Monday, August 8, 2011

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa kita? Adakah telah mencapai target seperti yang kita mahukan? Bagaimana dengan ibadah kita? Masihkan mengikut list yang telah kita susun sewaktu awal Ramadhan dahulu?

Pada kali ini penulis ingin mengajak pembaca berbicara mengenai jenis orang yang berpuasa. Apabila kita bertanya pada orang ramai tentang puasa pasti mereka akan memberi jawapan yang pelbagai. Kita boleh lihat bermacam jenis persepsi masyarakat tentang puasa.

Ringkasnya, kita boleh bahagikan mereka kepada 3 kategori. Ada yang berpuasa kerana menjaga fizikal seperti menjaga kesihatan, bentuk badan dan sebagainya. Ada yang berpuasa kerana menjaga pancaindera dan anggotanya daripada melakukan perkara yang tidak baik dan memperbanyakkan melakukan ibadah dan kebajikan. Dan yang golongan yang terakhir adalah golongan yang betul2 mahu membersihkan jiwa rohani. Dan penulis pasti golongan yang terakhir ini adalah golongan yang paling sedikit.

Apabila kita berkata tentang matlamat puasa, kita jangan tersalah tanggapan mengenainya. Berbalik kepada firman Allah dalam surah Albaqarah ayat 185, Allah memperintahkan orang beriman berpuasa dengan matlamat untuk mencapai ketakwaan. Lalu kita kembali bertanya kepada diri kita? Mengapa disebut orang beriman? Kenapa perlu mencapai ketakwaan? Apakah dengan beriman kita masih dikira belum mencapai darjat yang tinggi itu(taqwa)?

Ya, kita masih dikira beriman sekiranya kita mempercayai rukun iman yang 6. Tetapi ada satu lagi kekurangan yang Allah ingin terapkan didalam jiwa orang yang beriman iaitu darjat taqwa disisi-Nya. Jadi pada bulan ramadhan inilah Allah, memerintahkan hamba-Nya berpuasa supaya agar dapat mencapai darjat itu pada akhirnya.

Bulan yang diberi pelbagai kemudahan

Penulis kira sangat beruntung umat Islam dikurniakan bulan Ramadhan ini kerana inilah bulan yang paling sempurna untuk umat Islam menjadikannya medan perubahan diri. Kita tidak akan berjumpa dengan bulan lain yang ada padanya kelebihan seperti bulan ini. Dibuka pintu syurga seluas-luasnya, ditutup pintu neraka serapat-rapatnya. Dirantai pula syaitan yang durjana. Kemudian yang paling istimewa dikurniakan malam al-qadar yg malamnya lebih baik daripada seribu bulan. Kemudian dturunkan AlQuran yang menjadi pedoman manusia.

Nah, sekarang barulah kita sedar apakah matlamat puasa yang sebenarnya. Iaitu bulan perubahan diri untuk menjadi insan yang lebih bertaqwa kepada-Nya. Memang sudah salah persepsi kita sekiranya kita masih menganggap bulan ini sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. jika tidak, boleh sahaja kita berpuasa di bulan yang lain. Jangan nodai peluangan yang isitimewa ini dengan perkara yang sia-sia.

Maksud hadis “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap balasan daripada Allah di ampunkan dosa-dosanya yang lalu”. Inilah puasa yang paling sempurna iaitu berpuasa semata-mata kerana Allah. Jika kita mencapai tahap puasa yang sempurna itu, pasti kita sudah mencapai tahap puasa yang lain. Apabila hati sudah mencapai darjat taqwa, secara automatiknya fizikal dan mental kita akan ikut sama. Hati yang bersih akan melahirkan akhlak yang baik.

Inilah hasil yang diharapkan pada penghujung Ramadhan nanti. Kita sudah kuat untuk menghadapi cubaan dan dugaan setelah keluar daripada madrasah Ramadhan kelak. Kita sudah berupaya menahan anggota dan pancaindera kita daripada maksiat kerana hati kita yag benci untuk kembali kepada kemungkaran semula. Kita semakin berasa seronok melakukan kebaikan kerana hati kita telah dididik untuk menyukai kebaikan. Dan yang paling penting, hati kita semakin dekat dengan Allah. Inilah tarbiah eksklusif daripada-Nya supaya hamba-Nya semakin rapat kepada-Nya. Ayuh, masih belum terlambat untuk melakukan perubahan…selagi tidak kedengaran takbir di satu Syawal!

No comments:

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...