignment yang banyak nak disiapkan, dan lagi-lagi gagal dalam exam menyebabkan kita terasa frust dan mula keliru dengan niat yang kita tanam pada mula-mula tadi. Mulalah terlintas di hati “Apakah tujuanku belajar bidang ini?”, “Betulkah ini jalanku?”, “laratke?? Tak takut gagal?”. Niat yang ditanam dalam hati (sewaktu gembira dahulu) tiba-tiba terganggu dan dipersoalkan. Kenapa jadi begitu? Mesti ada something wrong pada niat kita.

Sebelum saya pergi pada penjelasan yang lebih lanjut, cuba kita tafsir sikit hadis yang saya bawakan tadi. “An-Niaat” yang bermaksud tujuan. Dalam ungkapan yang lebih luas, ia bermaksud: Hati mula bangkit (tertarik) kepada perkara sama ada pada pandangannya dapat meraih kemanfaatan atau menolak kemudaratan. Manakala melalui syarak pula, keinginan yang terpandu untuk melakukan sesuatu perbuatan bagi mencari keredhaan Allah dan melaksanakan hukum-Nya.

Dalam kehidupan kita, setiap perbuatan mesti dimulakan dengan niat. Tak payah lafaz2 pun. Ada tak pencuri mesti melafazkan niatnya sebelum mencuri? Tak perlu kerana apa yang sudah terlintas dalam hati semuanya boleh dikira sebagai niat. Bagaimana lintasan ni boleh berlaku? Yalah, apa2 yang disukai oleh hati kita, pasti akan terlintas sendiri niat itu. Sama ada disebabkan oleh nafsu atau syaitan, sama-samalah kita kaji. Tetapi kita diberi akal oleh Allah untuk menilai setiap lintasan itu. Mana yang baik dan mana yang buruk. Kata ulama salafussoleh, jika hati diletakkan didepan akal maka akan binasalah dirinya kerana jika kita hanya buat keputusan ikut nafsu(hati) tanpa memikirkan dahulu (dengan menggunakan akal) pasti mengundang banyak kelemahan. Sebab itu Allah memandu kita dengan hadis yang diriwayatkan tadi agar setiap amalan kita diniatkan kerana Allah dan Rasul supaya apa yang terlintas didalam hati(niat) kita dapat di’jaga’ dan di’lindung’ dari anasir-anasir yang tidak baik dan sentiasa suci.

Bila niat dihati sentiasa suci dan didasari niat kerana Allah, pasti ianya bersifat matlamat jangka masa panjang. Kerana apa saya kata begitu? Ok, cuba kita lihat kes mahasiswa tadi. Niat yang ditanam mula2 dahulu tiba-tiba goyah dipertengahan jalan. Minat terhadap perubatan tiba-tiba hilang seleranya apabila terpaksa meredah tahap pembelajaran yang makin sukar dan memeningkan. Di tambah lagi dengan soalan peperiksaan yang susah, assignment yang banyak. Semua tu mula menggugat minatnya. Tadi kata minat..


Bandingkan
Kerana apa pula saya katakan niat yang bersandarkan pada Allah dan rasul bersifat matlamat jangka masa panjang? InsyaAllah sama-sama kita renungkan..

Buktinya, cuba kita lihat kembali hadis diatas. Diriwayatkan hadis ni ketika peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w dari kota Mekah ke Madinah apabila seorang lelaki yang berhijrah bersama-sama nabi dengan niat untuk mengahwini seorang perempuan yang bernama Umu Qais di kota Madinah, bukan kerana Allah dan Rasul. Dia (saya tak pasti sama ada dia seorang atau ramai lagi) berhijrah kerana perempuan manakala yang lain berniat kerana Allah. Sampai disana dia akan dapat berkahwin dengan perempuan tersebut sebab memang dah itu matlamatnya. Maknanya matlamatnya bersifat jangka masa pendek. Tetapi bagaimana dengan yang lain? Kita lihat kesan matlamat mereka. Madinah menjadi pusat perkembangan Islam dan melahirkan ramai ulama-ulama yang pergi berdakwah ke seluruh dunia. Kesannya amat panjang sehingga dengan berkat niat mereka yang suci tu, kita dapat menikmati Islam sekarang. Ya, semuanya berniat kerana Allah dan Rasul. Apa yang Allah perintahkan semuanya dituruti. Apa yang dilarang semuanya dijauhi. Maka lahirlah seorang hamba yang taat dan niat hanya semata-mata kerana Allah dan rasul sahaja. Tak pandang dah pada niat yang lain. Seolah-olah tenggelam dalam niatnya yang satu tu.

Di fikiran hanya memikirkan bagaimana nak menegakkan agama Allah dimuka bumi ni. Di hati hanya zikir dan munajat memuji Tuhannya. Setiap masa, apa jua keadaan, siang ataupun malam semuanya dipenuhi ibadah kepada Tuhannya. Ya, inilah yang dikatakan cinta. Apabila lahirnya cinta maka tanggungjawab pasti akan lahir sama. Setiap orang akan bertanggungjawab terhadap apa yang dicintainya. Sebagai hamba, banyaklah tanggungjawab yang perlu ditunaikan untuk tuannya. Namapun hamba, betul tak?


