Monday, July 27, 2009

Muhasabah: Saat berpisah...

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak minta, maka perginya tidak diduga. Apabila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Apabila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabiskan bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji…tiba masanya pasti kembali!

Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:
“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah ke seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang...untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap…untuk bersabar.

Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangunlah kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan langkah menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan,jangan jadi lalat yang membusukkannnya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak menciptakan manusia bodoh. Tuhan menciptakan manusia dengan kebijaksanaan berbeza. Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.

Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut…katalah pada diri, apabila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu apabila berdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandang jalan yang lebih jauh merenang di hadapan. Ingatlah kata-kata ini:
“In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning.”

Sesunguhnya matu itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang, mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya…syurga! Amin.


Sumber: Majalah Anis Julai 2009

No comments:

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...