Wednesday, May 13, 2009

Zikir Keindahan Ilmu 2




Tidak ada manusia yang alim dalam semua perkara. Seorang saintis misalnya, pakar tentang sains, tetapi mungkin tidak alim tentang kemasyarakatan. Seorang peguam pula pakar tentang undang-undang, tetapi mungkin tidak tahu langsung tentang ilmu astronomi. Seorang yang ada PhD di bidang usuluddin mungkin tidak pakar dalam bidang fekah. Demikianlah, ilmu pengetahuan manusia amat terbatas, terlalu jauh jika dibandingkan dengan ilmu Allah yang maha luas.Bandingan ilmu yang Allah beri kepada manusia ibarat setitis air dari seluruh lautan

Bandingan ilmu Allah yang luas itu seperti lautan yang tidak bertepi. Sedangkan ilmu yang ada pada manusia hanya setitik sahaja daripada lautan yang luas itu.
Allah mengetahui segala-galanya hatta perkara-perkara yang tidak terjangkau oleh akal manusia, kerana kejadian akal itu sendiri termasuk dalam ilmu-Nya.


Ilmu atau pengetahuan Allah tidak terbatas, tiada satu yang dapat menyainginya dan tidak pernah terluput walaupun seketika. Allah dapat mengetahui yang tersirat di dalam hati, yang dibentengi tembok, yang jauh, yang dekat, yang sedang berlaku, yang sudah berlaku dan yang akan berlaku. Demikianlah hebatnya ilmu Allah itu. Sebaliknya, ilmu pengetahuan Allah berikan kepada manusia amat terbatas. Sepandai-pandai dan sebijak-bijak manusia pun tidak mampu menguasai semua ilmu yang ada di dunia ini. Apatah lagi ilmu-ilmu di alam ghaib seperti alam malakut dan alam akhirat yang tidak terjangkau oleh fikiran manusia.

Justeru itu, untuk apalah kita berbangga serta menyombongkan diri kita kepada manusia, sekiranya kita ada sedikit kepandaian yang dikurniakan Allah. Lebih-lebih lagi amat tidak patut kalau hanya dengan ilmu yang sedikit itu kita berlaku sombong terhadap Allah sehingga menafikan kebijaksanaan Allah SWT, nauzubillah. Misalnya, ada manusia yang merasa lebih ‘pandai’ dari Tuhan, sanggup mempertikaikan tentang peraturan Allah di muka bumi ini.
Allah SWT mengurniakan berbagai-bagai jenis ilmu kepada manusia. Ada ilmu yang bermanfaat dan ada ilmu yang merosakkan. Sebagaimana firman-Nya:
“Kami mengilhamkan kepada jiwa itu dua jalan, jalan kejahatan dan jalan taqwa.”
(As-Syams: 8)

Untuk kebahagiaan dan kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat, Allah telah mewajibkan kita mempelajari, memahami dan menghayati ilmu-ilmu agama bersungguh-sungguh. Di samping itu, ilmu-ilmu tentang dunia juga dituntut mempelajarinya supaya kita dapat mengatur dan menjalani kehidupan dengan sebaik-baiknya.

Ilmu yang kita miliki itu biarlah yang bermanfaat, iaitu ilmu yang dapat mendekatkan kita kepada Allah. Yakni semakin banyak ilmu, semakin bertambah rasa kehambaan kepada-Nya. Misalnya, semakin tinggi ilmu, semakin rasa hina dan lemah di hadapan Tuhan.
Sebaliknya, jika makin bertambah ilmu, makin sombong, makin tidak beramal, ertinya ilmu itu bukanlah ilmu yang membawa manfaat kepada tuannya walaupun ilmu yang dimilikinya ialah ilmu agama.

Jadi, niat mesti betul dalam kita hendak menuntut apa saja ilmu. Biarlah ilmu yang kita pelajari itu untuk mencari keredhaan Allah semata-mata, iaitu dapat menjadi penyuluh hidup kita di jalan yang diredhai-Nya.
Antara ilmu yang wajib kita tuntut ialah:

Ilmu Tauhid. Iaitu ilmu tentang iman dan akidah. Ilmu ini penting untuk mencegah daripada kekufuran, mencegah maksiat dan mengesahkan ibadat. Dengan ilmu tauhid seseorang itu terdorong mengerjakan syariat, berakhlak, mencintai Allah, bertawakal kepada Allah, sabar, redha dan takut serta harapkan Allah.

