Monday, August 8, 2011

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa kita? Adakah telah mencapai target seperti yang kita mahukan? Bagaimana dengan ibadah kita? Masihkan mengikut list yang telah kita susun sewaktu awal Ramadhan dahulu?

Pada kali ini penulis ingin mengajak pembaca berbicara mengenai jenis orang yang berpuasa. Apabila kita bertanya pada orang ramai tentang puasa pasti mereka akan memberi jawapan yang pelbagai. Kita boleh lihat bermacam jenis persepsi masyarakat tentang puasa.

Ringkasnya, kita boleh bahagikan mereka kepada 3 kategori. Ada yang berpuasa kerana menjaga fizikal seperti menjaga kesihatan, bentuk badan dan sebagainya. Ada yang berpuasa kerana menjaga pancaindera dan anggotanya daripada melakukan perkara yang tidak baik dan memperbanyakkan melakukan ibadah dan kebajikan. Dan yang golongan yang terakhir adalah golongan yang betul2 mahu membersihkan jiwa rohani. Dan penulis pasti golongan yang terakhir ini adalah golongan yang paling sedikit.

Apabila kita berkata tentang matlamat puasa, kita jangan tersalah tanggapan mengenainya. Berbalik kepada firman Allah dalam surah Albaqarah ayat 185, Allah memperintahkan orang beriman berpuasa dengan matlamat untuk mencapai ketakwaan. Lalu kita kembali bertanya kepada diri kita? Mengapa disebut orang beriman? Kenapa perlu mencapai ketakwaan? Apakah dengan beriman kita masih dikira belum mencapai darjat yang tinggi itu(taqwa)?

Ya, kita masih dikira beriman sekiranya kita mempercayai rukun iman yang 6. Tetapi ada satu lagi kekurangan yang Allah ingin terapkan didalam jiwa orang yang beriman iaitu darjat taqwa disisi-Nya. Jadi pada bulan ramadhan inilah Allah, memerintahkan hamba-Nya berpuasa supaya agar dapat mencapai darjat itu pada akhirnya.

Bulan yang diberi pelbagai kemudahan

Penulis kira sangat beruntung umat Islam dikurniakan bulan Ramadhan ini kerana inilah bulan yang paling sempurna untuk umat Islam menjadikannya medan perubahan diri. Kita tidak akan berjumpa dengan bulan lain yang ada padanya kelebihan seperti bulan ini. Dibuka pintu syurga seluas-luasnya, ditutup pintu neraka serapat-rapatnya. Dirantai pula syaitan yang durjana. Kemudian yang paling istimewa dikurniakan malam al-qadar yg malamnya lebih baik daripada seribu bulan. Kemudian dturunkan AlQuran yang menjadi pedoman manusia.

Nah, sekarang barulah kita sedar apakah matlamat puasa yang sebenarnya. Iaitu bulan perubahan diri untuk menjadi insan yang lebih bertaqwa kepada-Nya. Memang sudah salah persepsi kita sekiranya kita masih menganggap bulan ini sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. jika tidak, boleh sahaja kita berpuasa di bulan yang lain. Jangan nodai peluangan yang isitimewa ini dengan perkara yang sia-sia.

Maksud hadis “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap balasan daripada Allah di ampunkan dosa-dosanya yang lalu”. Inilah puasa yang paling sempurna iaitu berpuasa semata-mata kerana Allah. Jika kita mencapai tahap puasa yang sempurna itu, pasti kita sudah mencapai tahap puasa yang lain. Apabila hati sudah mencapai darjat taqwa, secara automatiknya fizikal dan mental kita akan ikut sama. Hati yang bersih akan melahirkan akhlak yang baik.

Inilah hasil yang diharapkan pada penghujung Ramadhan nanti. Kita sudah kuat untuk menghadapi cubaan dan dugaan setelah keluar daripada madrasah Ramadhan kelak. Kita sudah berupaya menahan anggota dan pancaindera kita daripada maksiat kerana hati kita yag benci untuk kembali kepada kemungkaran semula. Kita semakin berasa seronok melakukan kebaikan kerana hati kita telah dididik untuk menyukai kebaikan. Dan yang paling penting, hati kita semakin dekat dengan Allah. Inilah tarbiah eksklusif daripada-Nya supaya hamba-Nya semakin rapat kepada-Nya. Ayuh, masih belum terlambat untuk melakukan perubahan…selagi tidak kedengaran takbir di satu Syawal!

