Tuesday, November 11, 2008

Belajar Tawakal dari Semut!


Oleh: Pahrol Mohamad Juoi

Kesempatan yang jarang saya temui itu tidak saya lepaskan. Kuliah Maghrib di mesjid kariah saya itu, saya ikuti dengan teliti. Kaedah dan bahasa yang digunakan oleh pengajarnya sangat ’simple’ dan bersahaja – orangnya sederhana, agak tua, berjubah dan berserban putih. Tubunhya pendek tapi menarik, beliau menceritakan perihal komunikasi yang pernah berlaku antara seekor semut dengan nabi Sulaiman. Begini ceritanya...

Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebanyak sebiji butir gandum. Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut dalam satu botol dengan diletakkannya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.

Cukup tempoh setahun, mulut botol itupun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut. Nabi Sulaimana bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji buah gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezkinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezkinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat perihatin manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan terjadi kepadaku?

Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah ketika di luar botol berbanding ’jaminan’ manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Sampai di situ penceramah tua itu pun memberi ’moral’ pada ceritanya. Begini ucapnya:
”Inilah sifat tawakakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari dari semut. Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezki. Bergantunglah kepada Allah. Kalau ada pihak yang berkata, saya jamin bekalan makanan atau simpanan petrol akan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun... jangan terlalu yakin. Sebaliknya, bertawakkallah kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan. Jadilah seperti semut itu.”

Saya termenung panjang dalam fikir yang dalam. Walaupun pengajar kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi pengajarannya sangat luar biasa. Bersahaja, tetapi penuh hikmah dan ibrah. Berapa kerat manusia yang benar-benar mengambil panduan daripada ajaran Islam ketika berdepan dengan krisis dan kemelesetan ekonomi.

Ada seruan yang menganjurkan hidup berjimat ketika ekonomi meleset padahal Islam menganjurkan jimat cermat tanpa mengira situasi dan kondisi. Orang yang membazir adalah ’saudara’ syaitan tidak kira samada semasa ekonomi meleset atau stabil, samada dalam keadaan harga minyak naik atau sebaliknya. Ada pula yang meuar-uarkan agar dilakukan perubahan gaya hidup dalam keadaan sekarang... Sinisnya, bukankah cara hidup orang Islam ialah cara hidup Islam, apa lagi yang hendak diubah-ubahnya?

Jarang benar kita mendengar tafsiran yang lebih tersirat tentang apa yang berlaku kini. Maksudnya, tafsiran yang merujuk kepada ‘musabbabil asbab’ (faktor penyebab) bukan hanya ‘asbab’ (sebab). Hakikatnya, apa yang berlaku ialah dengan izin Allah jua. Dan tentu ada maksud Allah izinkan semua ini berlaku. Apakah pengajaran untuk sikaya, simiskin, peniaga, pengguna, rakyat dan penguasa di tengah kemelesetan ekonomi ini?

Bukankah kita telah diberitahu oleh Al Quran dan Al Hadis bahawa ujian daripada Allah adalah untuk meningkatkan keimanan kita? Dan ujian juga boleh meningkatkan tahap kebijaksanaan, kesabaran dan kekreatifan kita untuk menyelesaikan masalah. Pokok pangkalnya, apakah musibah ini menggugat keyakinan kita kepada Allah yang bersifat Al Wahhab (Maha Pemberi), Al Ghani (Maha Kaya) dan Ar Razzak (Maha Pemberi Rezki) misalnya?

Bagaimana pula kita kembali kepada Allah (raja’na ilallah) dalam menghadapi ujian ini? Apakah kita mula mendidik hati kita dengan sifat-sifat mahmudah bersumberkan akidah Islamiah? Apakah kita mula bermuhasabah tentang sistem ekonomi semasa, apakah telah benar-benar disusun mengikut syariah? Apakah orang kaya dan pengusaha mula tergerak untuk mengamalkan akhlak yang pemurah dan zuhud? Manakala orang miskin pula dengan sifat sabar dan qanaah?