Ilmu Tasawuf. Ilmu tentang akhlak dan bagaimana membersihkan hati. Peranan ilmu ini ialah untuk membersihkan hati dari dosa, kesalahan dan kesilapan. Ia dapat menghidupkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Seterusnya dapat mengikhlaskan hati , menghalusi akhlak dengan Allah dan manusia.

Ilmu Syariat. Ilmu tentang ibadah, adab, peraturan dan ketetapan perintah Allah. Dengan adanya ilmu syariat ini dapat melahirkan orang yang berdisiplin, menghormati undang-undang, mencetuskan kehidupan lahir yang bersih, dapat menegakkan keadilan dalam kehidupan, dapat menyelesaikan sebarang masalah dan terhindar dari perkara yang sia-sia.

Orang yang berilmu yang benar-benar mengamalkan ilmunya, adalah tinggi darjatnya di sisi Allah. Firman-Nya:
“Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu dan begitu pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
(Al Mujadalah:11)

Orang berilmu yang tawadhukn dengan ilmunya dan mengamalkan ilmunya itulah yang akan diangkat darjatnya oleh Allah. Sebaliknya jika kita sombong dengan ilmu, kita akan dimurkai dan mendapat laknat daripada Allah.
Apalah yang hendak disombong dan dibanggakan, bukankah ilmu yang ada pada kita hanya serpihan atau sebesar debu di jalanan. Ilmu itu adalah limpahan nur daripada Allah, tanpa izin-Nya kita tidak akan memperoleh apa-apa manfaat pun daripadanya!.

Tuesday, May 5, 2009

Ku Serah Cinta


Ku serah segala ketentuan
Biarlah masa yang berbicara
Dipangku wajah yang layu
Dan aku telah jemu

Aku tidak mahu berpaling
Pada yang mengganggu dan menggugat
Sapanya meletihkan diri
Hadirnya mengundang penat

Akan ku serah cinta ini
Bukan lagi pada manusia
Kerana cinta martabat itu
Bersalut segunung kepalsuan
Dan kepuraan

Aku semakin tidak peduli
Apa yang mungkin akan terjadi
Kerana gerak dan tindakanku
Mahu bebas dari masalah

Ku serahkan cinta ini
Hanya padaMu, oh Tuhan

Akan ku serah cinta ini
Bukan lagi pada manusia
Kerana cinta martabat itu
Bersalut segunung kepalsuan
Dan kepuraan

Aku adalah aku sekarang
Biar terbuang tetap berjuang
Akan ku serahkan jiwa ini
Sepenuh hati dengan keikhlasan
Aku adalah aku yang sekarang
Ku serahkan cinta ini..

Lagu yang didendangkan oleh kumpulan Inteam ini sedikit sebanyak menyedarkan saya bahawa cinta manusia itu banyak mengundang masalah. Artikel kali ini sedikit sebanyak nak berkongsi sedikit tentang masalah cinta remaja zaman sekarang ini. Tak kiralah mana-mana golongan pun. Sama ada yang pernah mengalami ataupun tidak. Para pembaca yang hendak berkongsi pendapat amatlah saya alu-alukan. Teruskan membaca~

Cinta kepada manusia bersifat sementara dan hasilnya membuahkan kekecewaan apabila cinta seseorang itu tidak berbalas. Kekadang juga penuh dengan kepalsuan dan pura-pura. Hanya ingin memenuhi kehendak nafsu semata-mata. Ingatlah, jika kita katakan cinta itu suci, serahkanlah pada yang Maha suci kerana Dialah yang berhak mendapat cinta kita.

Jika kita mahukan cinta kita dihargai, serahkanlah cinta kita pada Allah kerana Allah tidak pernah mensia-siakan cinta hamba-Nya. Jika kita rapat selangkah padaNya, dia akan rapat kepada kita seribu langkah. Apabila cinta kepada Allah sudah dapat tercapai, maka segala kenikmatan cinta kepada dunia akan hilang dalam hati kita. Apa-apa pekerjaan yang kita lakukan, tidak lain tidak bukan hanya untuk mendapat cinta-Nya.

