Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan yang biasa-biasa

Bismillahirrahmanirrahim.. pembuka bicara yang lama tidak menulis.

Akhirnya. Marilah berbicara mengenai ramadhan yang setiap tahun pasti membincangkan masalah-masalah yang sama. Namun, masalahnya makin menjadi-jadi. Kronik. Gelagat umat islam masa kini menyambut ramadhan seolah-olah tersimpang daripada tujuan puasa yang sebenar. Tak percaya? Jom ikuti beberapa situasi yang akan dibincangkan dibawah. Semoga dapat mengambil pengajaran. Insya-Allah.

Situasi1 – Puasa tahap paling rendah.

“Puasa ertinya ‘menahan’. Bulan puasa ialah bulan menahan. Apa yang kita tahan?” tanya seorang rakan saya. Nak menguji pengetahuan agaknya. Sebagai seorang bekas pelajar sekolah agama tentunya dia lebih arif tentang puasa ini.

“Menahan nafsu. Nafsu yang menjadi punca kejahatan dalam diri.” Jawab saya ringkas sebagai memeriahkan perbincangan.

“Nafsu tidak boleh dihapuskan tetapi hanya boleh dikawal. Dan syarat untuk mengawal sesuatu kita mesti menahannya terlebih dahulu..”

“ Dan apabila kita mengawal nafsu barulah kita dapat mengawal diri kita..”

“Mengawal nafsu samalah seperti mengawal kereta, kita mesti ada brek. Dengan brek kita mampu berhenti dan bergerak semula. Tetapi apabila brek sudah rosak, kereta akan meluncur laju dan akhirnya terbabas.” dia menerangkan persoalan satu-persatu. Saya mengangguk tanda faham.

“Benarkah puasa kita ini telah menjadi ‘brek’ kepada nafsu kita? Benarkah puasa kita sudah menahan? Atau sekadar mengempang?” tanya saya.

“Maksud awak?”

“Siang kita mengempang nafsu makan, dan apabila tiba waktu berbuka, kita melepaskan semahu-mahunya. Jika begitu puasa kita bukan melemahkan kejahatan nafsu tetapi melatihnya dengan lebih kuat lagi. Jika kita lihat sungai kecil yang mengalir, kekuatannya hanya biasa. Namun apabila kita mengempang sungai tersebut akan menghasilkan janakuasa yang kuat.” jelas saya.

“Betul juga. Jika kita teliti, makanan ketika berbuka bukan main enak jika kita bandingkan dengan makanan yang kita sediakan pada bulan bukan puasa. Jauh lebih enak dan lebih pelbagai jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain. Itu bukan menahan tapi mengempang namanya!”

“Duit belanja juga bertambah daripada biasa. Nafsu tidak terdidik. Hati pula menjadi resah. Fizikal bertambah lembab. Tujuan puasa tidak kesampaian. Rugi dunia, rugi akhirat. Hanya dapat lapar dan dahaga sahaja. Inilah yang dikatakan puasa ditahap paling rendah.”

Situasi 2 – keutamaan ‘suruhan’ dan ‘jangan’

“Pernah tak kau dengar jemaah bergaduh disebabkan terawih lapan dengan dua puluh rakaat?” dia menukar kepada persoalan lain pula kali ini.

“Banyak kali..itupun satu masalah juga. Dari dahulu sampai sekarang. Tak sudah-sudah” jawab saya.

“Itulah masalah keutamaan antara suruhan dan jangan.” jawab dia dengan yakin.

“Tak faham. “

“Kita disuruh untuk melakukan solat terawih pada malam bulan ramadhan. Namun apabila timbul perselisihan sebegini, kita telah melupakan soal jangan. Iaitu jangan bergaduh sesama muslim. Kita dituntut menjaga persaudaraan antara satu sama lain. Kita dilarang menyakiti jiran kita. Malah, ibadah sebegitu lebih diutamakan daripada seseorang membaca al-quran di siang hari pada bulan ramadhan” jawab dia menerangkan.

“ Hairan, walaupun pada bulan puasa ramai yang solat tarawih dan membaca al-quran tetapi persaudaraan dan perpaduan sesama islam masih belum kukuh.” balas saya, seolah-olah menukar hala perbincangan. Sengaja.

“Apakah kaitannya solat tarawih dengan perpaduan? Apakah kaitannya membaca al-quran dengan persaudaraan?” tanya sahabat saya kembali. Dia faham dengan perubahan saya. Sudah lama kami bersahabat.

“Solat, membaca al-quran meningkatkan iman. Bila iman meningkat, ukhuwah automatic akan meningkat. Iman dan ukhuwah berkait rapat dan berkadar terus. Jika ukhuwah bermasalah, tandanya iman bermasalah..kenapalah agaknya? Solat tarawih dan membaca al-quran masih tak dapat menigkatkan iman dan persaudaraan?” jawab saya dengan mengakhiri dengan pertanyaan.

“Sebab kita terlupa pada perkara ‘jangan’. Banyak perkara ‘jangan’ yang kita buat walaupun pada masa yang sama kita banyak membuat perkara ‘suruhan’ yang kita buat.”

“Maksudnya?”

“Banyak baca al-Quran tetapi mungumpat banyak juga. Banyak solat, tetapi perasaan hasad dengki masih kita layan. Bayak amalan sunat yang kita buat, tetapi pemarah, prasangka, malas terus kita lakukan.”

“Jadi, adakah lebih baik meninggalkan yang ‘jangan’ walaupun tidak membuat perkara yang ‘suruh’?”

“Jangan pula begitu…kita kan sedang membincangkan usaha meningkatkan puasa. Cuba kita tingkatkan puasa kita tahun ini dengan membanyakkan perkara yang ‘jangan’ di samping membuat perkara yang ‘suruhan’!”

Cukuplah 2 situasi itu untuk refleksi puasa kita. Banyak lagi situasi yang berlaku dalam masyarakat kita yang boleh dikupaskan. Antaranya:

1) Antara bazaar dan bazirr. Belum lagi sentuh mengenai isu kesihatan. Makanan yang berlebihan akan memudaratkan dan mendatangkan penyakit.

2) Amalan yang tidak ikhlas dalam berpuasa – apabila personaliti berbeza dalam bulan ramadhan dan bukan bulan ramadhan. Inilah yang dikatakan bulan ‘adat’ bukan ibadat.

3) Rancangan television banyak memaparkan iklan makanan sehampirnya dengan waktu berbuka. Bukankah ini boleh membuatkan nafsu untuk berbuka dengan berlebih-lebihan?

4) Isu persaudaraan islam – bergaduh semasa mangambil giliran moreh

Aduhai, jika situasi sebegini diteruskan, tanyalah pada diri kita ‘Apakah tahap puasa kita pada kali ini bertambah baik daripada sebelumnya?’

Itu semua cerita benar. Itu semua cerita tahun lepas. Tahun ini pun masih cerita yang sama walaupun versinya mungkin berbeza sedikit. Betapa agama menjadi ‘ritual’ yang kosong makna. Masih ramai yang ‘menyambah’ diri dalam ‘sangka’ menyembah Ilahi.

No comments:

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...