Jadi sebagai kesimpulannya. Pasanglah niat jangka masa panjang iaitu belajar atas matlamat yang lebih besar dan jauh. Dalam Islam, kita diperintahkan menuntut ilmu kerana Allah. Maka secara tak langsung, tanggungjawab yang kita pikul, cabaran yang kita hadapi yang besar mahupun kecil, semuanya didasarkan atas niat kerana Allah Taala.
Segala perbuatan yang diniatkan kerana Allah akan dikira IBADAH. Jika terdapat anasir-anasir jahat yang datang mengganggu ketika menuntut ilmu pun dapat ditepis kerana Allah membantu dan melindungi kepada siapa yang beribadah kepada-Nya. Tetaplah dengan niat yang satu. Matlamat yang besar akan mengecilkan cabaran yang ada didepan kita. Jadi besarkanlah niat anda berlandaskan pada Yang Maha Besar!

Wednesday, January 13, 2010

Ber'lakon'lah jadi ahli syurga!

Artikel ini ana tulis khas buat sahabat seperjuangan. Alhamdulillah 3 hari baru dapat siap. Maaf. Sibuk sket..(alasan lagi..)

Alhamdulillahirabbil a’alamin.Tuhan yg Maha Berkuasa Seluruh Alam. Yang menjadikan bumi dan matahari, planet-planet yang berputar mengelilingi paksinya, kejadian siang dan malam. Dan sesungguhnya, beruntunglah bagi orang yang memikirkan kekuasaan-Nya.
Syukur sekali lagi ke hadrat Allah SWT atas pinjaman nikmat yg diberikan kepada kita dapat lagi kita hidup meneruskan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi ini.

“Ya Allah, ya Tuhanku. Engkaulah yang menghitung yang menghimpun dengan teliti dan cermat segala gerak-geri hamba-hambamu. Engkau maha mengetahui akan sikap dan tingkah laku orang-orang yang menjauhi atau yang mendekatimu. Engkau telah menghimpun segala rahsia dan yang lebih tersembunyi daripada rahsia hamba-hambamu. Ya Allah, engkau bukakanlah tabir yang menyelubungi kalbu kami. Supaya kami dapat menyaksikan pada diri kami akan adanya cahaya anugerahmu. Wahai tuhan yang Maha memberi anugerah dan berikanlah kami cahaya pengawasan diri supaya kami dapat mengawasi segala aktiviti dan kelakuan kami. Dan dapat menghisab serta menghitung dengan teliti segala keadaan kami sama ada gerak kami ataupun diam kami.”

Doa ni ana dapat dari ustaz kariman. Kalau kenal la. Sangat menyentuh hati bila mendengarnya. InsyaAllah, pada kali ini ana nak kongsi sedikit sebanyak tafsiran nama-nama Allah, Asmaul Husna iaitu sifat Al Mubdi dan Al Muiidu. Jika masih ingat, pada tahun lepas, ana pernah post sekali artikel sifat Allah Al-Ghafuur. Boleh check balik kat ruangan Sedikit Usahaku disebelah. Itu pun disampaikan oleh Ustaz Kariman jugak. Semoga artikel ini dapat menjadikan kita lebih mengenali Allah serta meningkatkan cinta kita kepada Nya! Takbir!

Secara ringkasnya nama Allah yang ke 58 dan 59 iaitu AlMubdi dan AlMuidu tidak disebutkan didalam kitab Al-Quran tetapi kita hanya menemukan kata kerjanya sahaja. Jika kita pelajari bahasa arab, kata Al-Mubdi berasal daripada ba-dal-hamzah yakni yang bermaksud memulakan sesuatu. Manakala Al-Mui’du berasal daripada ain-wau-dal yakni bermakna mengulangi atau kembali. Juga bermaksud pendua bagi sesuatu yang diulang-ulang.

Al-Mubdi
Pertama, maksud Allah Al-Mubdi ialah Allah s.w.t merupakan Tuhan yang memulai segala ciptaan. Segala yang wujud yang ada di dunia ini bersumberkan daripada Allah s.w.t. Dengan kata lain, Allah menjadi sebab utama bagi segala yang wujud. Jika Allah mengkehendakinya ada, maka adalah bagi sesuatu itu. Jika ada, adalah dia. Ini merujuk kepada Tauhid Rububiyyah seseorang yang wajib diyakini bahawa Allah lah penyebab kepada semua kejadian dan bagi segala yang wujud. Mempercayai pada selain Allah boleh menyebabkan syirik.

Kedua, sifat Al-Mubdi adalah memiliki bagi segala yang mewujud. Segala yang wujud adalah milik-Nya. Innalillah, AlMubdi’ segala sesuatu adalah milik Allah kerana dia yang memulai segala yang menciptakannya. Waninna ilaihi rhajiun, dan kepadanya kami kembali, AlMu’id, Dia yang mengembalikan. Kalau Dia yang menghidupkan maka Dia yang mematikan kemudian Dia yang menghidupkan semula. Kalau Dia yang menciptakan kali pertama maka Dia yang akan menciptakannya lagi.

Al-Muiidu
Kemudian, maksud Allah Al-Muiidu ialah Allah akan mengulangi apa yang pernah dicipta-Nya. Sebagai contoh jika hari ini Allah mematikan seseorang maka hari ini juga seorang bayi baru dilahirkannya. Dan ciptaan itu sifatnya adalah sama. Jika dahulu Allah ciptakan Nabi Adam a.s sama sahaja cara Allah ciptakan kita sekarang. Bagaimana Allah ciptakan organ yang berfungsi pada Nabi Adam sama sahaja fungsi organnya dengan kita. Sebab itu hari ini boleh lahirnya ramai doktor-doktor pakar kerana mereka dapat mengkaji dan mempelajari organ-organ yang sama dan dapat merawat terus penyakit. Cuba bayangkan jika ciptaan setiap orang berbeza setiap satunya pasti para doktor mempunyai masalah dalam merawat pesakitnya yang berlainan dengan apa yang dipelajarinya. Pengulangan yang berkali-kali inilah yang membuatkan kita dapat memahami rahsia disebalik ciptaan-Nya. Demikian juga alam semesta, Allah ciptakan dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besarnya, Allah mengulang-ulang dengan bentuk yang sama dan kaedah yang sama. Sunnatullahnya tetap sama.