Seriuslah untuk Islam

“Apakah Tuhan berbincang dengan ibubapaku sewaktu memutuskan aku akan lahir ke dunia?” detak hati Saiydina Ali dalam perjalanan pulang menemui ibubapanya. Sebelumnya dia telah bertemu Rasulullah SAW dan ketika itu baginda telah mengajaknya memeluk agama Islam. Kerana umurnya baru 10 tahun, Saiyidina Ali meminta izin Rasulullah SAW untuk pulang dulu buat berbincang dengan ibubapanya. Tapi di pertengahan jalan, ia berfikir dan terus berfikir. Seriusnya bukan main. Akhirnya dia tiba pada satu kesimpulan: beriman tanpa izin ibubapanya. Alasannya mudah, Allah menjadikannya tanpa berunding dengan ibubapanya. Jadi apa perlunya berunding dengan ibubapanya untuk beriman kepada Allah?

Usamah bin Ziad dilantik menjadi general Perang sewaktu berumur lapan belas tahun. Sultan Muhammad Al Fateh naik menggantikan ayahnya, Sultan Murad, sewaktu berumur 14 tahun. Dan ramai lagi para sahabat Rasulullah SAW telah dibariskan ke medan perang ketika berumur belasan tahun. Hingga sejarah memaparkan, ada diantara mereka yang cuba menjungkit kakinya agar kelihatan tinggi, dewasa dan layak dipilih ke medan perang.

Inilah remaja-remaja Salafussoleh, remaja yang sedari mudanya sudah memikul tugas-tugas yang besar dan serius. Walaupun masih muda tetapi fikiran mereka sudah ‘tua’, tindakan mereka sudah matang. Islam adalah agama yang serius – serius untuk diyakini, serius untuk dihayati, serius untuk diamalkan dan serius untuk diperjuangkan.

Anda bagaimana?

Adakah anda seorang yang serius? Apakah anda memikirkan nasib anda di akhirat? Apakah anda memikirkan soal kepimpinan dunia yang lintang pukang ini? Apakah anda seorang yang sedang melibatkan diri dalam satu tugas yang serius?

Jika ya, anda adalah pewaris generasi Salafussoleh yang bakal menempa sejarah. Jika tidak….ya bicara ini bukan untuk anda. Maaf.

p/s: tetiba terjumpa artikel nie kat satu majalah lama. rasa terkedu bila membacanya..

Sunday, August 7, 2011

Antara jangan dan suruhan


Mengempang atau menahan? Minggu lalu saya dan seorang kenalan rapat berbincang tentang persediaan menghadapi bulan puasa. Perbincangan tidak tertumpu pada persediaan perbelanjaan mahupun menu masakan berbuka atau bersahur, tetapi lebih kepada usaha untuk meningkatkan kualiti puasa – daripada puasa orang awam ke tingkat puasa orang soleh. (setidak-tidaknya)

“Puasa ertinya menahan. Bulan puasa ialah bulan menahan. Apa yang kita tahan?” tanya sahabat saya. dia saya kira hanya ingin memeriahkan perbincangan. Kedudukannya sebagai seorang ustaz tentunya sudah arif segalanya tentang puasa dan selok-beloknya.

“Menahan nafsu. Nafu yang menjadi punca segala kejahatan dalam diri,” jawab saya ringkas.

“Nafsu tidak boleh dihapuskan. Tetapi perlu dikawal. Dan syarat pertama untuk kita dapat mengawal sesuatu kita mesti mampu menahannya terlebih dahulu…”

“Apabila kita mampu mengawal nafsu barulah kita mampu mengawal diri.”

“Mengawal nafsu samalah seperti kita mengawal kereta, kita mesti ada brek. Dengan brek, kita boleh berhenti. Tapi bila brek sudah rosak atau lemah, kereta akan meluncur hingga terbatas.”

…..

“Benarkah puasa kita selama ini sudah berfungsi sebagai brek pada nafsu kita? Benarkah puasa kita sudah menahan? Atau sekadar mengempang?” tanya saya.

“Maksud awak?”

