Sunday, June 28, 2009

Usaha Akliah vs Usaha Rohaniah


Alhamdulillah, syukur setinggi-tingginya kepada Allah s.w.t kerana hari ini masih kita bernafas dan bergerak dalam keadaan beriman kepada Allah. Jiwa yang diberikan oleh-Nya perlulah kita gunakan dengan sebaiknya sebagai tanda syukur kepada-Nya. Masakan kita akan merosakkan hadiah yang diberikan oleh pemberinya sebagai tanda ucapan terima kasih?

Mungkin dalam 2 bulan saya tak update blog ni. Maafkan saya. InsyaAllah saya cuba bermuhasabah kembali diri ini supaya kembali rajin menulis semula. Doakan saya.

Setelah 1 tahun kiranya menuntut ilmu perubatan, Alhamdulillah sedikit sebanyak saya mula memahami ‘rona-rona cabaran’ dalam bidang ini. Jika ada yang katakan ini bidang yang susah, kata-kata itu memang ada benarnya. Namun, setiap yang susah itu pasti kemanisannya. Apabila kita merasai susah, Allah pasti akan memberikan kita kesenangan pula. Itu memang sudah mengikut hukum sunnatullah. Kadang-kadang Allah ‘sengaja’ menguji kita dengan kesusahan yang banyak. Mengapa begitu? Kerana Allah begitu sayangkan kita. Apabila anda mendapat kesenangan selepas itu, pasti anda akan merasakan nikmatnya. Cuba bayangkan jika rumah atau kolej anda mengalami ketiadaan air selama beberapa hari. Kemudian, selepas itu barulah bekalan air pulih semula. Pasti anda merasakan betapa manisnya nikmat air tersebut.

Dalam artikel kali ini diharapkan sedikit sebanyak dapat memberikan panduan bagaimana di dalam kesusahan belajar, kita juga boleh merasai kemanisannya. Mudah-mudahan kita tidak akan merasa frust dalam menuntut ilmu dan apatah lagi kalau ilmu itu adalah salah satu zikir kita kepada Allah seperti artikel yang saya ceritakan sebelum ini.


Usaha Akliah
Contohnya, seorang pelajar ingin berjaya dalam bidang yang diceburinya. Jadi dia telah melakukan usaha yang banyak untuk mencapai cita-citanya itu. Antaranya, mempraktikkan tips-tips pelajar cemerlang seperti membuat nota, pergi ke perpustakaan, buat latihan tambahan, jumpa guru atau pensyarah. Kemudian, tidak lupa juga, member I perhatian dalam kelas dan mengajar kawan-kawan lain atau membuat study group. Semua ini kita katakan ialah usaha akliah. Iaitu usaha yang menggunakan akal dan minda sepenuhnya supaya ilmu yang dipelajari mudah diingati dan lekat di kepala.

Namun, cukupkah dengan usaha itu? Bolehkah kita yakin 100% bahawa kejayaan itu akan datang pada kita dengan usaha itu? Bagaimana jika tidak? Adakah kita akan frust? Kecewa? Jika masih merasa ragu-ragu, itu tidak salah kerana kita yakin yang memberi kejayaan itu bukan kita. Ada kuasa yang kita yakin bahawa Dialah yang memberikannya. Dan itulah Tuhan. Buktinya, cuba kita perhatikan jika seseorang itu mendapat keputusan cemerlang, apakah yang akan keluar dari mulutnya? “Oh my God!”, “Ya Allah!”. Itu memang sudah fitrah manusia kerana mempercayai bahawa Tuhanlah yang menentukan segalanya.


Usaha Rohaniah
Berbalik kepada persoalan tadi, bagaimana jika tidak berjaya? Jadi, sebagai seorang Islam, ada satu lagi usaha yang dapat membantu kita dalam proses pembelajaran kita. Ya, itulah usaha rohaniah iaitu usaha yang akan melengkapi semua usaha akliah kita sama ada sebelum, semasa dan selepasnya! Oh, jadi semua tips-tips untuk berjaya tadi tak bergunalah ya? Tidak, bukan begitu. Cuma itu semua sebagai syarat untuk kita berjaya.

