Thursday, September 9, 2010

Coretan 1 Syawal

Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata. Sedang mempraktis menulis gaya cerpen pula. Selamat membaca!

Takbir raya sayup-sayup kedengaran dari pelusuk masjid qaryah Kg Paya Jaras. Kereta Kancil dipandu laju masuk ke masjid mengikut pintu depan. Aku mematikan enjin lalu keluar mengambil wuduk ditempat yg berhampiran. Air yang mengalir membuatku termenung seketika. Teringat kembali peristiwa pagi tadi di shopping kompleks.


“Kenapa tak nak beli baju raya?” ibuku bertanya. Kelihatan adik-adikku yang lain sibuk mencari pilihan baju mereka. Kelihatan ramai orang sesak berpusu-pusu sana sini mencari-cari. Tahun ini kali pertama aku raya di rumah. Tahun ini tak jadi balik kampung. Ibu sibuk dengan membuat kuih raya tempahan orang. Alhamdulillah, kami adik beradik turut menolong sama akhirnya dapat juga habiskan semuanya pada malam raya ini. Jika tidak ibu sendiri pun tiada masa nak pergi beli-belah.


“Tak perlulah bu, baju raya yang lama masih boleh pakai lagi. Membazir je kalau beli yang baru. Lagipun pakai sehari je.” Baju warna maroon petak-petak yang tahun lepas masih kelihatan elok dan boleh dipakai lagi. Rasa sayang pula beli lain. Lagipun baju tu nenek yang jahitkan. Lagi suka daripada yang dibeli siap.


“Ibu, saya tunggu di sini dululah. Nanti kalau dah selesai beritahu ya?” pintaku supaya tak menyusahkan dia. Ibuku bersetuju lalu masuk kembali ke dalam kedai menemani adikku memilih bajunya.


Kasihan ibuku. Anak-anaknya dibelikan baju raya sedangkan baju untuk dia sendiri pun tidak ada. Tidak mengapalah, untuk kegembiraan anak-anak. Mungkin itu dalam benaknya. Itulah pengorbanan seorang ibu, tak kira hari apa pun, priority tetap pada kegembiraan anak-anaknya. Terima kasih ibu!


Aku tersenyum seorang. Menyambung kembali wuduk untuk solat maghrib. Apa sebenarnya erti hari raya ini? Adakah pada baju raya? Kuih raya? Apa sepatutnya yang perlu kita buat? Apa yang dituntut syariat? Semuanya timbul dalam hatiku. Ah, lepas solat nanti baru difikirkan. Solat dahulu!
…………………………………
Hari raya hari kemenangan
Hari kesyukuran dilimpahi kemuliaan
Di lipatan seni mehnah ilahi
Ada maksud murni yang lebih hakiki


Pada nafsu yang dilentur lapar dahaga
Pada fikiran disinar wahyu dan sabda
Pada hati bersih disolat terawih
Apakah semuanya telah dimiliki?


Lagu Muhasabah Ramadan dari kumpulan Unique kedengaran dari radio kereta. Tatkala aku memandu sekejap-sekejap memandang keluar kelihatan banyak rumah yang dihiasi lampu-lampu warna warni dan tidak kurang juga pelita api di halaman rumah mereka.

Terfikir semula persoalan pada maghrib tadi. Apa erti sebenarnya raya? Kenapa disebut hari kemenangan? Kemenangan apa? Kemenangan setelah berjaya menempuh sebulan Ramadhan. Betulkah? Tetapi kenapa jiwaku masih tidak rasa gembira? Apakah maknanya puasaku tidak berjaya?

Setelah diamati lirik daripada lagu diatas, barulah ku sedar. Raya yang sebenarnya bukanlah pada baju raya, bukan pada baliknya kita ke kampung, bukannya pada pelita, bukannya pada kuih raya dan sebagainya tetapi raya itu pada diri kita.

