Wednesday, January 13, 2010

Ber'lakon'lah jadi ahli syurga!

Artikel ini ana tulis khas buat sahabat seperjuangan. Alhamdulillah 3 hari baru dapat siap. Maaf. Sibuk sket..(alasan lagi..)

Alhamdulillahirabbil a’alamin.Tuhan yg Maha Berkuasa Seluruh Alam. Yang menjadikan bumi dan matahari, planet-planet yang berputar mengelilingi paksinya, kejadian siang dan malam. Dan sesungguhnya, beruntunglah bagi orang yang memikirkan kekuasaan-Nya.
Syukur sekali lagi ke hadrat Allah SWT atas pinjaman nikmat yg diberikan kepada kita dapat lagi kita hidup meneruskan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi ini.

“Ya Allah, ya Tuhanku. Engkaulah yang menghitung yang menghimpun dengan teliti dan cermat segala gerak-geri hamba-hambamu. Engkau maha mengetahui akan sikap dan tingkah laku orang-orang yang menjauhi atau yang mendekatimu. Engkau telah menghimpun segala rahsia dan yang lebih tersembunyi daripada rahsia hamba-hambamu. Ya Allah, engkau bukakanlah tabir yang menyelubungi kalbu kami. Supaya kami dapat menyaksikan pada diri kami akan adanya cahaya anugerahmu. Wahai tuhan yang Maha memberi anugerah dan berikanlah kami cahaya pengawasan diri supaya kami dapat mengawasi segala aktiviti dan kelakuan kami. Dan dapat menghisab serta menghitung dengan teliti segala keadaan kami sama ada gerak kami ataupun diam kami.”

Doa ni ana dapat dari ustaz kariman. Kalau kenal la. Sangat menyentuh hati bila mendengarnya. InsyaAllah, pada kali ini ana nak kongsi sedikit sebanyak tafsiran nama-nama Allah, Asmaul Husna iaitu sifat Al Mubdi dan Al Muiidu. Jika masih ingat, pada tahun lepas, ana pernah post sekali artikel sifat Allah Al-Ghafuur. Boleh check balik kat ruangan Sedikit Usahaku disebelah. Itu pun disampaikan oleh Ustaz Kariman jugak. Semoga artikel ini dapat menjadikan kita lebih mengenali Allah serta meningkatkan cinta kita kepada Nya! Takbir!

Secara ringkasnya nama Allah yang ke 58 dan 59 iaitu AlMubdi dan AlMuidu tidak disebutkan didalam kitab Al-Quran tetapi kita hanya menemukan kata kerjanya sahaja. Jika kita pelajari bahasa arab, kata Al-Mubdi berasal daripada ba-dal-hamzah yakni yang bermaksud memulakan sesuatu. Manakala Al-Mui’du berasal daripada ain-wau-dal yakni bermakna mengulangi atau kembali. Juga bermaksud pendua bagi sesuatu yang diulang-ulang.

Al-Mubdi
Pertama, maksud Allah Al-Mubdi ialah Allah s.w.t merupakan Tuhan yang memulai segala ciptaan. Segala yang wujud yang ada di dunia ini bersumberkan daripada Allah s.w.t. Dengan kata lain, Allah menjadi sebab utama bagi segala yang wujud. Jika Allah mengkehendakinya ada, maka adalah bagi sesuatu itu. Jika ada, adalah dia. Ini merujuk kepada Tauhid Rububiyyah seseorang yang wajib diyakini bahawa Allah lah penyebab kepada semua kejadian dan bagi segala yang wujud. Mempercayai pada selain Allah boleh menyebabkan syirik.

Kedua, sifat Al-Mubdi adalah memiliki bagi segala yang mewujud. Segala yang wujud adalah milik-Nya. Innalillah, AlMubdi’ segala sesuatu adalah milik Allah kerana dia yang memulai segala yang menciptakannya. Waninna ilaihi rhajiun, dan kepadanya kami kembali, AlMu’id, Dia yang mengembalikan. Kalau Dia yang menghidupkan maka Dia yang mematikan kemudian Dia yang menghidupkan semula. Kalau Dia yang menciptakan kali pertama maka Dia yang akan menciptakannya lagi.

