Pada kali ini tulisan saya biasa sahaja. Cuma ingin menghangatkan kembali jari jemari dan fikiran yang lama tidak menulis. Petikan dalam artikel kali ini banyak saya ambil dari tulisan saudara Umar M Noor. Cuma saya olah sedikit mengikut citarasa saya. Idea dan isinya bagus dapat meningkatkan semangat dan beri inspirasi kepada saya. Setiapkali membaca Solusi, beliau antara kolumnis yang menjadi idola saya. Mungkin isi dan ideanya agak sama tetapi tidak mengapa ianya diulang kerana bukankah peringatan itu perlu diingatkan berkali-kali? Selamat membaca…
…………………………………………………..
Jika mengikut perkembangan masa kini, pendidikan di Malaysia seakan ‘mendesak’ rakyatnya untuk maju kehadapan. Jika diamati, setiap pelajar perlu menghabiskan silibus pelajaran dalam tempoh masa tertentu dan di uji dengan kaedah peperiksaan untuk menilai pencapaiannya. Kaedah sebegini ada pro dan kontranya.. Mungkin ia memberi kelebihan untuk pelajar-pelajar naik ke peringkat yang lebih tinggi dalam masa yang singkat. Cepat sampai ke menara gading dan seterusnya memasuki alam pekerjaan. Namun, kaedah sebegini terdapat juga kelemahannya. Pelajar-pelajar yang kurang bijak atau lambat mungkin akan ketinggalan dan tidak upaya untuk mengejar sistem ini. Setiap manusia sangat berbeza dari segi keupayaan mereka. Ada yang cepat tangkap dan ada yang memerlukan masa yang lama untuk faham. Sebagai contoh, pelajaran matematik tambahan. Walaupun ianya susah pada sesetengah orang, jika diberi teknik yang betul pasti ianya menjadi mudah. Cuma bezanya untuk proses memahaminya bergantung pada setiap individu. Ada yang perlu latihan yang banyak baru dapat tangkap. Ada yang cepat tangkap walaupun baru diajar sekali. Polanya senang sahaja, sesiapa yang cepat, dia menang dan yang lambat kecundang.
Kaedah yang sedang kita amalkan sebegini kurang bertepatan kaedah sebenar menuntut ilmu dalam Islam. Setiap ilmu itu akan melahirkan amal seperti mengaplikasinya dalam alam pekerjaan sama ada berbentuk perkhidmatan ataupun menjana pendapatan sendiri. Kadang-kadang sudah menjadi persepsi dalam masyarakat mendidik anak mereka supaya cepat-cepat ke menara gading, cepat-cepat ke alam pekerjaan sedangkan mereka itu perlukan masa untuk membesar dan matang bahkan hal itu sebenarnya akan menekan dan merosakkan diri mereka. Mereka disibukkan dengan pelbagai perkara sehingga tidak sempat lagi menimba ilmu pengetahuan dan tidak dapat merasai kemanisan menuntut ilmu. Akhirnya menjadikan mereka lebih tertekan dan kebanyakannya tidak mencapai ke tahap yang diharapkan.
Walaupun sebilangan berjaya meneruskan pengajian mereka dan akhirnya memegang segulung ijazah, benarkah mereka itu sudah mencapai tahap yang tinggi dan matang dalam bidang ilmu? Terkadang kita melihat diri kita begitu besar dan matang apabila telah mencapai peringkat ijazah padahal sebenarnya diri kita masih kecil dan mentah. Untuk mencapai kedudukan ilmu itu sempurna dalam diri kita memerlukan proses yang bertahap dan ia tidak datang dalam masa singkat apalagi jika dalam keadaan terpaksa. Jika kita tidak sabar dan terkejar-kejar dalam hal seperti ini maka ini akan membantut proses kesempurnaan ilmu itu. ini penting untuk membentuk skill dan disiplin dalam ilmu tersebut sehingga melahirkan kepakaran yang sebenar.
Contohnya dalam bidang perubatan, untuk menjadi seorang doktor yang memiliki kepakaran dalam sesuatu bidang, ia memerlukan masa dan tempoh yang lama untuk mencapainya. Mencapai darjat kesempurnaan seperti ‘pakar’ dalam sesuatu bidang perlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Bukan hanya dengan status pangkat yang boleh kita bangga-banggakan. Kita memperkatakan aspek kualiti ilmu dan bukan kuantitinya.
Jika kita telah memiliki ijazah dalam bidang kedoktoran misalnya, namun ia tidak menjadikan anda seorang ahli perubatan yang sebenar sebelum kita merawat seorang pesakit dengan kepakaran yang ada. Kepakaran ini dapat dilihat setelah kita benar-benar sudah menguasai teknik tanpa masalah dan biasa berhadapan dengan pesakit walaupun dalam keadaan kronik bagaimana sekalipun. Apa pun bidangnya, coraknya sama, iaitu diperlukan latihan dan ketekunan yang berpanjangan untuk tiba ke tingkat kepakaran yang sempurna. Setakat membaca teori tanpa banyak berlatih tidak akan menerapkan sifat itu dalam diri.
Jadi, jalan menuju kepakaran itu panjang. Sesiapa yang menempuhnya dengan sabar maka dia akan menjadi seorang pakar yang disegani. Sebaliknya sesiapa sudah menjadi pakar sebelum tiba masanya maka ia sudah kering sebelum matang. Ucapan dan pendapatnya tidak mengandungi ilmiah sekali. Jangan bimbang jika kita lambat daripada orang lain kerana keupayaan diri kita tidak sama dengan mereka. Jangan lah mudah berputus asa dalam melakukan perkara yang baik kerana natijahnya Allah akan lebih menyayangi kita.
Jika kita tidak sabar untuk menjadi seorang doktor sebelum kita menguasai semua bidang ilmu yang perlu kita kuasai, ia bukan memberikan kebaikan malah merosakkan orang lain. Apa gunanya jika kita mangamalkan sesuatu tanpa ilmu dan hujah yang kuat? Bukan sahaja merosakkan orang lain malah diri sendiri kerana ini menyebabkan dia tidak sempat lagi menimba ilmu dan menjauhkan dirinya daripada peningkatan ilmu. “sesiapa yang ingin memiliki sesuatu sebelum masanya, maka ia diharamkan dari memiliki sesuatu itu”. orang seperi ini ibarat pokok yang belum ditanam dengan sempurna, maka buah yang keluar daripadanya pun tidak berkualiti.
Kesimpulannya, tekun dan bersabarlah dalam menuntut ilmu. Laksanakanlah arahan guru dan menerima tegurannya. Adakalanya kita sering dimarahi guru kita dan membuatkan kita rasa lemah. Tetapi sebenarnya untuk kebaikan kita supaya membetulkan kesilapan kita sendiri. Walaupun kita rasa hina, tetapi ini lah yang akan membawa kebaikan pada masa hadapan. Kemudian rasakanlah setiap ilmu yang ada bukan milik kita kerana ilmu tersebut tidak akan datang sekiranya Allah tidak memberinya. Jangan sombong dan berlagak dengan ilmu yang ada kerana tidak mustahil Allah boleh menariknya kembali. Semoga Allah menghidupkan ilmu itu dalam diri kita dan menempatkan kita di darjat yang tinggi di sisiNya di akhirat kelak. Amin..
Sahabat, andai diri ini terdapat kesilapan, tegurlah aku. Kerana fitrah manusia itu tidak lekang dari melakukan kesilapan..
No comments:
Post a Comment