Saya tidak pandai mentafsir lebih mendalam, tetapi itulah yang ’mengganggu’ pemikiran dan rasa hati bila mendengar cerita semut dan nabi Sulaiman oleh penceramah tua itu. Pada saya, pasti ada ’mesej’ dan ’signal’ daripada Allah untuk semua golongan masyarakat di sebalik ujian ini. Mustahil Allah lakukan semua ini dengan sia-sia. Pasti ada sesuatu yang perlu diambil peringatan oleh para hamba-Nya.

Sayangnya, kuliah beliau yang begitu tajam dan menyentuh didengar secara yang hambar sekali. Sidang hadirin yang kebanyaknya golongan ’veteran’ duduk jauh-jauh dan ramai juga yang mendengarkannya sambil lewa. Pada hal, majlis ilmu yang sebegitu mulia (yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai taman syurga di dunia) sangat diperlukan oleh semua – daripada pemerintah hingga kepada rakyat jelata. Hakikatnya, tidak kira samada sultan, menteri, mufti, majikan, buruh dan sesiapa sahaja dapat belajar kejituan tawakkal dan kegigihan ikhtiar... daripada seekor semut!

Perjuangan dalam organisasi!


Sering-seringlah bertanya kepada akal sendiri, apa yang diperjuangkan? Mungkin akal akan menjawab, “aku memperjuangkan Islam.” Kemudian, tanyakan soalan yang sama kepada hati. Jika jawab hati (tentulah dengan sejujur-jujurnya), ”aku ingin memperjuangkan Islam,” maka ketika hati dan akal telahpun bersatu. Bila hati dan akal bersatu maka barulah kita punya matlamat yang tepat dan jelas.

Dan jika ada pihak lain yang juga akal dan hatinya telah bersatu, maka akan mudahlah terbentuk kerjasama antara kita dengan mereka. Kerjasama itu akan harmoni atas dasar kesatuan matlamat. Tetapi sekiranya, kerjasama sukar dibentuk atau kerjasama itu sering bermasalah, itu petanda matlamat antara kita dan mereka masih berbeza. Puncanya? Hati dan akal sesama kita masih belum bersatu. Mungkin hanya ’akal’ yang berkata, ”aku memperjuangkan Islam,” tetapi hakikatnya hati merasakan yang lain.

Hakikat ini ingin saya kaitkan dengan usaha memperjuangan ’produk-produk’ dakwah Islamiah seperti kursus, program latihan, ceramah-ceramah, buku-buku, majalah dan lain-lain-lain wajar dibezakan dengan produk yang bukan dakwah yang sedang meriah di tengah masyarakat masakini. Para penceramah, pemilik syarikat dan aktivist produk dakwah Islamiah wajib mengutamakan ’tujuan’ mengatasi ’keperluan’.

Apakah tujuan para pendakwah (penulis, penceramah, motivator, pemilik syarikat) dengan produk dakwah Islamiahnya itu? Tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mencari keredhaan Allah dengan mengajak orang kepada tauhid, syariat dan akhlak Islamiah. Dan apakah pula keperluan mereka? Ya, sebagai manusia biasa pendakwah juga perlukan wang, gaji dan keuntungan untuk menjalani kehidupan.

Perlu dingatkan bahawa pada diri pendakwah, tujuan (keredhaan Allah) wajib sentiasa mengatasi keperluan (gaji, keuntungan dan ganjaran). Jika berlaku sebaliknya, firman Allah ini telah memberi amaran:
”Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit...” An Nahl 95.

Ingatlah, keredhaan Allah bertunjangkan tujuan itulah ’content’. Manakala keuntungan material bertunjangkan keperluan itulah ’container’. Jadilah pejuang yang sentiasa mengutamakan tujuan berbanding keperluan – ertinya, perjuangkanlah ’content’ bukan ’container’. ’Content’ perjuangan ialah Islam, manakala ’container’ ialah kumpulan, organisasi atau syarikat dimana kita berada atau kita miliki. ’Content’ perjuangan kita mesti satu dan sama, tetapi ’container’ kita boleh banyak dan berbeza.