“Siang kita mengempang nafsu makan, bila berbuka kita melepaskan semahu-mahunya. Jika demikian, puasa kita bukan melemahkan kejahatan nafsu, malah melatihnya agar lebih kuat lagi. Air yang mengalir secara biasa kurang kuasanya, tetapi jika diempang, kuasanya bertambah kuat hingga menjadi janakuasa,” jelas saya.

“Betul tu, selalunya bulan puasa, makanan yang disediakan untuk berbuka jauh lebih enak, lebih banyak dan lebih pelbagai berbanding bulan-bulan yang lain. Itu mengempang nafsu, bukan menahannya!”

“Belanja dapur bertambah daripada biasa. Nafsu tidak terdidik. Hati pula menjadi resah. Fizikal lembap. Tujuan puasa tidak kesampaian. Rugi dunia, rugi akhirat.”

“Jadi…mulakan langkah meningkatkan puasa dengan biasa-biasa sahaja sewaktu berbuka. Percayalah, bila lapar, kita lebih berselera. Hanya nafsu sahaja yang merasuk bukan-bukan. Nak itu, nak ini..

Pesanan 1: Tahan (bukan empang) nafsu…semasa berbuka

Utamakan ‘Jangan’

Dalam pergaulan, kita dituntut supaya lebih mengutamakan ‘jangan’ daripada ‘suruh’. Misalnya jangan mengumpat lebih utama daripada memberi nasihat. Ertinya, jika kita tidak mampu memberi nasihat kepada seseorang tidak mengapa, tetapi yang lebih utama jangan mengumpatnya. Jika tidak dapat membantunya, tidak mengapa asalkan jangan menyusahkannya. Tak mengapa jika tidak dapat memberi, asalkan jangan mencuri. Begitu juga yang saya dengar daripada pengajian tafsir Al-Quran tentang pergaulan dalam Islam bulan lalu.

“Saya rasa dalam bulan puasa pun begitu juga…” luah saya kepada sahabat sepengajian.

“Maksudnya, jangan buat lebih utama daripada suruh buat?”

“Saya rasa begitu. Tapi nanti kita tanyalah pada yang lebih arif. Tetapi dalam Ihya’ Ulumuddin jelas dinyatakan, meninggalkan mengumpat di siang hari lebih utama daripada solat sunat di malam hari atau qiamullail.”

………………..

“Dan itu sinonim dengan sebuah hadis yang menjelaskan betapa seorang wanita dikatakan ahli neraka, walaupun banyak solatnya di malam hari, dan banyak puasanya di siang hari kerana lidahnya selalu menyakiti jirannya,” tambah sahabat saya.


“Hairan, walaupun pada bulan puasa begitu ramai orang yang solat terawih dan membaca al-Quran, tetapi persaudaraan dan perpaduan di kalangan kita tidak bertambah kukuh,” balas saya seolah-olah menukar hala perbincangan.

“Apa kaitannya terawih dan perpaduan? Baca Quran dan persaudaraan?” tanya sahabat saya. Dia faham ‘perubahan’ saya. Sudah lama kami bersahabat. Dia selalu melihat saya mengubah ‘rencah’ tanpa mengubah kuah.

“Bersolat, membaca Al quran itu meningkatkan iman. Bila iman meningkat, ukhuwah secara automatik meningkat. Iman dan ukhuwah terhubung secara berkadar terus. Jika ukhuwah bermasalah, itu petanda iman bermasalah..”

……………..

“Kenapa agaknya? Solat terawih dan baca Al Quran pada bulan puasa tidak meningkatkan iman dan persaudaraan?”

“Sebab kita terlupa perkara ‘jangan’. Banyak perkara ‘jangan’ yang kita buat walaupun pada masa yang sama banyak perkara ‘suruh’ yang kita laksanakan.”

“Maksudnya?”

“Banyak baca Quran, tetapi mengumpat kita buat juga. Banyak solat, tetapi hasad dengki terus dilayan. Banyak yang sunat-sunat kita buat, tetapi pemarah, prasangka, malas terus kita ikutkan.”

“Jadi kau rasa elok sahaja kita tinggalkan ‘jangan’ walaupun tidak buat apa yang di ‘suruh’?”

“Jangan pula begitu…kita bercakap tentang usaha meningkatkan puasa. Ya, cuba kita tingkatkan puasa tahun ini dengan meninggalkan perkara ‘jangan’ di samping membuat perkara yang di ‘suruh’!”

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...