Tuesday, November 11, 2008

Perjuangan dalam organisasi!


Sering-seringlah bertanya kepada akal sendiri, apa yang diperjuangkan? Mungkin akal akan menjawab, “aku memperjuangkan Islam.” Kemudian, tanyakan soalan yang sama kepada hati. Jika jawab hati (tentulah dengan sejujur-jujurnya), ”aku ingin memperjuangkan Islam,” maka ketika hati dan akal telahpun bersatu. Bila hati dan akal bersatu maka barulah kita punya matlamat yang tepat dan jelas.

Dan jika ada pihak lain yang juga akal dan hatinya telah bersatu, maka akan mudahlah terbentuk kerjasama antara kita dengan mereka. Kerjasama itu akan harmoni atas dasar kesatuan matlamat. Tetapi sekiranya, kerjasama sukar dibentuk atau kerjasama itu sering bermasalah, itu petanda matlamat antara kita dan mereka masih berbeza. Puncanya? Hati dan akal sesama kita masih belum bersatu. Mungkin hanya ’akal’ yang berkata, ”aku memperjuangkan Islam,” tetapi hakikatnya hati merasakan yang lain.

Hakikat ini ingin saya kaitkan dengan usaha memperjuangan ’produk-produk’ dakwah Islamiah seperti kursus, program latihan, ceramah-ceramah, buku-buku, majalah dan lain-lain-lain wajar dibezakan dengan produk yang bukan dakwah yang sedang meriah di tengah masyarakat masakini. Para penceramah, pemilik syarikat dan aktivist produk dakwah Islamiah wajib mengutamakan ’tujuan’ mengatasi ’keperluan’.

Apakah tujuan para pendakwah (penulis, penceramah, motivator, pemilik syarikat) dengan produk dakwah Islamiahnya itu? Tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mencari keredhaan Allah dengan mengajak orang kepada tauhid, syariat dan akhlak Islamiah. Dan apakah pula keperluan mereka? Ya, sebagai manusia biasa pendakwah juga perlukan wang, gaji dan keuntungan untuk menjalani kehidupan.

Perlu dingatkan bahawa pada diri pendakwah, tujuan (keredhaan Allah) wajib sentiasa mengatasi keperluan (gaji, keuntungan dan ganjaran). Jika berlaku sebaliknya, firman Allah ini telah memberi amaran:
”Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit...” An Nahl 95.

Ingatlah, keredhaan Allah bertunjangkan tujuan itulah ’content’. Manakala keuntungan material bertunjangkan keperluan itulah ’container’. Jadilah pejuang yang sentiasa mengutamakan tujuan berbanding keperluan – ertinya, perjuangkanlah ’content’ bukan ’container’. ’Content’ perjuangan ialah Islam, manakala ’container’ ialah kumpulan, organisasi atau syarikat dimana kita berada atau kita miliki. ’Content’ perjuangan kita mesti satu dan sama, tetapi ’container’ kita boleh banyak dan berbeza.

Jika ini benar-benar kita hayati, maka antara kumpulan atau syarikat yang mempunyai ’content’ yang sama akan mudah berkerjasama. Mengapa? Kerana masing-masing meletakkan kepentingan ’content’ mengatasi ’container’. Tidak ada lagi ’taksub’ kumpulan, syarikat atau obsesi diri. Kita sentiasa yakin bahawa Islam tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana kumpulan. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa bahawa dia sahaja ’satu-satunya’ pejuang Islam yang sejati dan terbaik.

Marilah kita sinergikan akal hati dalam diri sebagai langkah utama dan pertama dalam kerjasama dakwah di tengah ummah. Kalau hati dan akal sudah bersatu maka kita akan mudah berkerjasama melangkaui batas kumpulan, puak atau organisasi!Insya-Allah!

No comments:

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...