Jika ini benar-benar kita hayati, maka antara kumpulan atau syarikat yang mempunyai ’content’ yang sama akan mudah berkerjasama. Mengapa? Kerana masing-masing meletakkan kepentingan ’content’ mengatasi ’container’. Tidak ada lagi ’taksub’ kumpulan, syarikat atau obsesi diri. Kita sentiasa yakin bahawa Islam tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana kumpulan. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa bahawa dia sahaja ’satu-satunya’ pejuang Islam yang sejati dan terbaik.

Marilah kita sinergikan akal hati dalam diri sebagai langkah utama dan pertama dalam kerjasama dakwah di tengah ummah. Kalau hati dan akal sudah bersatu maka kita akan mudah berkerjasama melangkaui batas kumpulan, puak atau organisasi!Insya-Allah!

Saturday, September 13, 2008

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).
Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih .
Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.
Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih .
Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah .
Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.
Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291).

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur .
Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278).

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat .
Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.
Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Semoga ini dapat meningkatkan kualiti amalan kita di bulan yang penuh mulia ini. Terima kasih Ustaz!

Majalah Solusi: Permulaan solusi ummah!


Kehidupan kita pasti ada masalah. Seolah-olah ia bagaikan corak kepada kehidupan kita. Jika tiada masalah, hidup bagaikan tidak indah lagi. Masalah juga memberikan kita jalan, pilihan dan seterusnya menentukan tindakan kita bagaimana menghadapi masalah itu. Tetapi awas! Setiap tindakan kita mencorakkan peribadi kita. Oleh itu, menentukan jalan penyelesaian bukanlah boleh diambil mudah tetapi perlu berlandaskan akal fikiran yang di didik dengan alquran dan sunnah. Oleh itu saya mengajak pembaca sekalian, dapatkan majalah ini kerana isu-isu yang dikupas adalah berdasarkan isu-isu semasa umat Islam kini. Dapatkan majalah ini dipasaran. Semoga usaha yang kita laburkan untuk umat hari ini akan dikira pahala dan mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.
Semoga usaha kecil kita untuk Islam hari ini menyumbang kepada kemajuan Islam esok..InsyaAllah!

Friday, September 12, 2008

Satu Peristiwa Banyak Hikmahnya

Assalamualaikum w.b.t

Syukur setinggi-tingginya dan selama-lamanya kehadrat Allah s.w.t kerana ada manusia yang dapat meninggikan syariatNya dan memberi peringatan kepada manusia lain yang masih lupa dan hanyut dengan kehidupan dunia.

Alhamdulillah, sebagai mukaddimah kata, saya bukanlah seorang yang alim atau tinggi ilmunya untuk memberi peringatan pembaca sekalian. tetapi apa yang saya cuba sampaikan melalui blog ini adalah lumrah kehidupan kita yang senantiasa di uji dengan cabaran yang terkadang kita melupakan yang hakikatnya adalah datang dari ALLAH jua.

Terfikir saya untuk membuat blog ni bertujuan berkongsi pendapat agar setiap dari kita dapat beajar sesuatu seterusnya dapat membina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
sebab itulah blog ini saya berikan namanya "Hari ini lebih baik daripada semalam".

Lagi satu, matlamat saya cipta blog ini supaya ia dapat memberi motivasi kepada kita supaya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam kehidupan dan sedar yang semua hakikatnya adalah Allah yang membantu kita.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud "dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang" begitulah, dalam setiap kehidupan kita pasti ada pasang dan surutnya. Adakalanya kita gembira dan adakalanya kita sedih. Adakalanya kita lapang dan adakalanya kita sibuk sangat.
Jadi, apa yang kita harapkan, dalam semua keadaan itu kita bersyukur dan mengingati-Nya.
Insya-Allah, kita bukanlah insan yang sempurna, tetapi haruslah sentiasa membaiki diri.

Moga-moga setiap usaha daripada kita akan diambil kira sebagai ibadah untuk berjaya di kehidupan seterusnya iaitu di akhirat kelak. Biiznillah!!

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...