Cinta Allah itu Indah. Tetapi kita sahaja yang tidak nampak disebabkan hati kita yang sudah rosak. Dirosakkan oleh dosa dan maksiat yang kita lakukan. InsyaAllah dengan proses membersihkan hati, mudah-mudahan dapatlah kita menggapai cinta Allah kembali. Kerana cinta Allah itu sebenarnya sudah lahir dalam diri kita sejak di alam Roh lagi. Bukankah kita lebih suka jika orang menggelar kita hamba Allah daripada hamba perempuan??

Ayuh syabab, palingkanlah pandangan mu, tundukkan nafsumu daripada duniawi. Jika kau benar-benar muslim sejati, semua itu bukan jadi penghalangmu untuk berjuang. Jika sekali kau mengelakkan pandanganmu daripada memandang wanita, insyaAllah kau akan merasai kemanisan dalam ibadahmu. Tingkatkan lah kekhusyukan solat agar kau akan menjadi orang berjaya sebagaimana yg difiirmankan oleh Allah dalam surah Al-Mu'minuun. Usahlah berbicara tentang perempuan lagi kerana itu akan melalaikan daripada mengingati Allah. Moga-moga dengan usahamu ini dapatlah kita meningkatkan iman kita yang mudah sekali jatuh ini.

Jika kita pernah dikecewakan oleh seorang perempuan, kembalilah kepada Allah kerana Allah itu bersifat Maha menyembuhkan. Kemudian, muhasabahlah diri kembali dimana silapnya kita. Bertaubatlah jika ada keterlanjuran. Masih sempat untuk kita kembali pada jalan yang benar. Memang pahit kerana jarang ada ubat manis.

Akhir sekali, jangan risaulah...jodoh itu pasti ada. Yang paling penting sekarang, lengkapkan dirimu itu dengan ilmu dan taqwa. InsyaAllah, Allah akan mengurniakan kita dengan pasangan yang baik. Bukankah Tuhan sudah berjanji dalam kitabNya bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik??



Monday, May 4, 2009

Zikir Keindahan Ilmu





Setiap ilmu adalah zikir. Hal ini diceritakan apabila Nabi Adam a.s. merupakan khalifah pertama dibumi, diajar dengan pelbagai ilmu sebelum baginda dilantik menjadi khalifah. Hal ini dijelaskan dalam srah AlBaqarah ayat 31, “dan Allah mengajar kepada Adam nama(benda-benda) keseluruhannya kemudian mengemukakan kepada para malaikat”. Allah mengajar Adam tentang setiap perkara sama ada yang berkaitan dengan zat sesuatu benda, sifatnya atau perbuatannya. Inilah bukti yang menunjukkan kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian manusia hidup di atas muka bumi adalah bergantung pada ilmu.

Artikel pada kali ini ingin menyentuh tentang perlunya seseorang memahami kepentingan ilmu dalam kehidupannya. Apabila membicarakan tentang ini, kita perlu menyebut tentang jenis ilmu, sumbernya, jalan mendapatkannya, kesahihannya dan kesan ilmu tersebut pada kehidupan kita. Sama ada kita mengamalkannya dan menyampaikan kepada orang lain.


Ilmu meningkatkan darjat seseorang. Apabila seseorang itu mempelajari sesuatu ilmu, segala elemen jahiliyah dalam diri dapat dibuang sedikit demi sedikit. Apabila kefahaman dalam sesuatu ilmu sudah mantap maka bukan sahaja jahiliyah sahaja sudah dihakis malah seseorang itu akan dapat memanfaatkan ilmunya untuk menyumbang kepada kehidupan manusia lain. Dengan kata lain, dia sudah menjalankan tugas sebagai seorang khalifah.


Dalam kehidupan kita sebagai seorang pelajar, tentunya bidang ilmu yang kita ceburi adalah berlainan dan melibatkan elemen yang berlainan. Contohnya sebagai bidang arkitek mempunyai eleme-elemennya yang tersendiri dalam mempelajari ilmu itu agar elemen tersebut dapat membantu seseorang dalam memahami tujuan ilmu tersebut diceburi. Namun persolannya sekarang, apakah yang membuatkan setiap ilmu itu dapat dikaitkan dengan zikir?