Al-Muiidu
Kemudian, maksud Allah Al-Muiidu ialah Allah akan mengulangi apa yang pernah dicipta-Nya. Sebagai contoh jika hari ini Allah mematikan seseorang maka hari ini juga seorang bayi baru dilahirkannya. Dan ciptaan itu sifatnya adalah sama. Jika dahulu Allah ciptakan Nabi Adam a.s sama sahaja cara Allah ciptakan kita sekarang. Bagaimana Allah ciptakan organ yang berfungsi pada Nabi Adam sama sahaja fungsi organnya dengan kita. Sebab itu hari ini boleh lahirnya ramai doktor-doktor pakar kerana mereka dapat mengkaji dan mempelajari organ-organ yang sama dan dapat merawat terus penyakit. Cuba bayangkan jika ciptaan setiap orang berbeza setiap satunya pasti para doktor mempunyai masalah dalam merawat pesakitnya yang berlainan dengan apa yang dipelajarinya. Pengulangan yang berkali-kali inilah yang membuatkan kita dapat memahami rahsia disebalik ciptaan-Nya. Demikian juga alam semesta, Allah ciptakan dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besarnya, Allah mengulang-ulang dengan bentuk yang sama dan kaedah yang sama. Sunnatullahnya tetap sama.

Allah bukan sahaja mengulangi ciptaan yang diciptakan-Nya malah juga mengulangi fungsi ciptaannya. Contohnya kulit kita. Kulit diciptakan dengan berbagai deria seperti rasa, sentuh, panas, sejuk dan sebangainya. Jika di dunia kita dapat merasai panas, sejuk dan sebagainya. Apabila di akhirat kelak Allah akan mengulangi ciptaan itu yang sama fungsinya ketika didunia. Jika didunia kita dapat merasa sejuk dan panas, di akhirat kelak kita dapat juga merasai sejuk dan panas. (Surah An-Nisa’ : 56)
Sesungguhnya orang-orang yang kufur, dengan ayat Kami, kelak akan pasti Kami akan benamkan mereka kedalam neraka. Setiap kali telah, kalau buah nadhijah itu maknanya masak, kalu kulit itu maknanya dah hangus. Nadhijat juluuduhum, kulit-kulit mereka, setiap kali kulit-kulit mereka hangus dibakar dek api, baddalnaahum juluudan ghairaha, Kami gantikan denagn kulit-kulit selainnya. Jadi sentiasa kulitnya bertukar baru. Kenapa diganti bila dah masak dah hangus? Kerana li yazhuukula’zaab. Supaya mereka dapat merasai akan azab.

Cuba teliti ayat ini, kenapa Allah tidak kata setiap kali hidungnya tercabut, Kami tukar hidung yang baru. Setiap kali rambutnya hangus, kami tumbuhkan lagi rambut baru? Kerana disebutnya kulit kerana didunia lagi kulit ini untuk deria rasa. Allah dengan sifatNya yang Maha sempurna telah meletakkan berapa jaringan saraf dibawah kulit kita dengan itu kita dapat merasakan panas, sakit, pedih, sejuk dan sebagainya. Nanti diakhirat pun diciptakan kulit itu sama fungsinya dengan didunia. Perbuatan Allah menciptakan kulit dengan fungsi yang sama itulah yang dinamakan Al-Muid, mengembalikan ciptaan yang sama.

Kemudian, makna Al-Muidu juga bermaksud Allah s.w.t sentiasa menciptakan sesuatu daripada lawannya. Surah Toha : 55
Darinya (tanah) itulah Kami menciptakan kamu dan kepadanyalah Kami mengembalikan kamu dan dari sanalah Kami akan mengeluarkan kamu pada waktu yang lain.

Ayat ini mengandungi kedua-dua makna Al-Mubdi dan Al-Muiidu. Allah memberitahu kita bahawa kita dijadikan daripada tanah. Kemudian kedalam tanah, Allah kembalikan kita. Kemudian daripada tanah jugalah Allah mengeluarkan kita pada untuk kali yang lainnya. Dimatikan ketika hidup didunia dan kemudian dihidupkan kembali untuk hidup di akhirat kelak.

