Saturday, March 21, 2009

Betulkah dia contoh ikutanmu?

“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari akhirat dan yang banyak mengingati Allah.” Al-Ahzab : 21

Alhamdulillah, sekali lagi berpeluang untuk menulis. Sekian lama dihimpit dengan kerja-kerja duniawi (semoga ianya diterima sebagai ibadah) akhirnya Allah memberi peluang kelapangan untuk menulis. Mungkin tak baik jika diberi alasan masa. InsyaAllah, kita mesti cari masa, jangan tunggu masa!

Masalah Kita
Kali ini nak kongsi pendapat mengenai sambutan maulidurrasul. Sudah jadi adat umat akhir zaman, setiap kali 12 Rabiul awal mulalah terfikir aktiviti apa yang perlu untuk persiapan sambutan ini. Dalam fikiran mula terbayangkan pearakan sepanduk, selawat beramai-ramai, ceramah, kompang(?), dan makanan free selepas sambutan itu. Laungan yang jarang didengar seperti “Kami cinta Nabi”, “Nabi Muhammad Idola kami!”, ‘Jom, hidupkan sunnah!” mula kedengaran.

Tanyalah dirimu “Betulkah kau ambil Rasulullah itu sebagai suri tauladanmu?”, “benarkah rasulullah s.a.w itu idolamu”. Terasa menipu, jika dikatakan ya, tetapi rasa bersalah jika dikatakan tidak. Rasa bersalah semasa sambutan maulid tahun lepas datang lagi. Baiklah, sebelum kita menjawab pertanyaan tadi, ada perkara yang perlu kita sentuh. Adakah kita tahu sifat-sifat yang layak untuk menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan? Jom kita teliti maksud ayat di atas.

Untuk menjadikan Rasulullah sebagai teladan jika tiga syarat dipatuhi- pertama rasa harap pada Allah, mengaharapkan rahmat kasih-sayang Allah, kedua, mengharapkan kedatangan hari akhirat dan yang ketiga yang banyak mengingati Allah. Ayat sebegini banyak dibacakan semasa ceramah maulid namun seolah-olah kita mengabaikan kepentingannya.

Syarat Pertama
Jika kita teliti adakah kita berada dalam tiga golongan tadi? Pertama mengharapkan Allah yang bermaksud bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Tiada bergantung pada yang lain selain dari Allah. Hanya Dialah satu-satunya tempat mengadukan masalah, meminta rezeki, ilmu pengetahuan, peluang hidup dan yang paling penting iaitu kasih-sayang(rahmat)-Nya. Kita tak akan rasa semua ini jika kita masih belum mengenali Allah itu sendiri. Kenalilah sifat (asma’)nya yang 99 itu. Jika kita teliti, segala sifat penyayang, pemurah dan lain-lain itu datang dari sifat-Nya yang tiada tandingan. Kerana itulah dalam rukun iman, beriman kepada Allah adalah yang pertama. Tindakan pertama yang kita perlu untuk kenali Allah ialah kenallah diri kita sendiri. Sekuat manakah kita? Sebesar manakah kita jika Allah tidak menolong kita? Adakah masih ada rasa sombong? Dengki? Tepuk dada tanyalah imannya!

Syarat Kedua
InsyaAllah saya teruskan dengan yang golongan yang kedua iaitu golongon yang mengharapkan kedatangan hari akhirat. Bagaimana? Dapat teruskan? InsyaAllah, jika kita betul2 ikhlas, Allah akan bantu kita. Golongan ini dah tak nampak dah keindahan dan kenikmatan dunia. Dalam fikirannya hanya difikirkan akhirat. Segala kerja yang dilakukan dengan matlamatnya adalah hari akhirat. Jika kita reflect pada diri kita, apakah tujuan kita belajar? Jika (masih) untuk mendapat kerja yang senang, untuk hidup senang, maknanya matlamat kita masih tujuan duniawi. Betulkanlah niat itu. Bukannya salah. Niatlah untuk hidup senang didunia supaya dapat juga hidup senang diakhirat. Itu sudah dikira niat ikhlas. Ingat, niat ikhlas bukan sahaja niat kerana Allah tetapi jika niat kerana kehidupan akhirat seperti untuk masuk syurga, tak nak masuk neraka juga sudah dikira niat ikhlas sebab anda meyakini adanya syurga dan neraka itu. Itu sudah termasuk dalam mempercayai perkara-perkara ghaib. Jika kehidupan seharian anda lakukan untuk tujuan akhirat, anda sudah termasuk dalam golongan ini. InsyaAllah.