Dalam Islam, setiap ilmu dikaitkan dengan zikrullah. “Pada suatu hari nabi mendatangi majlis para sahabat dan baginda bertanya, ‘Apakah tujuan kamu semua berhimpun di sini?’ Sahabat-sahabat menjawab, ‘Kami berhimpun untuk berzikir kepada Allah serta memujiNya kerana telah mengurniakan petunjuk kepada kami sehingga kami memeluk Islam’. Baginda seterusnya bersabda, ‘Benarkah itu tujuan kamu? Sesungguhnya Jibrail telah datang dan memberitahu kepadaku bahawa Allah menyebut-nyebut tentang kebaikan kamu kepada para malaikat’.”

Apabila kita menyebut kalimat zikir, terbayanglah pada minda kita kumpulan-kumpulan yang berhimpun untuk bertahlil, bertahmid, bertasbih dan berselawat. Sebenarnya maksud zikir adalah lebih luas dari itu. Dalam kitab Al-Azkar, Imam An-Nawawi berkata, “Sebenarnya kelebihan zikir tidak hanya dikaitkan dengan majlis tahlil, tasbih, tahmid, takbir dan yang seumpamanya sahaja. Bahkan setiap mereka yang melaksanakan amalan taat kepada Allah dianggap sebagai golongan yang berzikir.


Berdasarkan cerita yang diatas, syarat yang perlu ada dalam setiap ilmu untuk menjadikannya sebahagian daripada zikrullah adalah dapat memberi petunjuk dan dapat melaksanakan amalan taat (ibadah) kepada Allah s.w.t. Ramai yang tersalah anggap bahawa ilmu duniawi seperti ilmu perubatan, kejuruteraaan, teknologi tidak dapat dikaitkan dengan zikir. Namun, sebenarnya ilmu ini juga dianggap ilmu zikir selagi ia mematuhi 2 syarat tadi.


Dalam bidang perubatan khususnya, ilmu yang berkaitan dengan fizikal dan fisiologi manusia dipelajari dengan itu manusia dapat memikirkan hikmah ciptaan-Nya dan kesan-kesan yang bakal menimpa apabila manusia itu tidak menjaga ciptaan-Nya dengan baik. Dalam bidang itu juga manusia dapat mengenali berbagai struktur dan proses yang berlaku dalam badan yang berjalan memainkan peranan masing-masing iaitu dengan tujuan manusia dapat meneruskan kehidupan dengan sempurna. Selain itu, manusia juga mempelajari penyakit apabila terdapat salah satu atau lebih struktur atau proses tadi terganggu atau terbantut. Dengan kelengkapan ini, manusia dapat menjadi ilmuwan perubatan ataupun doktor yang dapat mengubati manusia lain dengan ilmunya. Ini membuktikan manusia telah menjalankan tugasnya sebagai seorang khalifah atau dengan kata lain itulah ibadah mereka.

Namun, untuk menjadikan ilmu perubatan tersebut sebagai zikrullah bukan setakat itu sahaja. Manusia juga perlu mempelajari satu lagi ilmu yang dapat membantu mereka memahami dan memikirkan hikmah ciptaan Allah sekaligus mengenali Penciptanya. Jika kita lihat situasi tadi, syarat kedua iaitu melaksanakan amalan taat sudah ditepati. Sekarang, yang perlu dilengkapkan adalah syarat pertama iaitu dapat memberi petunjuk (hidayah). Dengan itu dapatlah ia menjadi zikir yang mengingatkan. Kalau tadi untuk kelengkapan akal, kini untuk kelengkapan hati pula.