Allah bukan sahaja mengulangi ciptaan yang diciptakan-Nya malah juga mengulangi fungsi ciptaannya. Contohnya kulit kita. Kulit diciptakan dengan berbagai deria seperti rasa, sentuh, panas, sejuk dan sebangainya. Jika di dunia kita dapat merasai panas, sejuk dan sebagainya. Apabila di akhirat kelak Allah akan mengulangi ciptaan itu yang sama fungsinya ketika didunia. Jika didunia kita dapat merasa sejuk dan panas, di akhirat kelak kita dapat juga merasai sejuk dan panas. (Surah An-Nisa’ : 56)
Sesungguhnya orang-orang yang kufur, dengan ayat Kami, kelak akan pasti Kami akan benamkan mereka kedalam neraka. Setiap kali telah, kalau buah nadhijah itu maknanya masak, kalu kulit itu maknanya dah hangus. Nadhijat juluuduhum, kulit-kulit mereka, setiap kali kulit-kulit mereka hangus dibakar dek api, baddalnaahum juluudan ghairaha, Kami gantikan denagn kulit-kulit selainnya. Jadi sentiasa kulitnya bertukar baru. Kenapa diganti bila dah masak dah hangus? Kerana li yazhuukula’zaab. Supaya mereka dapat merasai akan azab.

Cuba teliti ayat ini, kenapa Allah tidak kata setiap kali hidungnya tercabut, Kami tukar hidung yang baru. Setiap kali rambutnya hangus, kami tumbuhkan lagi rambut baru? Kerana disebutnya kulit kerana didunia lagi kulit ini untuk deria rasa. Allah dengan sifatNya yang Maha sempurna telah meletakkan berapa jaringan saraf dibawah kulit kita dengan itu kita dapat merasakan panas, sakit, pedih, sejuk dan sebagainya. Nanti diakhirat pun diciptakan kulit itu sama fungsinya dengan didunia. Perbuatan Allah menciptakan kulit dengan fungsi yang sama itulah yang dinamakan Al-Muid, mengembalikan ciptaan yang sama.

Kemudian, makna Al-Muidu juga bermaksud Allah s.w.t sentiasa menciptakan sesuatu daripada lawannya. Surah Toha : 55
Darinya (tanah) itulah Kami menciptakan kamu dan kepadanyalah Kami mengembalikan kamu dan dari sanalah Kami akan mengeluarkan kamu pada waktu yang lain.

Ayat ini mengandungi kedua-dua makna Al-Mubdi dan Al-Muiidu. Allah memberitahu kita bahawa kita dijadikan daripada tanah. Kemudian kedalam tanah, Allah kembalikan kita. Kemudian daripada tanah jugalah Allah mengeluarkan kita pada untuk kali yang lainnya. Dimatikan ketika hidup didunia dan kemudian dihidupkan kembali untuk hidup di akhirat kelak.

Kemudian tentang amalan kita, Allah yang menciptakan amalan kita dan Allah akan mengulangi ciptaan amalan kita. Maksud Allah yang menciptakan amalan kita ialah seperti contoh bayi yang lahir daripada pasangan yang sah, Allah yang menciptakannya. Bayi yang lahir daripada pasangan yag berzina juga Allah yang menciptakannya. Orang yang mati akibat penyakitnya juga Allah yang menciptakannya. Namun yang perlu kita fahami, amalan yang kita lakukan, Allah yang menciptakannya tetapi kita yang memilihnya. Jika kita pilih untuk buat jahat, maka Allah akan menciptakan amalan jahat itu manakala jika kita pilih untuk buat baik, Allah akan menciptakan amalan baik itu. Di akhirat kelak, Allah akan mengulangi perbuatan amalan itu. Sebagai contoh semasa peristiwa Isra’ Mi’raj, Nabi Muhammad s.a.w melihat manusia diseksa dengan berbagai keadaan berdasarkan amalan yang dilakukannya ketika di dunia. Salah satunya Nabi s.a.w melihat kepala mereka dihentakkan dengan batu sehingga pecah kemudian pulih dan dipecahkan lagi. Lalu ditanya oleh Nabi kepada Malaikat Jibril terhadap apa yang telah dilakukannya. Lalu Jibril menjawab itulah orang yang meninggalkan solat. Soalnya kenapa orang yang meninggalkan solat dihentakkan kepalanya sehingga pecah? Ini kerana amalan meninggalkan solat ialah pilihan mereka. Mereka sendiri yang mengatakan taknak dengan alasan-alasan yang berbagai. Sebab itu kepalanya dihentak sehingga pecah. Contoh lain jika di dunia seseorang itu suka mengumpat, maka diakhirat kelak akan dipotong lidahnya.

