Wednesday, July 22, 2009

Ber’nas’ yang tidak bernas


Artikel ini mengingatkan saya pada sambutan maulidurrasul yang lepas. Seperti biasa, kolej kami menganjurkan ceramah dan menjemput seorang ustaz utnuk menyampaikannya. Saya seorang ahli yang terlibat dalam mengendalikan majlis tersebut.

Pada permulaan ceramah, saya sempat memasang lagu nasyid selawat yang agak biasa dipasang dalam televisyen dan radio. Kemudian sesi ceramah dimulakan. Suasana agak riuh sedikit apabila ustaz tersebut membuat pernyataan bahawa selawat beramai-ramai adalah satu bid’ah. Kemudian, kebetulan selepas sesi ceramah akan diadakan selawat beramai-ramai menyebabkan ustaz itu melarang kami melaksanakannya. Saya cuma terdiam dan berbagai-bagai persoalan bangkit dalam hati. Saya tidaklah begitu mahir dalam soal bid’ah dan sunnah ini.

Tetapi persoalan yang dibawa oleh penceramah akan menyebabkan kekeliruan pada orang ramai tentang amalan selawat sama ada dibenarkan atau tidak. Saya tidaklah menentang persoalan tersebut tetapi masakan persoalan ini rasanya tidak sesuai dibawa ketika sambutan ini.

Hati saya penuh dengan persoalan. Kenapa tidak boleh berselawat? Adakah ianya perkara yang buruk? Apabila saya terbaca artikel ini, barulah saya jumpa jawapannya. InsyaAllah, semoga dengan perkongsian kali ni lebih memantapkan pemahaman kita dalam agama yang tercinta ini. Allahuakbar!
.......................................................................

Sebaik imam memberi salam, seorang lelaki gempal terus keluar daripada saf sembahyang dengan melangkah bahu para jemaah yang lain. Agak sedikit kasar kelihatannya. Ramai yang kurang senang dengan perlakuan itu. Ada pula yang mencemik dan mengerutkan muka.
Ketika makan di kantin selepas sembahyang, kebetulan lelaki gempal berkumis nipis itu duduk di sebelah saya.

“Mana nas yang awak semua doa ramai-ramai selepas sembahyang ni?” katanya tiba-tiba.
“Sudah maklum”
“Awak taqlid buta. Amal tanpa nas yang sahih adalah bid’ah. Setiap yang bid’ah sesat. Yang sesat terjun ke Neraka.”

Saya cuba tenang.
“Apa yang Rasul tak buat, kenapa awak buat?” asaknya lagi.
Saya diam. Nasi yang ada dalam mulut saya kunyah perlahan-lahan. Setelah menelannya saya bertanya, “Mana pula nas yang tidak membolehkan doa ramai-ramai selepas sembahyang?”
Dia diam. Tapi kemudiannya menjawab, “Tentulah ada…err…err..”
“Nampaknya kita lebih kurang sama. Sama-sama taqlid buta,” pintas saya cepat.
“Amalan bid’ah macam tulah yang buat Islam ketinggalan. Islam berpecah-belah,” joloknya lagi.
“Mengapa awak tergesa-gesa keluar tadi?” saya mengelak.
“Tidak mahu terlibat dengan bid’ah.”

“Baiklah, bagaimana pula sikap awak yang melangkah bahu dan peha orang lain tadi, ada nasnya?”
Sekali lagi dia mencemik.

“Kekasaran tadi telah mengganggu orang lain dan boleh menimbulkan prasangka. Itu benih perpecahan. Itu bukan amalan Rasulullah. Apa salahnya awak tunggu seketika dengan niat nak menghormati orang lain.”

“Tidak ada penghormatan pada pembawa bid’ah,” katanya.
“Kalaupun doa beramai-ramai satu bid’ah…bid’ah memecah-belahkan persaudaraan lebih besar daripada itu.”

“Apa nas awak?”
“Ukhuwah itu wajib. Berdoa selepas sembahyang sama ada secara sendirian atau beramai-ramai adalah sunat hukumnya. Apa salahnya kita mengalah tentang yang sunat demi memelihara yang wajib?”

Matanya bersinar-sinar. Tiba-tiba tangannya menghentak meja.
“Saya tanya mana nas?”
“Mana nas awak hentak-hentak meja depan ramai ni. Kan malu begini…Tenanglah.”
“Aah, saya anti bid’ah. Doa ramai-ramai, qunut, Sayidina dan tah apa-apa lagi…semua bid’ah. Mana hadis sahih mereka?”