Untuk itu, ilmu-ilmu ketuhanan perlulah dipelajari agar dengan itu, ilmu perubatan tersebut dapat dipimpin dan tidak tersasar pada jalan-jalan yang salah. Ilmu seperti ini bertujuan agar manusia dapat mengenali Tuhannya dengan lebih dekat sepanjang mereka mempelajari ilmu perubatan tersebut dengan mengenali sifat-sifat kesempurnaanNya. Kesannya, akan lahirlah hati yang bersih yang mudah mempelajari ilmu. Kenal hanya di hati,tidak di akal. Hanya hati yang bersih sahaja yang akan kenal Allah s.w.t. Dengan itu, keyakinan mereka akan bertambah dan meningkatkan keimanannya. Apabila keimanan sudah ditingkatkan, secara automatik akan lahirlah manusia yang baik akhlak dan baik budi pekertinya. Apabila memasuki bidang pekerjaan, sikap jujur, amanah dan lain-lain akan dimiliki apabila merasai kewujudan Tuhan didalam diri mereka. Seterusnya dapat memelihara amalan taatnya yang tadi.

Dengan menjaga dan memelihara adab dalam amalan ia dapat:

Mengelakkan dari kemurkaan Allah

Mendatangkan bantuan malaikat.

Menghindarkan gangguan syaitan.

Menjadikan seluruh perjalanan hidup penuh dengan ”Pengabdian”.


Kesimpulannya, jagalah dua syarat itu dalam setiap ilmu yang kita ceburi agar dengan itu kita sentiasa tergolong dalam golongan orang berzikir. Sesungguhnya sangat tinggi darjat orang berzikir itu dan merekalah golongan yang rapat dengan Tuhannya. Ketahuilah, setiap ilmu itu sebenarnya sangat indah kerana ianya datang dari Allah yang Maha Indah. Jadi kalau kita masih belum merasai keindahan ilmu hakikatnya kita masih belum mengenali Tuhan!


p/s: Sila betulkan jika terdapat kesalahan dalam artikel ini. Komen anda amatlah saya hargai…




Sunday, May 3, 2009

Soalan kepada jawapan…


Saat ketika menunggu peperiksaan OSPE (Oriented Structure Practical Examination) yang lepas, aku termenung mengenangkan diriku tentang perubahan yang telah kusedari sejak akhir-akhir ini. Semua bisikan hati ketika waktu itu, ku coretkan semula. Moga-moga sahabat2 yang membaca dapat memberi pedoman dan nasihat. Sesungguhnya diri ini hanyalah seorang pelajar…

………………………………………………………………………………………………

Entah kenapa semangat yang dulu-dulu seolah-olah hilang kembali. Pernah juga diserang dengan virus sebegini. Tetapi kali ni bukan virus yang calang-calang lagi, virus kali ni diubah suai supaya menjadi lebih kuat dan sukar dihapuskan. Sehinggakan makna hidup sudah tiada lagi. Keimanan dihakis tanpa disedari. Kemanisan zikir dan fikir seolah ‘mati’ sebelum mati.


Baru-baru ini virus baru yang menyerang manusia menyebabkan dunia seolah diselubungi ketakutan. Namun, bagiku ada virus yang lebih ku takutkan. Itulah dia virus syaitan, musuh yang tiada kenal erti penat dan kekalahan. Selagi mana keimanan manusia itu semakin bertambah, selagi itulah, semakin ‘canggih’ virus yang diolahkannya.

Kini, alhamdulillah, hampir setahun ku menjejakkan kaki ke medan perubatan. Penatnya luar biasa sekali. Jika difikir letih membaca buku, penat memikir, lelah menjawab. Hakikatnya lebih dari itu!


Malas…itulah virus terbaru dalam diriku. Entah mana datangnya ku cuba selidik kembali. Mengapa tidak dibendung. Mana immunisasinya? Dimana langkah cegahnya? Dimana penawarnya? Ahhh…kalau ditanya, boleh saja dijawab. Namun perlaksanaanya, seribu satu kata tangguh yang jadi jawapan. Alahai, itupun virus juga sebenarnya!


Dalam usaha itu, cubalah renungi dalam diri ini. Apa sebenarnya yang kau perjuangkan? Apa yang menjadi pendirian? Apa yang menjadi dorongan? Apa yang menjadi balasan? Ahh..itu pun malas ku nak jawab. Seolah-olah seperti kabur lagi. Bukankah dahulu sudah ditetapkan dengan tarbiah dan kalam suci Tuhan yang mengingatkan?