Maknanya disini Allah bukan menciptakan amalan itu semula tetapi dalam bentuk balasannya. Jadi kalau Allah yang menciptakan amalan itu didunia atas dasar pilihan manusia maka Allah jugalah akan mengulangi perbuatan itu tapi bukan berupa amalan tetapi berupa balasan. Jadi amalan kita ini seperti menempah balasan. Jadi setimpal amalan kita ni memberi kesan kepada jenis apa balasan yang akan kita perolehi dan yang diterima di akhirat kelak. Sebab itu jika ingin masuk syurga, semasa didunia lagi kita perlu melakonkan watak-watak ahli syurga. Awas! maksud saya berlakon disini ialah berperangai seperti ahli syurga bukannya berpura-pura.

Oleh itu, jika kita lihat didalam surah Al-Waqiah, kita akan dapat bagaimana sifat ahli syurga ini sebagai contoh ialah pada ayat ke 16. Berhadap-hadapan. Saling berhadapan menunjukkan kemesraan, persahabatan. Kemudian pada ayat seterusnya ayat 25 dan 26. Mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa seperti mengumpat. Tetapi mereka mendengar ucapan salam, sentiasa memberikan kesejahteraan kepada orang.
Orang muslim, kalau kita belum dapat membantu orang, minimumnya kalau kita belum dapat menyenangkan hati orang lain, janganlah kita menyusahkannya. Itulah yang paling minimum. Kalau kita belum dapat memberikan sesuatu pada orang lain, janganlah kita merampas, mengambil. Kalau kita belum dapat mengakui kebaikan orang lain, jangan pula kita mengungkit-ngungkit keburukannya. Ini tidak, kebaikannya tidak diakui,ini keburukannya pula yang diceritakannya. Syurga bukan tempat orang seperti ini. Jika kamu belum dapat menolong orang, janganlah kamu menyusahkannya.

Kesimpulannya ber’lakon’lah seperti ahli syurga ketika didunia ini supaya kelak Allah akan mengulangi amalan kita di syurga kelak. Amin..

Wednesday, January 6, 2010

Viva Palestina!

Salam warahmatullah..selawat dan salam ke atas nabi Junjungan Muhammad s.a.w dan para sahabat dan keluarganya. Ya Allah, Engkau kurniakanlah keatas para syuhada’ yang memperjuangkan membela Islam dan yang sanggup mengorbankan jiwa, harta, masa, dan tenaga semata-mata untuk menegakkan agama-Mu. Ya Allah, Kau berikanlah kemuliaan kepada mereka dan tempatkanlah mereka di syurga Firdaus-Mu.

Apakah tragedi yang telah berlaku di negara saudara se-Islam kita di Palestin?

1. Bangunan kediaman diruntuhkan oleh serangan tentera udara

2. Pelarian terdiri daripada kanak-kanak dan ahli keluarganya mencari perlindungan

3. Tidak mendapat bekalan keperluan seperti makanan, air, perubatan disebabkan sekatan.

4. Sekolah dibom menyebabkan sistem pendidikan terjejas.

5. Rakyat dibom mati sehingga mayatnya tertimbus dalam tanah.

6. Banyak mangsa-mangsa bom tidak mendapat bantuan perubatan.

Sengaja ana listkan supaya senang kita nak renung kembali berapa banyak kesenangan yg kita nikmati daripada dahulu sehingga tahun 2010 ini. Kalau diikutkan masih banyak lagi tetapi itupun sudah cukup untuk dijadikan renungan. Jika kita nak bandingkan, kita telah memperoleh banyak kesenangan dan adakalanya kita masih rasa tak cukup dan tidak pernah bersyukur dengan apa yang kita kecapi saat ini. Bayangkan jika perkara ini terjadi kepada negara kita, kepada siapa kita nak mohon simpati?

Lagi satu, sehingga kini penduduk Gaza Palestin telah ditindas dengan berbagai bentuk serangan orang Yahudi tetapi kebanyakan umat Islam seolah-olah tidak membantu dan tidak mempedulikannya. Justeru itu, ayuhlah kita sama-sama bangun untuk menghulurkan bantuan sedikit sebanyak kepada mereka.

Soalnya bagaimana?

1. Doakan lah kesejahteraan umat Islam disana. Doakan kejayaan mereka dalam perjuangan. Doakan kehancuran dan kekalahan pihak zionis Yahudi. Doakanlah mereka setiap kali selepas solat.

2. Hulurkanlah bantuan kepada mereka sama ada dalam bentuk wang, bekalan makanan, pakaian, bantuan perubatan dan sebagainya untuk mengurangkan bebanan yang mereka alami.

3. Follow-up berita-berita tentang negara saudara kita sama ada di Pelestin, Chechnya, Iraq, Selatan Thai dan sebagainya di akhbar atau internet untuk meningkatkan pengetahuan dan kepedulian kita.

4. Jika kita ada blog, tulislah dan sebarkanlah berita-berita kekejaman Yahudi kepada sahabat-sahabat kita. Sama ada melalui email, Facebook dan sebagainya.

5. Boikot. Tentang ini kebanyakan umat Islam dah hampir lupa barang-barang yang menyumbang kepada kewangan Yahudi. Produk2 Yahudi sebenarnya telah menyumbang bermilion-milion dollar kepada mereka dan duit itu digunakan untuk perbelanjaan kertenteraan mereka. Ayuh, boikotlah wahai sahabat-sahabatku..