“Masalah itu dah lama diselesaikan oleh imam mazhab yang lebih alim dan taqwa daripada kita. Kita sekarang berdepan dengan masalah kita sendiri.”
“Masalah apa?”
Masalah ramai orang tak sembahyang. Kita bergaduh soal ranting, ketika soal pokok nak tumbang…Berbahas soal qunut, sedangkan masih ramai orang yang tak sembahyang Subuh…
“Qunut bid’ah. Awak mesti tinggalkannya,” desaknya lagi.

“Saya rela tinggalkan qunut bila sembahyang berjemaah dengan awak nanti,” kata saya.
“Ei, macam mana tu, kejap tinggal kejap buat. Awak ni saya rasa kaki qunut ni..”
“Apa salahnya saya korbankan qunut demi menghormati awak. Bukankah Imam Syafie bila bersembahyang di masjid yang ada di dalamnya maqam Imam Abu Hanifah, dia meninggalkan qunut..”

“Mengapa?”
“Sebab Imam Syafie menghormati Imam Abu Hanifah yang telah wafat… semasa hidupnya Imam Abu Hanifah tidak mengamalkan qunut.”
Dia melopong.

“Ulama-ulama dahulu mementingkan persaudaraan daripada soal ranting. Sekalipun berbeza pandangan, mereka tetap hormat-menghormati. Itu di antara yang hidup dengan yang mati, apatah lagi sesama hidup…lebih-lebih lagi.”
“Tapi saya bencikan bid’ah.”
“Skop bid’ah luas. Jangan dalam hal-hal peribadatan sahaja.”
“Maksud awak?”
“Bid’ah juga terjadi dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain. Itu lebih merbahaya!”

“Bid’ah di bidang ekonomi?”
“Ya, bila ekonomi mengamalkan riba, penindasan, penzaliman, monopoli dan kerakusan. Itu lebih bahaya daripada qunut dan doa ramai-ramai…”
“Betul ke ni?”

“Bukankah Rasulullah tidak buat begitu. Bila Rasulullah tak buat, kita buat…Bid’ahlah namanya tu.”
“Itu hal dunia. Kita cakap tentang hal-hal ibadat. Ini hal Akhirat.” Katanya.
“Memisahkan antara dunia dengan Akhirat pun bid’ah. Itu tidak pernah dibuat oleh Rasulullah. Dunia itu sabdanya, adalah tanaman Akhirat…tidak boleh pisahkan.”
“Saya tak faham…”

“Riba itu haram, jika dibuat berdosa. Dosa dibuat didunia, balasannya di Akhirat…Sebaliknya berniaga itu halal, pahalanya dibalas di Akhirat. Itu dunia, itu jugalah Akhirat.”
“Saya keliru,” akuinya terus-terang.

“Tiidak mengapalah. Tapi saya ingin bertanya, pada pandangan awak, mana lebih merosakkan…qunut yang awak akatakan bid’ah itukah atau pengamalan riba?”
Dia diam.

“Awak nak cari nas ke?”
Dia diam.

“Al Quran jelas mengharamkan riba. Dalam Hadis begitu juga. Nas haramnya riba lebih mudah dicari daripada nas bid’ahnya qunut dan doa beramai-ramai. Cuba-cubalah cari.”
“Awak mesti faham saya bertekak soal nas ni kerana nak mempertahankan Hadis. Dah ada puak yang berani mempersoalkan kesahihhan Hadis!”

“Pada saya, bertekak soal nas inilah yang menyebabkan timbul golongan yang mempertikaikan Hadis. Sikit bid’ah, sikit Hadis dhaif. Akhirnya orang ‘frust’. Kata mereka, ah kalau begitu…lebih baik ambil Quran ‘direct’, susah-susah nak ambil Hadis kenapa? Nanti terkena Hadis dhaif, nanti dituduh bid’ah…”

“Apa awak cakap ni?”

“Ya, kerana pertengkaran tak habis-habisan tentang qunut, lupa kita memikirkan bagaimana nak ajak orang lain bersembahyang. Dan mereka itu pun tak ghairah mencontohi kita. Kata mereka, ah…orang sembahyang pun bergaduh, baik jadi macam kami yag sembahyang.”
“Berhentilah berbahas tentang nas. Kita ada nas, orang lain pun ada nas. Yang penting amalkanlah Islam dengan nas masing-masing. Tidak bernas kalau kita terus berbahas…nanti semakin berleluasalah amalan-amalann yang tidak ber’nas’ langsung!”

sumber: Ustaz Pahrol Muhamad Juoi

No comments:

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...