Aku tahu.. tetapi keliru.

Aku mahu, tetapi buntu..

Aku juga mampu, tetapi terburu-buru.


Mana pula datang sikap ini. Sudahlah, jangan dipanjangkan rintihanmu itu lagi!..Itu petandanya virus itu semakin rancak dalam dirimu.. Lawanlah! Lawan! Jangan beri peluang lagi! Jika tidak dirimu bukan saja sudah berjangkit malah akan dijangkiti! Ketahuilah perjalananmu bukan sampai disini tetapi masih jauh lagi. Bukan sekejap tetapi panjang lagi!..tak mengapalah jika kau gagal, tetapi bukan itu bermakna kau kalah! Jika orang lain mentertawa bukan bermakna kau perlu bersedih! Jika mereka tidak mahu mendengar, itu bukan bermakna kau perlu berhenti berkata! Ingatlah, selagi kau ada usaha, selagi tulah kejayaan akan datang bertandang! No pain no gain. Ambillah derita dunia yang sementara untuk mendapat nikmat syurga yang selama-lamanya.


…………………..

Sudah, tiada kata-kata tapi lagi. Jika kau mahu hidup ini lebih baik dari semalam, tidak cukup hanya dengan berdoa. Kau perlu bersedia mula dari saat ini. Bukan kejap lagi. Jika diber peluang, ambillah. Jika tidak, carilah. Jika tidak dapat, sabarlah. Ingatlah Allah memberi kita derita yang sekejap untuk mendapat nikmat yang lebih lama. Masakan kita berasa lebih lama kenyang daripada lapar bukan?...


Tahu

Ayuh, bersangka baiklah dengan Allah. Jangan putus asa dari rahmatNya. Usahalah sedikit dalam kehidupan seharianmu untuk dekati padaNya. InsyaAllah, kau akan rasa hari itu amat bermakna bagimu. Jangan pandang belakang lagi. Kembalilah pada misi suci mu yang dahulu itu. Jangan mempertikaikan lagi. Saat akhir zaman ini, virus tidak kenal lagi erti sempadan.


Mahu

Ayuh, berjuanglah dengan hatimu yang baru. Yang baru dibersihkan dengan tangisan taubat kepada Tuhanmu. Dengan manisan zikir yang disuburkan dengan fikirmu. Dengan kata-kata sahabat seperjuanganmu yang mahukan kau menemani mereka. Sama-samalah tmengingati kerana itu kau akan sentiasa beringat dan tidak hilang semangat. Buangkan sifat mazmumah itu, pintalah agar diisi dengan sifat mahmudah. Agar ia tidak mudah dikotorkan.


Mampu

Ayuh, jika kau sudah sedar, jangan berlengah-lengah lagi. Ayuh bangunlah dan beri peringatan! Sucikan kembali maruah agamamu. Didiklah kepada yang ma’ruf dan cegahlah yang mungkar… agar dengan usahamu itu, mereka jadi faham, sedar erti Islam yang sebenar. Kembalikan Islam yang realiti bukan yang ilusi. Moga-moga ia memberi kesan pada kesejahteraan peribadi dan mentaliti.

Ya..kau memang ada masa lagi. Tetapi ingatlah saat nyawamu dipenghujung nanti, tiada peluang lagi yang akan diberi. Apabila minyak sudah kering, api pelita akan terpadam dengan sendiri. .Maka selama api kita menyala,selama minyak masih ada,pastikanlah kita tahu tujuan ia dinyalakan dan siapakah yang akan dapat manfaat dari nyalaan api kita.Jangan biarkan kematian kita tanpa menjadi kenangan kepada orang lain.


Walaupun ibadah itu sesuai dengan hati,emosi dan jiwa tetapi mengapa ia payah untuk dilakukan?

Hal ini kerana:

1. Kejahilan terhadap agama yang menebal dan makrifah Allah yang tidak sempurna.

2. Tiada role model dalam kehidupan.

3. Adanya gangguan syaitan dan pujukan nafsu yang amat kuat.


Janganlah mempersoalkan lagi, kerana hakikatnya semuanya telah ada jawapan!

………………………………………………………………………………………………



Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...