Dengan bertakbir, sudahkah kita merasai kebesaran Tuhan? Dengan bertahmid, sudahkah cukupkah kita bersyukur kepada-Nya selama ini? Cubalah kita flashback kembali pada puasa kita. Sudahkah nafsu kita berjaya ditundukkan? Sudahkah nafsu kita berjaya ditarbiahkan? Bagaimana pula dengan akal kita? Hati kita? Astagfirullah! Kalau nak kata kita menang di hari raya ini, terasa macam menipu pula. Entah berapa banyak amalan kita yang agaknya diterima oleh-Nya. Banyakkah amalan kita sehingga kita layak untuk merasakan kita sudah menang? Sudah kalahkah nafsu kita jika kita katakan kita sudah menang? Hendak dikatakan tidak, rasa rugi sungguh. Ramadhan hanya setahun sekali. Tahun depan belum tentu jumpa lagi.


Ya Allah, masukkanlah kami di dalam golongan orang-orang yang berjaya dan janganlah Engkau masukkan kami di dalam golongan orang-orang yang rugi! Ya Allah, Engkau terimalah segala amalan kami di bulan Ramadhan ini dan bantulah kami agar kami istiqamah denganya. Semoga kami menjadi hamba-Mu yang sebenarnya dan bukanlah hanya hamba di bulan Ramadhan. Ya Rahman, kami sangat bersyukur kepada-Mu kerana saat ini Kau masih memberi kami nafas untuk hidup dan beribadah kepada-Mu dan memuji-Mu walaupun kami ini banyak dosa kepada-Mu. Ya Allah, jadikanlah kami hamba yang setia mengerjakan ibadah kepada-Mu. Jadikanlah kami khalifah yang kuat menegakkan syariatMu. Semoga kami berjaya di dunia dan akhirat. Ya Allah, semoga tarbiyyah Ramadhan yang terpahat di hati kami akan kekal selamanya.

Tamat cerita.

Nasihat Raya (untuk diriku jua)
Banyakkanlah bertakbir. Rasulullah menganjurkan kita memakmurkan malam aidilfitri dengan bertakbir semata-mata untuk menghidupkan syiar hari raya.


Bermaaf-maafan adalah dianjurkan walaupun sebenarnya ia tidak disyariatkan. Adakah hanya meminta maaf hanya pada hari raya? Bukankah kita perlu meminta maaf segera jika kita terbuat salah? Istilah duit raya (atau sedekah jariah) sebenarnya tidak dituntutkan. Tetapi telah menjadi adat masyarakat melayu memberinya sehingga menjadi wajib pada kanak-kanak untuk memintanya. Bukankah lebih baik jika sedekah pada bulan ramadhan? Pahala lebih banyak digandakan.


Hari raya bukan masa untuk bersedih-sedih. Mengenangkan masa silam. Pada yang telah pergi atau mana-mana kenangan pahit dan sebagainya. Telah menjadi adat melayu apabila tiba hari raya, banyak cerita drama yang disiarkan di televisyen berunsurkan sedih. Sepatutnya kita merayakannya dengan rasa gembira dan bersyukur. Di hari raya kita bersama-sama mengerjakan solat hari raya dan bertemu dengan muslimin muslimat yang lain. Jarang sekali kita dapat berkumpul. Berjumpa dan bertegurlah sapa. Tundukkanlah rasa keegoanmu apabila kamu bertakbir di pagi raya!


Jangan terlalu seronok hingga menyebabkan kita lupa diri. Banyakkanlah bermuhasabah diri. Ketika bertakbir, bertasbih, bertahmid, rasakanlah bahawa kita hanyalah hamba Ilahi yang tetap menjadi hamba walaupun di Aidilfitri.


Meriahnya raya bukan pada mercun, baju raya, kereta (?) raya dan sebagainya. Tetapi pada hati kita. Cuba bayangkan mereka yang susah dan tidak berkemampuan seperti kita, apakah mereka tidak meriah menyambut hari raya? Banyangkan pula saudara kita di Palestin, apakah tiada hari raya bagi mereka? Cukuplah itu. Nah, apakah dengan itu kita masih tidak merasakan syukur di hari raya? Raya bukan di mata tapi di hati!


Untuk pembaca blog ini, Selamat Menyambut Hari Kemenangan buat anda sekeluarga. Mohon maaf jika saya ada terkasar bahasa yang digunakan dan menyakitkan hati. Kepada sahabat-sahabat yang mengirim sms raya, terima kasih atas ingatan ikhlas anda semua. Taqabbalallah minna waminkum (Semoga Allah mengkabulkan amalan kami dan anda semua)!












No comments: