Friday, July 24, 2009

Panadol untuk hari esok!


Alhamdulillah, pagi ini dapat bangun juga walaupun masih pening-pening lagi. Semalam hampir tak larat nak bangun. Nasib baik rakan-rakan yang prihatin datang menghulurkan bantuan. Kalian memang best. Saya rasa betul-betul terhutang budi dengan mereka. Walau apapun, saya mesti bangun juga hari ini memandangkan peperiksaan mini test medicine society pada hari isnin ini rasanya rugilah kalau terlantar atas katil sahaja. Mesti fight! Bak kata mak, kalau kuat semangat nanti cepat sembuh..

InsyaAllah pada kali ini nak sentuh sikit pasal sakit memandangkan ramai juga kawan-kawan yang demam sekali. Semalam saya terima sms daripada adik yang mengatakan “Alamak, doktor pn sakit?” bengang jugak. Tapi agak tersirat maknanya kalau diamati betul-betul. Dalam perubatan, banyak juga kita belajar mengenai penyakit-penyakit yang banyak. Belajar sampai nak rak tapi akhirnya diri sendiri pun tak dapat nak elakkan kalau penyakit tu datang pada kita.

Terlintas di fikiran, betul juga, walaupun kita ini mempunyai ilmu yang tinggi dalam perubatan pun tetapi apa gunanya kalau hilang nikmat kesihatan? sebab itu Nabi Muhammad s.a.w ada mengingatkan kita tentang dua nikmat yang selalu dilupakan oleh manusia iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang. Apabila kita sakit, berbagai perkara kita tidak dapat buat, hilang selera makan, dan sebagainya. Apabila jadi begitu, barulah kita mula mengeluh “kan bagus kalau aku sihat, dapat buat itu, dapat buat ini..” ketika itu, jiwa seolah-olah baru sedar bahawa indahnya nikmat sihat.

Ketika itu, barulah nak merintih, Oh Tuhan, mengapa ini terjadi padaku?... barulah jiwa kita mula nak mengingati Tuhan, mulalah ingat nak beramal. Dapatkah kita yakin bahawa kita akan terus mengingati Tuhan apabila kita kembali sihat nanti? Jika ya, Alhamdulillah. Jika tidak, percayalah bahawa pada ketika itu bukan badan kita yang sakit tetapi yang sakit adalah jiwa kita.

Mengapa jiwa kita boleh sakit? Ingatlah kembali sewaktu kita sihat dulu. Muhasabahlah di mana kekurangan kita, amalan kita, ingatan kita pada Tuhan. Allah memberi kita sakit supaya kita kembali mengingatinya. Ia sebagai ubat kepada sakit kita itu. Samalah jika fizikal kita yang sakit. Oleh kerana badan kita berasal daripada tanah, maka ubatnya pun semuanya dibuat daripada unsur tanah. Ferum, natrium, magnesium dan lain-lain semuanya berasal dari tanah. Tetapi soal hati atau jiwa kita ini soal rohaniah. Jiwa kita perlu kembali kepada asalnya, iaitu kembali kepada Penciptanya iaitu Allah. Hati yang dekat dengan Allah akan tenang dan sihat semula kerana ia telah kembali pada fitrahnya.

Jika hati kita telah sihat, kita akan tetap dalam mengingati Tuhan sama ada kita ini sakit ataupun sihat. Jika kita sihat, kita akan bersyukur, kita akan banyakkan beramal, dan menggunakan nikmat sihat itu sebaik-baiknya. sebaliknya jika kita sakit, kita akan bersabar dan menganggap ianya sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita. Banyak sebab Allah menguji kita dengan kesakitan antaranya sebagai kifarah(bayaran) kepada dosa-dosa yang telah kita buat, Allah tidak mahu kita diseksa dengan azab akhirat yang lebih dahsyat kerana Allah menyayangi kita. Sepatutnya dengan sakit pun kita patut bersyukur.

Memang betul, agak susah untuk mengubat hati kerana sudah semulajadi ubat memang selalunya pahit. Jarang ada yang manis. Namun, untuk kembali sihat, kita kena tempuhinya jua. Apakah ubat hati? Mula-mula cubalah lazimkan diri menghadiri majlis ilmu yang mengingatkan kita pada Allah. Ilmu adalah penerang hati kita. Walaupun berat kaki ni nak melangkah, kuatkanlah diri seperti pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit. Kemudian mulakanlah amalan-amalan yang boleh merawat hati. Mengingati Allah adalah amalan yang paling utama seperti berzikir, solat dan membaca al-Quran. Janganlah kita meninggalkan solat kita kerana solat sebagai perhunbungan kita dengan Allah. Selain itu, dengan mengingati Allah, segala emosi kita akan kembali tenang. Ini sangat penting semasa kita sihat ataupun ketika kita sedang sakit. Ahli psikologi ada mengatakan emosi mempunyai pengaruh dalam menghasilkan antibodi dalam badan untuk melawan penyakit. Pesakit yang lebih kuat semangat mempunyai peluang sihat yang lebih cerah berbanding pesakit yang kurang semangat. Sebab itu doktor yang baik bukan sahaja dapat merawat fizikal manusia malah juga boleh merawat hati manusia.

Oleh itu, marilah sama-sama kita keluarkan ‘antibodi’ itu. Lawanlah penyakit hati seperti malas, risau dan sebagainya. Apakah ‘antibodi’ hati itu? Itu lah yang dinamakan iman kita. Apabila iman kita kuat, maka kita akan hadapi semua ujian dengan hati yang mengingati Allah s.w.t. Apabila iman kita sihat, hati kita sihat, kita tidak perlu risau terhadap apapun penyakit yang akan datang pada diri kita kerana pada waktu kita sudah pun menjadi doktor kepada diri kita sendiri!

No comments:

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...