Syarat Ketiga
Golongan yang terakhir ini pula golongan yang paling banyak mengingati Allah. Orang ini sifatnya tenang. Rasulullah memang tenang orangnya. Baginda tidak pernah terburu-buru. Jadi orang yang mengambil Rasulullah sebagai contoh ini memang hatinya tenang kerana hatinya banyak mengingati Allah. Firman Allah yang dah biasa kita dengar yang bermaksud:
“Dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang,” surah ar-Ra’du : 28

Selain itu golongan ini banyak mengingati Allah dalam kehidupan sehariannya. Sama ada ketika berdiri, duduk dan baring, golongan ini tetap akan memikirkan Penciptanya. Jadi, bagaimana kita nak jadi seperti golongan ini? Ingatlah, Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui apa yang kita buat. Sama ada dizahirkan atau disimpan. Dalam kehidupan seharian kita, rasakanlah ‘kehadiran’Nya, rasakanlah yang Dia sedang melihat setiap tindak-tanduk yang kita lakukan. Dalam Al-Quran banyak diperingatkan tentang ini, tetapi kita masih lagi lakukan kemungkaran dan dosa. Cuba kita kaji diri kita, setiap tindakan yang kita nak ambil, adakah kita mengambil kira sama ada Allah suka perkara itu atau tidak? Nah, tanyalah iman didalam dada (lagi). Ingat Allah bukanlah ketika kita susah sahaja bahkan diwaktu lain pun perlu juga. Banyakkanlah berzikir seperti baca Al-Quran kerana itu akan memberikan ketenangan kepada kita.


Penyelesaian Kita
Jika kita tengok syarat-syarat tadi, layakkah kita katakan yang kita mengambil Rasulullah sebagai contoh kita? Muhasabahlah diri kita balik dimanakah kesilapan kita. Renungkanlah kenapa kita dikatakan umat yang paling mulia antara umat lain. Kita katakan yang kita mahu masuk syurga tetapi kita tak berusaha pun untuk ke sana. Kita katakan tak nak masuk neraka tetapi perlakuan seharian kita seperti menunjukkan yang kita ingin kesana. Usahalah sekarang. Ikutlah perintah Allah, semua itu untuk kebaikan kita. Jauhilah larangan Allah, kerana ia membawa mudharat kepada kita. Berubahlah sekarang kerana masih belum terlambat lagi. Berdoalah agar perubahan kita ini berkekalan sepanjang tahun dan bukan sahaja pada sambutan maulid Nabi!

Monday, March 2, 2009

Bilakah saat itu kan kembali?


Sudah lama ku pendamkan perasaan ini
Semakin hari semakin kuat rinduku
Setiap saat ku memikirkan tentang itu
Dialah..dialah yang memanduku
Mencari cinta sejati kearah kehidupan diredhai..

Sudah lama ku pendamkan hati ini
Sujud, rebah menghambakan diri
Menyesali perbuatan diri
Dosa-dosa yang memekat dihati

Ya Allah, bilakah lagi..
Bilakah saat itu kan kembali?
Hanyut ku dengan dunia yang tak sampai ke mana
Hanyut ku mengejari nikmatnya yang sementara
Hanyut ku dalam kelalaian dimamah usia
Lupa tentang KewujudanMu
Lupa pada KekuasaanMu

Ya Allah, bilakah lagi..
Bilakah saat itu kan kembali?
Setiap hari kurasakan tiada maknanya
Setiap detik merasakan gelisahnya
Setiap saat ku rasakan kehilangannya
Apakah yang ku risaukan itu??
Apakah itu Ya Allah??
Duniakah itu? Atau akhiratkah??

Ya Allah, jiwaku membentak..bilakah lagi..
Bilakah saat itu kan kembali?
Keimananku hanyut dalam nafsu
Ketaqwaanku kian hari ku rasakan palsu
Hindarkan lah itu semua wahai Tuhanku
Bangunkanlah daku untuk sujud kepada Mu
Gugurkanlah kembali tangisanku yang degil ini
Kembalikanlah rintihanku di malam hari
Binakanlah kekuatanku..
Teguhkanlah istiqamahku..
Kembalikanlah keghairahanku yang dahulu
Kembalikanlah keindahan yang kurasakan dahulu
Kembalikanlah Ya Allah..
Tahajudku..
Taubatku..
Hajatku..
Witirku..
Tasbihku…
Zikirku…
Sebagai wasilah menuju REDHA dan CINTAMU!

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...