Ana tau mungkin sesetengah barang dah biasa kita beli tetapi cubalah tinggalkan lah sikit2. Tetapi barang yang perlu kita tinggalkan terus ialah Coca-cola, McDonald, StarBuck Coffee dan Colgate sebab produk ini lah yang paling banyak menyumbangkan keuntungan mereka kepada Yahudi. (tanggalkanlah sticker McD kat kereta tu kalau boleh..(-_-)

Buat lah alternative kepada barang-barang tersebut contohnya Radix Cola, Ubat gigi Mukmin, jika teringin beli ayam goreng, belilah MyFC ke, RFC ke, Ayamas ke. (pasni KFC pun xleh dah nmpaknye..)

Senarai Barang2 boikot

6. Sebarkan risalah mengenai berita-berita terbaru dan pemboikotan atas barangan mereka. Tampal poster boikot..Allahuakbar!!

7. Jika mampu, buatlah program memperingati penderitaan saudarakita seperti Untukmu Palestin sekali setahun supaya dapat membangkitkan kesedaran masyarakat.

8. Jika kita mampu lagi, joinlah konvoi bantuan kemanusiaan di sana.

Ayuh!, Jadilah pemuda-pemudi yang peka zaman! Pedulilah dengan permasalahan yang mendera umat kita sendiri! Siapa lagi yang perlu bertanggungjawab ke atas umatnya sendiri melainkan generasi muda? Takbir!!

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?(Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui,"

As-Saff : 10-11

Tuesday, January 5, 2010

Syair Keindahan Islam

InsyaAllah kali ni nak berkongsi sajak Keindahan Islam. sajak ni dihadiahkan oleh ayah ana masa di matrikulasi dahulu..moga2 dengan sajak ini kita dapat menghayati kembali saat kebangkitan Islam tika dahulu dan dapat membangkitkan pula semangat untuk kembalikan Islam pada masa kini...semoga dapat ambil manfaat.

KEINDAHAN ISLAM…
(Dahulu, kini, nanti)

I.
Dahulu…
saat indah zaman nubuwwah
Di kanan iman, di kiri ukhwah
Di tapak… kebersihan hati
Di puncak… kecanggihan teknologi
Lahir ulama yang takutkan Allah
Muncul umara yang cintakan ummah
Islam itu indah… kerana Allah itu indah

Makmurnya watan ketika itu
Bila ditunjangi sikaya yang syukur
Diimbangi oleh simiskin yang sabar
Dilimpahi barakah peniaga yang jujur
Dibantu oleh doa siabid yang makbul
Islam itu indah… kerana Allah itu indah

Lalu keindahan Islam pun kembara
dari Makkah ke Madinah
Menuju Asia, Afrika dan Eropah
Jelajah serata benua
Menaungi seluruh buana
Keadilan, keamanan, kemakmuran dinikmati bersama
Islam itu indah… kerana Allah itu indah

Ketika itu peribadi umat dihias mahmudah
Di asas ‘lil Lah’ padulah keikhlasan
Gerak kerja cekap dan berkesan
Kukuh seluruh sepenuh itqan
Tiada yang sambil lewa
Tidak ada tempat bagi yang alpa
Seluruh, sepenuh, siap siaga
Islam itu indah… kerana Allah itu indah

II.
Kini…
Marilah kita cipta kembali sejarah
Bukan sekadar mengimbau dan memuja
Tetapi dengan merancang dan berusaha
Hidup kita itulah kembaranya
Langkah kita itulah destinasinya
Membina TAQWA dengan yang Esa
Melahirkan AKHLAK sesama manusia
Menjana ITQAN di dalam kerja
Islam itu indah… kerana Allah indah

III.
Nanti…
Pastikan terukir kembali
Keindahan Islam yang sejati
Bukan lagi mimpi, bukan lagi teori
Tapi kenyataan yang hakiki
Bila kerendahan hati seorang abdillah
Disepadukan keperkasaan jiwa seorang khalifah
Tunggulah masanya
Ia pasti serlah
Islam itu indah… kerana Allah itu indah

Wednesday, December 30, 2009

Permulaan yang tiada penghujungnya

Sudah lama tidak menulis. Memandangkan diri sibuk dengan urusan pelajaran. Kalau fikir balik, semua hanya alasan sahaja. Betul lah apa yg dikata oleh ayah, penulis sebenarnya seorang yang banyak membaca. Masakan nak menulis pun, ilmu perlulah ada. Jika tidak, pasti kebuntuan. InsyaAllah , sempena maal hijrah 1431 ni, ana dah bertekad untuk pupuk diri supaya lebih suka membaca. Bukan untuk menulis, tetapi pepatah Arab mengatakan “Alqiraah miftahul ‘Ilm” Membaca itu kunci pengetahuan. Lagi banyak kita baca, bukan sahaja ilmu yang kita akan dapat, malahan kosa kata (vocab) juga akan bertambah. InsyaAllah, akan mula sedikit2 dahulu kemudian istiqamah.

Bercakap mengenai soal tahun baru, esok tahun baru bakal menjelang. Pejam celik, pejam celik rasa macam sekejap sahaja tahun ini dah dilalui. Hari-hari yang telah dilalui banyak meninggalkan kenangan dan perasaan yang payah untuk ditafsirkan namun sangat bermakna untuk mendidik diri ini. Segala masalah-masalah yang dihadapi bersilih ganti ada yang berjaya dan ada juga yang kecundang. Namun, muhasabah diri lah sebagai pengubat semuanya. Ianya seperti post mortem untuk diri sendiri. Post mortem yang bukannya untuk disimpan, tetapi sebagai rujukan untuk tahun hadapan. Mungkin kita rasa, “ahh,buat apa dikenang pengalaman yang lalu, buat malu je..dulu kita belum matang lagi”, tetapi itu silap..jika kita tak melalui pengalaman/kesilapan yang lalu, maknanya kita orang yang sombong dan tak mahu belajar. Jika di amati betul2, kesilapan itu juga yang membuatkan kita tahu, arif tentangnya. Jika tak, jahillah sehingga sekarang dan mungkin kita akan menghadapi masalah itu walaupun ianya cuma masalah kecil!