Jika kita hendak berjaya, kita mesti yakin bahawa kejayaan itu datangnya dari bantuan Allah. Dengan adanya bantuan Allah, barulah kita akan berjaya. Namun kita juga perlu yakin bahawa bantuan Allah itu tidak datang dengan sendirinya tanpa kita menempuh sebab-sebabnya. Ini kerana Allah swt sendiri telah menetapkan satu peraturan yang dinamakan sunnatullah – ‘hukum sebab dan akibat’ dalam sesuatu perkara. Ya, Allah menetapkan sesuatu perkara yang hendak berlaku ada sebab-sebabnya. Begitulah jualah dengan bantuan Allah, kita wajib melahirkan sebab-sebabnya agar kita mendapatkannya. Sebagai contoh, jika kita hendak memetik buah, kita perlu menanam pokoknya. Menanam pokok, menjaga dan menyuburkannya itu adalah sebab untuk dapat memetik buah.


Usaha rohaniah ini penting supaya kejayaan kita nanti dapat disyukuri. Ia tidak menyebabkan kita lalai atau akhlak rosak dengan sebab kejayaan tadi. Usaha rohaniah ini menyebabkan sekiranya gagal, kita menjadi orang yang sabar. Sekiranya kita tidak ada usaha rohaniah tadi, sekiranya kita berjaya dalam exam, kita mungkin jadi sombong, angkuh dan takbur. Sebaliknya jika tidak berjaya, kita rasa frust dan tertekan jiwa. Oleh sebab itu peranan usaha rohaniah ini penting. Ia back up sama ada pada kejayaan atau kegagalan kita nanti. Maksudnya kita dapat menghadapi dengan sebaik-baiknya.
Ini kerana seseorang yang berusaha secara rohaniah, dia akan sentiasa bersangka baik dengan Tuhan. Walaupun dia hendak sesuatu kejayaan, tetapi jika Allah gagalkan dia tetap bersangka baik terhadap Tuhan, dirinya dan insan lain. Dalam hatinya merasakan, mungkin kegagalan itu lebih baik untuknya. Maksudnya selepas dia berusaha bersungguh-sungguh. Tetapi ini bukan bermakna dia tidak berusaha.

Apabila dia berjaya, dia akan mengucapkan Alhamdulillah (segala pujian kepada Allah). Sebaliknya, jika gagal dia menyebut “Innalillah..(sesungguh semua datang dari Allah). Dirasakanya itu adalah satu ‘learning process’ untuk maju pada tahap berikutnya. Lapang dadanya. Namun bayangkan jika rohaniahnya lemah, dia kan kecewa dan putus asa.

Sebagai tips dalam usaha rohaniah ini ialah kekalkanlah selalu rasa kehambaan dengan Tuhan. Kita adalah hamba Tuhan, maka lahirkanlah tanda dan rasa kehambaan itu kepada-Nya. Hendaklah sentiasa kita merasa rendah diri, meyakini janji-Nya, taat perintah-Nya, takut dengan kemurkaan-Nya dan rasa-rasa yang lain. Jangan rasa sombong, kecewa dan marah serta lain-lain sifat negatif kepada-Nya. Kedua, dirikan solat. Solat adalah hubungan lansung antara hamba dengan Tuhan. Siapa yang tidak solat ertinya ‘memutuskan’ hubungan dengan Tuhan. Solat adalah tanda kita lemah dengan Tuhan, maka siapa yang mengabaikannya bererti rasa kuat dengan-Nya. Maka mana mungkin kita akan mendapat bantuan daripada-Nya jika hubungan kita telah putus dan kita rasa kuat serta tidak memerlukan-Nya? Ketiga taatkan ibu-bapa, kerana taatkan ibu-bapa dengan taatkan Allah itu sangat berkaitan. Dalam Alquran, Allah perintahkan kita menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas).


Cukuplah sekadarnya. Cubalah praktikkan usaha-usaha ini, moga-moga kita merasai kemanisan dalam kapayahan yang Allah telah berikan. Buatlah sedikit-sedikit, mulalah dari sekarang. Jika anda rasa kemanisannya, ajaklah sahabat anda merasainya pula!

Allah swt telah berfirman dalam Al Quran yang maksudnya, “dijadikan mati dan hidup bagi kamu untuk menguji siapakah diantara kamu yang terbaik amalannya.

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...