Kemudian tentang amalan kita, Allah yang menciptakan amalan kita dan Allah akan mengulangi ciptaan amalan kita. Maksud Allah yang menciptakan amalan kita ialah seperti contoh bayi yang lahir daripada pasangan yang sah, Allah yang menciptakannya. Bayi yang lahir daripada pasangan yag berzina juga Allah yang menciptakannya. Orang yang mati akibat penyakitnya juga Allah yang menciptakannya. Namun yang perlu kita fahami, amalan yang kita lakukan, Allah yang menciptakannya tetapi kita yang memilihnya. Jika kita pilih untuk buat jahat, maka Allah akan menciptakan amalan jahat itu manakala jika kita pilih untuk buat baik, Allah akan menciptakan amalan baik itu. Di akhirat kelak, Allah akan mengulangi perbuatan amalan itu. Sebagai contoh semasa peristiwa Isra’ Mi’raj, Nabi Muhammad s.a.w melihat manusia diseksa dengan berbagai keadaan berdasarkan amalan yang dilakukannya ketika di dunia. Salah satunya Nabi s.a.w melihat kepala mereka dihentakkan dengan batu sehingga pecah kemudian pulih dan dipecahkan lagi. Lalu ditanya oleh Nabi kepada Malaikat Jibril terhadap apa yang telah dilakukannya. Lalu Jibril menjawab itulah orang yang meninggalkan solat. Soalnya kenapa orang yang meninggalkan solat dihentakkan kepalanya sehingga pecah? Ini kerana amalan meninggalkan solat ialah pilihan mereka. Mereka sendiri yang mengatakan taknak dengan alasan-alasan yang berbagai. Sebab itu kepalanya dihentak sehingga pecah. Contoh lain jika di dunia seseorang itu suka mengumpat, maka diakhirat kelak akan dipotong lidahnya.

Maknanya disini Allah bukan menciptakan amalan itu semula tetapi dalam bentuk balasannya. Jadi kalau Allah yang menciptakan amalan itu didunia atas dasar pilihan manusia maka Allah jugalah akan mengulangi perbuatan itu tapi bukan berupa amalan tetapi berupa balasan. Jadi amalan kita ini seperti menempah balasan. Jadi setimpal amalan kita ni memberi kesan kepada jenis apa balasan yang akan kita perolehi dan yang diterima di akhirat kelak. Sebab itu jika ingin masuk syurga, semasa didunia lagi kita perlu melakonkan watak-watak ahli syurga. Awas! maksud saya berlakon disini ialah berperangai seperti ahli syurga bukannya berpura-pura.

Oleh itu, jika kita lihat didalam surah Al-Waqiah, kita akan dapat bagaimana sifat ahli syurga ini sebagai contoh ialah pada ayat ke 16. Berhadap-hadapan. Saling berhadapan menunjukkan kemesraan, persahabatan. Kemudian pada ayat seterusnya ayat 25 dan 26. Mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa seperti mengumpat. Tetapi mereka mendengar ucapan salam, sentiasa memberikan kesejahteraan kepada orang.
Orang muslim, kalau kita belum dapat membantu orang, minimumnya kalau kita belum dapat menyenangkan hati orang lain, janganlah kita menyusahkannya. Itulah yang paling minimum. Kalau kita belum dapat memberikan sesuatu pada orang lain, janganlah kita merampas, mengambil. Kalau kita belum dapat mengakui kebaikan orang lain, jangan pula kita mengungkit-ngungkit keburukannya. Ini tidak, kebaikannya tidak diakui,ini keburukannya pula yang diceritakannya. Syurga bukan tempat orang seperti ini. Jika kamu belum dapat menolong orang, janganlah kamu menyusahkannya.

Kesimpulannya ber’lakon’lah seperti ahli syurga ketika didunia ini supaya kelak Allah akan mengulangi amalan kita di syurga kelak. Amin..

No comments:

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...