Sunday, August 7, 2011

Antara jangan dan suruhan


Mengempang atau menahan? Minggu lalu saya dan seorang kenalan rapat berbincang tentang persediaan menghadapi bulan puasa. Perbincangan tidak tertumpu pada persediaan perbelanjaan mahupun menu masakan berbuka atau bersahur, tetapi lebih kepada usaha untuk meningkatkan kualiti puasa – daripada puasa orang awam ke tingkat puasa orang soleh. (setidak-tidaknya)

“Puasa ertinya menahan. Bulan puasa ialah bulan menahan. Apa yang kita tahan?” tanya sahabat saya. dia saya kira hanya ingin memeriahkan perbincangan. Kedudukannya sebagai seorang ustaz tentunya sudah arif segalanya tentang puasa dan selok-beloknya.

“Menahan nafsu. Nafu yang menjadi punca segala kejahatan dalam diri,” jawab saya ringkas.

“Nafsu tidak boleh dihapuskan. Tetapi perlu dikawal. Dan syarat pertama untuk kita dapat mengawal sesuatu kita mesti mampu menahannya terlebih dahulu…”

“Apabila kita mampu mengawal nafsu barulah kita mampu mengawal diri.”

“Mengawal nafsu samalah seperti kita mengawal kereta, kita mesti ada brek. Dengan brek, kita boleh berhenti. Tapi bila brek sudah rosak atau lemah, kereta akan meluncur hingga terbatas.”

…..

“Benarkah puasa kita selama ini sudah berfungsi sebagai brek pada nafsu kita? Benarkah puasa kita sudah menahan? Atau sekadar mengempang?” tanya saya.

“Maksud awak?”

“Siang kita mengempang nafsu makan, bila berbuka kita melepaskan semahu-mahunya. Jika demikian, puasa kita bukan melemahkan kejahatan nafsu, malah melatihnya agar lebih kuat lagi. Air yang mengalir secara biasa kurang kuasanya, tetapi jika diempang, kuasanya bertambah kuat hingga menjadi janakuasa,” jelas saya.

“Betul tu, selalunya bulan puasa, makanan yang disediakan untuk berbuka jauh lebih enak, lebih banyak dan lebih pelbagai berbanding bulan-bulan yang lain. Itu mengempang nafsu, bukan menahannya!”

“Belanja dapur bertambah daripada biasa. Nafsu tidak terdidik. Hati pula menjadi resah. Fizikal lembap. Tujuan puasa tidak kesampaian. Rugi dunia, rugi akhirat.”

“Jadi…mulakan langkah meningkatkan puasa dengan biasa-biasa sahaja sewaktu berbuka. Percayalah, bila lapar, kita lebih berselera. Hanya nafsu sahaja yang merasuk bukan-bukan. Nak itu, nak ini..

Pesanan 1: Tahan (bukan empang) nafsu…semasa berbuka

Utamakan ‘Jangan’

Dalam pergaulan, kita dituntut supaya lebih mengutamakan ‘jangan’ daripada ‘suruh’. Misalnya jangan mengumpat lebih utama daripada memberi nasihat. Ertinya, jika kita tidak mampu memberi nasihat kepada seseorang tidak mengapa, tetapi yang lebih utama jangan mengumpatnya. Jika tidak dapat membantunya, tidak mengapa asalkan jangan menyusahkannya. Tak mengapa jika tidak dapat memberi, asalkan jangan mencuri. Begitu juga yang saya dengar daripada pengajian tafsir Al-Quran tentang pergaulan dalam Islam bulan lalu.

“Saya rasa dalam bulan puasa pun begitu juga…” luah saya kepada sahabat sepengajian.

“Maksudnya, jangan buat lebih utama daripada suruh buat?”

“Saya rasa begitu. Tapi nanti kita tanyalah pada yang lebih arif. Tetapi dalam Ihya’ Ulumuddin jelas dinyatakan, meninggalkan mengumpat di siang hari lebih utama daripada solat sunat di malam hari atau qiamullail.”

………………..

“Dan itu sinonim dengan sebuah hadis yang menjelaskan betapa seorang wanita dikatakan ahli neraka, walaupun banyak solatnya di malam hari, dan banyak puasanya di siang hari kerana lidahnya selalu menyakiti jirannya,” tambah sahabat saya.


“Hairan, walaupun pada bulan puasa begitu ramai orang yang solat terawih dan membaca al-Quran, tetapi persaudaraan dan perpaduan di kalangan kita tidak bertambah kukuh,” balas saya seolah-olah menukar hala perbincangan.

“Apa kaitannya terawih dan perpaduan? Baca Quran dan persaudaraan?” tanya sahabat saya. Dia faham ‘perubahan’ saya. Sudah lama kami bersahabat. Dia selalu melihat saya mengubah ‘rencah’ tanpa mengubah kuah.

“Bersolat, membaca Al quran itu meningkatkan iman. Bila iman meningkat, ukhuwah secara automatik meningkat. Iman dan ukhuwah terhubung secara berkadar terus. Jika ukhuwah bermasalah, itu petanda iman bermasalah..”

……………..

“Kenapa agaknya? Solat terawih dan baca Al Quran pada bulan puasa tidak meningkatkan iman dan persaudaraan?”

“Sebab kita terlupa perkara ‘jangan’. Banyak perkara ‘jangan’ yang kita buat walaupun pada masa yang sama banyak perkara ‘suruh’ yang kita laksanakan.”

“Maksudnya?”

“Banyak baca Quran, tetapi mengumpat kita buat juga. Banyak solat, tetapi hasad dengki terus dilayan. Banyak yang sunat-sunat kita buat, tetapi pemarah, prasangka, malas terus kita ikutkan.”

“Jadi kau rasa elok sahaja kita tinggalkan ‘jangan’ walaupun tidak buat apa yang di ‘suruh’?”

“Jangan pula begitu…kita bercakap tentang usaha meningkatkan puasa. Ya, cuba kita tingkatkan puasa tahun ini dengan meninggalkan perkara ‘jangan’ di samping membuat perkara yang di ‘suruh’!”

No comments:

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...