Namun, tak semestinya muhasabah tahun baru hanya dilihat dari aspek ‘kegagalan’ sahaja, tetapi lihatlah juga dari aspek ‘kejayaan’. Yang penting dalam diri kita, apakah diri kita sudah berjaya? Maksud disini bukan dari segi akademik sahaja, tetapi dari segi rohani bagaimana? Jika pada awal tahun baru dulu kita mahu menjadi oang yang bersabar, adakah sudah berjaya? Jika belum, teruskan lah azam itu untuk tahun baru ini. Dari segi aspek akademik pula bagaimana? Jika kita tidak dapat seperti yang kita inginkan, tak mengapa. Buatlah dengan lebih baik pada masa akan datang. Keep moving. Nasihat ana, tak semestinya tahun baru kita perlu tukar azam. Tetapi untuk meneruskan azam tahun lalu disamping meningkatkan prestasinya juga adalah satu azam juga. Dari segi rohani, sudahkah kita berjaya menangani hawa nafsu kita dari kemungkaran dan maksiat? Masihkah kita jatuh dilompang-lompang yang sama? Bagaimana pula amalan kita? Alquran, solat berjemaah, sedekah dan sebagainya? Hubungan dengan manusia bagaimana? Adakah masih lagi bermusuhan, bertelagah? Jika masih ada, bermaaf-maafanlah segera. Pendamaian itu manfaat, permusuhan itu melarat. Awasilah amarahmu, jika tidak boleh membawa kebinasaan. Kawallah dengan sabar kerana ianya melembutkan. Ingat, akal memandu hati. Jika akal tidak mengawal hati, pasti nafsu merajainya. Janganlah tergopoh-gapah dalam membuat keputusan, pintalah hidayah dan panduan Allah dalam menilainya. Tenang itu dengan mengingati Allah. Jika kita mengingatiNya, Dia akan membantu kita.

Teruslah bermuhasabah diri. Akhir tahun bukanlah penamat. Awal tahun bukanlah permulaan. Kerana kehidupan ini sudah bermula sejak di alam roh lagi. garis penamatnya ialah kematian. Namun janganlah kata ianya penamat kehidupan, kerana kehidupan ini tiada penamatnya. Kita dihidupkan untuk selama-lamanya sehingga akhirat nanti. Cukuplah kematian itu sebagai peringatan. Sabda Nabi Muhammad s.a.w “Orang yang bijak ialah orang yang selalu ingat mati” maknanya hanya orang yang ingat mati tahu untuk apa dia hidup, diciptakan. Kita diciptakan untuk 2 tugas. Khalifah dan hamba. Ingatlah kembali misi hidup kita di atas muka bumi. Orang yang ingat mati akan berbuat amalan dan ibadah untuk bersedia kehidupan nya diakhirat kelak. Maknanya dia membuat persiapan untuk perjalanan yang lebih panjang. Sebab itu dia dikatakan bijak.

Usrah boleh menambah ilmu dan keyakinan kita kepada Allah disamping membina rohani yang kuat.

Cukuplah muhasabah untuk akhir tahun ni. Semoga tahun baru membuka peluang yang lebih luas untuk membaiki diri dan meningkatkan amalan. InsyaAllah..ingatlah jalan kehidupan ini, pangkalnya sudah jauh…hujungnya belum tiba. Semoga terus istiqamah atas jalan yang diredhai-Nya. Biiznillah.

Semoga pada tahun 2010 bersamaan 1431 Hijrah ini membuka peluang untuk menjadi hamba Allah yang lebih kuat dalam menghadapi jalan menuju ke akhirnya yakni syurga Allah..amin..

Suci Sekeping Hati

Sekeping hati dibawa berlari
Jauh melalui jalanan sepi
Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang

Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa

Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti
Akan kaburkah mata yang meratap
Pada debu yang pastikan hinggap

Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba

Catatan buatku di akhir tahun : 9.23 am 31/12/2009. Semoga dengan catatan ini, dirimu tahu perjalanan itu panjang. Dengan Islam, kebahagian bukan di penghujung jalan, tetapi disepanjang jalan!

Monday, November 30, 2009

Melangkah ke husnu-zone!

InsyaAllah, kali ni saya ingin berkongsi satu artikel berkenaan bersangka baik. Artikel ni diambil dari Pelita Brunei. Memandangkan hati ini mula menunjukkan symptom2 mazmumah ni eloklah diubat dengan peringatan secepat mungkin kerana inilah tandanya hati kita sudah sakit. Moga-moga selepas ini ianya dapat membina sangkaan yang baik-baik terhadap apa yang berlaku kepada kita. Lebih-lebih lagi berbaik sangka dengan Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud:

“ Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain.”
(Surah al-Hujurat 49:12)

Oleh itu, teruskan membaca. Semoga yang meng’post’ lebih banyak dapat manfaat daripada yang membaca…
Mulianya sifat berbaik sangka

Hubungan baik sesama manusia khususnya antara orang Islam haruslah diusahakan dengan sebaik mungkin. Di dalam al-Qur'an, Allah subhanahu wata'ala telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Ini bertepatan dengan firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al Hujuraat ayat 10, tafsirnya:

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Ini bermaksud, kita sebagai hamba-Nya mestilah menanamkan sifat atau sikap berhubungan baik sesama kita sebagai muslim dan juga memperkukuh dan memantapkan persaudaraan. Islam menuntut umatnya agar memelihara hubungan persaudaraan sebaik mungkin. Salah satu daripadanya ialah dengan bersangka baik dengan apa jua yang kita dengar atau pandang sekalipun perkara berkenaan kita pandang dengan mata dan dengar dengan telinga kita sendiri. Jika perkara ini timbul lebih-lebih lagi dengan perkara negatif, janganlah terus diterima bulat-bulat, jauh sekali dari terus memberikan tindak balas yang juga bersifat negatif. Selidiki akan kebenaran dan ketidakbenarannya. Seseorang yang ditimpa musibah umpamanya kecurian, akan merasakan dirinya dalam ketakutan dalam menghadapi hari mendatang kerana merasa sangat jera perkara yang sama akan berlaku dan dari sini akan timbul prasangka buruk dan yakin musibah berkenaan akan datang lagi menimpa diri dan keluarganya, di samping menuduh atau membenci segala apa yang melibatkan musibah itu berlaku. Sewajarnya mereka bersyukur dengan segala kejadian yang menimpa kerana ada rahmat di sebaliknya. Kemungkinan kejadian ini akan menjadikan mereka berhati-hati, berwaspada dan bersabar, di samping muhasabah diri dan berusaha dan mencari punca sebab kejadian berlaku.

Namun bagi mereka yang mempunyai iman yang mantap, mereka akan bersangka baik dan menganggap semua itu datangnya dari Allah subhanahu wata'ala dan yakin ada hikmat di sebalik semua yang berlaku. Apapun jua, sebagai hamba-Nya yang beriman hendaklah berpandukan kepada ajaran-Nya dan sunah Rasulullah sallallahu Alaihi wasallam.
Firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al Hujuraat ayat 6, tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Jauhkanlah diri kita daripada beranggapan negatif kerana andainya bersikap demikian akan menghancur dan merosakkan ukhuwah sesama kita. Kita hindarkan diri dari bersifat bersangka buruk yang ada di dalam diri seseorang, malahan juga pada saat-saat waktu akibat terpengaruh dengan keadaan persekitaran.

Dengan bersangka baik, hubungan sesama sahabat dan saudara akan terhindar dari keretakan dan pecah belah malah keharmonian akan dikecapi kerana tiada perasaan bersangka buruk bersarang di dalam hati dan fikiran kita. Selain itu, dengannya jua menghindarkan orang lain dari menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang nyata.

Dalam mengharungi kehidupan dan situasi kehidupan yang penuh pancaroba dan pergolakan ini, pastinya pelbagai perkara yang kita lihat sama ada perkara itu kita ingini atau kurang kita ingini, umpamanya, kita sewajarnya turut bersyukur dan berbahagia dengan kejayaan orang lain walaupun diri kita sendiri belum ke arah itu.
Janganlah kita merasakan diri kita kurang bertuah atau menyalahkan nasib kerana tidak memiliki nikmat seumpamanya. Malah jadikanlah perkara ini akan lebih membuatkan diri dan kehidupan kita sentiasa tenang dan terhindar dari berperasaan iri hati, jauh dari bersangka buruk dengan mengatakan mereka memperolehinya dengan cara yang salah dan sebagainya. Bagi mereka yang beriman ianya lebih memberikan semangat untuknya dan akan terus berusaha mengikut jejak mereka dalam meraih kejayaan kerana yakin bahawa kejayaan yang mereka perolehi datangnya dari Allah, di samping berusaha yang lebih jitu.

Bersangka buruk pula boleh mendatangkan dosa kerana tanpa asas yang kukuh mengakibatkan terjadinya sifat-sifat buruk yang lain yang merosakkan hubungan kita dengan orang lain umpamanya mencerca, mengumpat, ghibah, benci, hasad dengki, menjarakkan hubungan dengan orang lain. Seperti firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah Al Hujuraat ayat 12, tafsirnya:

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan kea'iban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

Berburuk sangka merupakan perkara yang amat merugikan kerana disebabkannya terhasillah dosa dan sebesar-besar pembohongan atau dusta. Berbohong atau berdusta merupakan satu perbuatan yang jika sekali dicuba akan menjadi kebiasaan atau kelaziman. Dusta seseorang yang biasa berdusta bukanlah merupakan paksaan, tetapi sudah merasa seronok berbuat demikian. Dia akan merasa puas dan bangga apabila pendengarnya merasa kagum dan terpukau.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Rasulullah sallallahu Alaihi wasallam bersabda, bermaksud:

"Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran, dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta."

Sebagai mukmin sejati, perkara seumpama ini hendaklah dihindari dan menyedari betapa berburuk sangka sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi terhadap sesama muslim. Apabila perasaan ini timbul, maka segeralah kita bertaubat dan meminta ampun kepada Allah subhanahu wata'ala. Berusaha dan cegah serta jauhi perkara demikian kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud menyesatkan dan menyelewengkan kita dan akidah kita akan terpesong dan hancur. Kita sewajarnya memperkukuh jalinan persaudaraan antara sesama kita dan memperkembangkan sifat berbaik sangka, bukannya berburuk sangka.

Tuesday, November 17, 2009

Hikmah Daging Korban


Allahuakbar, allahuakbar, allahuabar..walillahilhamd. Ya, raya korban bakal menjelma tidak lama lagi. Kalau kita lihat dimasjid, berbagai persediaan dilakukan untuk menghadapi hari yang mulia ini seperti menguruskan hal korban, akikah dan sebagainya. Manakala para jemaah haji pula sedang menunaikan ibadah haji di tanah haram. InsyaAllah, artikel pada kali ini suka saya nak berkongsi sedikit tentang persiapan kali ini. Pernah saya terbitkan artikel ini dalam risalah Pusat Islam semasa di matrikulasi dahulu.

Jadi, apakah persediaan raya kali ini? Rasa-rasanya tentu tidak sehangat raya puasa yang lepas. Tak mengapalah jika persiapan fizikal tidak sehebat mana, tetapi bagaimana dengan persiapan mental, fikiran dan jiwa? Sejarah raya korban ni banyak berkisarkan tentang sejarah nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail yang saya rasa ramai yang tahu. Inputnya tetap sama iaitu pengorbanan. Apa yang kita boleh ambil dari sempena raya korban ni? Adakah sekadar daging korban? pernah kita fikirkan hikmah di sebalik pengorbanan itu? Inilah yang kita akan bincangkan pada kali ini iaitu pengorbanan.

Pada kita pengorbanan itu sesuatu yang sukar dan mungkin terpaksa mengorbankan kepentingan diri demi sesuatu tujuan.

Sebagai contohnya sebagai pelajar. Banyak pengorbanan yang kita lakukan demi mencapai kejayaan seperti jumpa lecturer, hadir ke kuliah, buat tutorial dan berbagai lg. Namun hakikatnya untuk mencapai sesuatu yang berharga, banyak dugaan-dugaan yg kita perlu tempuhi.

Tetapi bagi umat Islam, kejayaan yang ingin dicapai adalah kecemerlangan di dunia dan akhirat. Maka, segala ibadah seperti solat, puasa, belajar (yang diniatkan kerana Allah) semuanya memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi kerana matlamatnya ialah mencapai keredhaan Allah dan mendapat balasan Syurga.

Ketahuilah bahawa syurga itu sesuatu yang sangat mahal dan berharga. Bukan calang-calang orang yang dapat memasukinya. Hanya iman yang betul-betul kental sahaja yg dapat layak mendapatkannya.

Apa yang saya nak kaitkan dengan erti pengorbanan kali ni? Ya, semua manusia tidak dapat lari daripada pengorbanan. Lagi-lagi pengorbanan sebagai seorang muslim yang selalunya mudah kita lupakan. Apa yang kita lakukan untuk agama kita hari ni? Biar saya perincikan, apa yang kita korbankan demi Islam hari ini? Adakah sekadar solat dan puasa sahaja? Tidak cukup, itu semua baru sedikit.

Cuba kita fikirkan, dalam sehari ada 24 jam. Berapa jam yang kita luangkan untuk beribadah? Cukupkah jika hanya 20 minit jika nak dibandingkan dengan hidup di syurga yang selama-lama nya? Jika nak dibandingkan amalan kita itu untuk masuk ke syurga rasa-rasanya sudah cukupkah? kalau semua yang kita lakukan itu betul-betul sempurna tidak mengapa, yang saya bimbangkan kalau tak.

Jika anda bijak, mesti anda akan lakukan alternative seperti melakukan ibadah2 tambahan. Macam study juga, untuk menguatkan pemahaman, anda mesti lakukan alternative seperti melakukan latihan tambahan, membuat nota, berbincang dengan rakan dan sebagainya. Dengan itu barulah kita akan mudah mencapai kejayaan. Walaupun ianya susah tetapi hakikatnya itulah pengorbanan. Selalu kita diperingatkan dengan kata-kata “jangan dipandang pada pahitnya usaha tetapi renunglah pada manisnya sebuah kejayaan.”

Oleh itu saya nak ajak pembaca sekalian,
Berkorbanlah untuk melakukan amalan ibadah yang boleh membantu anda mencapai kejayaan di akhirat kerana disitulah terletaknya kejayaan yang paling manis iaitu syurga. Di syurga semua nikmatnya manis-manis belaka. Oleh itu, kita perlulah menghadapi kepahitan ujian dan dugaan ketika didunia. No pain no gain. Buatlah amalan-amalan yang dapat mendekatkan kita dengan Allah, sabarlah menghadapi ujian yang Allah berikan kepada kita kerana ujian itu pada hakikatnya semacam ajakan Allah untuk mendekatkan kita pada-Nya.
Jangan tunggu tua baru nak buat kerana waktu tu kita sudah tak berkemampuan.
Rebutlah peluang masa muda ni untuk berkorban kerana waktu inilah tenaga kita masih kuat (seperti yang saya ceritakan dalam artikel sebelum ini). Tetapi awas dalam berkorban, jangan sehingga anda sendiri yang terkorban!
Rajin-rajinlah datang ke masjid memohon keampunan kerana masjid itu rumah kepada Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Menerima Taubat.
Jadi segala apa yang anda pohonkan pasti diperkenankan cepat.
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya AidilAdha dan selamat menjalankan ibadah “korban”!


KEJAYAAN DUNIA
bayangan kejayaan akhirat.
Selagi tidak berjaya di dunia
kita tidak akan berjaya di akhirat.
Di dunia kita menyemai.
Akhirat kita menuai.
Bolehkah kita memetik buah yang baik
jika pohon yang kering?

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...