Pertama, hendaklah dibezakan antara makan dalam talam (atau dalam bekas-bekas besar yang lain) dengan makan secara berjemaah. Ramai yang menganggap, makan dalam talam dan makan berjemaah itu suatu yang sinonim. Maksudnya, bila sahaja kita makan beramai-ramai dalam satu bekas (talam) maka itu sudah dikira makan berjemaah.
Hakikatnya tidak begitu. Makan dalam talam tidak semesti memenuhi konsep makan berjemaah. Dan begitu juga jika tidak makan dalam talam, ia tidak boleh dianggap makan berjemaah. Makan dalam talam, hakikatnya adalah satu kaedah sahaja bagi melaksanakan makan secara berjemaah. Ia cuma satu kaedah, bukan satu ciri makan berjemaah.
Dalam berjemaah mesti ada ketua. Begitulah dalam makan berjemaah. Mesti ada ketua. Dikalangan orang yang makan, siapa yang lebih tua usia, lebih tinggi ilmu dan lebih dari segi kewibawaannya, maka dia boleh dianggap ketua. Apabila makan sekeluarga maka ayah selalunya adalah pemimpin dalam jemaah itu.
Sebagai ketua, dia mesti memulakan doa makan atau “mengagihkan” kuasa membaca doa itu kepada anak yang dipilihnya (atas tujuan melatih, meraikan atau mendidik). Dia kemudiannya memulakan suapan, dan diikuti oleh ahli keluarga yang lain. Persis seorang imam dalam solat berjemaah. Isteri dan anak-anak mesti mematuhi keputusan itu.
Sebagai pemimpin dalam kehidupan, begitulah kepimpinan semasa makan berjemaah. Ketua jangan memikirkan dirinya sahaja. Sebaliknya, dia hendak mengawasi orang lain yang makan bersama. Lauk yang jauh didekatkan. Mungkin bagi anak yang kecil perlu dicubitkan lauknya, makanan yang pedas diingatkan jangan makan keterlaluan. Jika makanan perlu ditambah, ketua cepat-cepat menambahnya. Jika makanan sedikit, diingatkan supaya berhemah.
Satu ciri lain dalam jemaah ialah setiap anggota mestilah mendahului kepentingan orang lain. Jemaah dan pengorbanan adalah saling berkaitan. Si A makan dengan niat hendak mengenyangkan si B. Manakala si B niat nak mengenyangkan si C. Begitulah niat setiap orang yang makan. Jika niat ini ada, maka satu lagi ciri makan berjemaah sudah diujudkan. Di sinilah punca tercetusnya kasih-sayang dan keberkatan. Yang sedikit cukup. Yang banyak, dapat diagih-agihkan.
Selain itu, apabila makan berjemaah kita akan ajak dan menunggu orang lain untuk makan bersama. Walaupun kita dalam keadaan yang lapar, kita masih mengingati orang lain. Ini satu kaedah yang mengajar seseorang individu itu lebih prihatin dengan keadaan orang lain. Memang ia akan jadi kebiasaan sehingga jika kita bergaduh atau bertelagah dengan sahabat kita, kita pasti merasa tidak selesa jika tidak mengajaknya makan bersama. Ini kerap berlaku dalam institusi keluarga.
Jika kita lihat fenomena masa kini, banyak jemaah yang mengamalkan gaya ini dalam aktiviti tidak kira diperingkat kecil sehingga dewasa. Namun, perlulah kita mengambil peranan untuk menerangkan kepada mereka tentang kepentingannya kerana sesuatu yang indah itu banyak kebaikannya. Ingatkan bagaimana dengan makan berjemaah boleh mengeratkan silaturahim dengan berkenal-kenal, bertukar-tukar cerita dan akhirnya membina kasih sayang. Melalui kaedah ini satu institusi boleh jadi lebih teguh dan kuat. Tidak kiralah di peringkat keluarga, masyarakat, jemaah dan sebagainya.
Kesimpulannya melalui makan pun boleh dikira sebagai ibadah jika diniatkan kerana Allah. Amalkanlah dan sampaikan kepada mereka yang tidak tahu. Marilah kita bina sesuatu yang biasa menjadi luar biasa!
“ISLAM itu INDAH kerana ALLAH itu INDAH”
1 comment:
best mkn dlm talam..always do that with family..rase keberkatannye..(^_^)
Post a Comment