Wednesday, May 13, 2009

Zikir Keindahan Ilmu 2




Tidak ada manusia yang alim dalam semua perkara. Seorang saintis misalnya, pakar tentang sains, tetapi mungkin tidak alim tentang kemasyarakatan. Seorang peguam pula pakar tentang undang-undang, tetapi mungkin tidak tahu langsung tentang ilmu astronomi. Seorang yang ada PhD di bidang usuluddin mungkin tidak pakar dalam bidang fekah. Demikianlah, ilmu pengetahuan manusia amat terbatas, terlalu jauh jika dibandingkan dengan ilmu Allah yang maha luas.Bandingan ilmu yang Allah beri kepada manusia ibarat setitis air dari seluruh lautan

Bandingan ilmu Allah yang luas itu seperti lautan yang tidak bertepi. Sedangkan ilmu yang ada pada manusia hanya setitik sahaja daripada lautan yang luas itu.
Allah mengetahui segala-galanya hatta perkara-perkara yang tidak terjangkau oleh akal manusia, kerana kejadian akal itu sendiri termasuk dalam ilmu-Nya.


Ilmu atau pengetahuan Allah tidak terbatas, tiada satu yang dapat menyainginya dan tidak pernah terluput walaupun seketika. Allah dapat mengetahui yang tersirat di dalam hati, yang dibentengi tembok, yang jauh, yang dekat, yang sedang berlaku, yang sudah berlaku dan yang akan berlaku. Demikianlah hebatnya ilmu Allah itu. Sebaliknya, ilmu pengetahuan Allah berikan kepada manusia amat terbatas. Sepandai-pandai dan sebijak-bijak manusia pun tidak mampu menguasai semua ilmu yang ada di dunia ini. Apatah lagi ilmu-ilmu di alam ghaib seperti alam malakut dan alam akhirat yang tidak terjangkau oleh fikiran manusia.

Justeru itu, untuk apalah kita berbangga serta menyombongkan diri kita kepada manusia, sekiranya kita ada sedikit kepandaian yang dikurniakan Allah. Lebih-lebih lagi amat tidak patut kalau hanya dengan ilmu yang sedikit itu kita berlaku sombong terhadap Allah sehingga menafikan kebijaksanaan Allah SWT, nauzubillah. Misalnya, ada manusia yang merasa lebih ‘pandai’ dari Tuhan, sanggup mempertikaikan tentang peraturan Allah di muka bumi ini.
Allah SWT mengurniakan berbagai-bagai jenis ilmu kepada manusia. Ada ilmu yang bermanfaat dan ada ilmu yang merosakkan. Sebagaimana firman-Nya:
“Kami mengilhamkan kepada jiwa itu dua jalan, jalan kejahatan dan jalan taqwa.”
(As-Syams: 8)

Untuk kebahagiaan dan kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat, Allah telah mewajibkan kita mempelajari, memahami dan menghayati ilmu-ilmu agama bersungguh-sungguh. Di samping itu, ilmu-ilmu tentang dunia juga dituntut mempelajarinya supaya kita dapat mengatur dan menjalani kehidupan dengan sebaik-baiknya.

Ilmu yang kita miliki itu biarlah yang bermanfaat, iaitu ilmu yang dapat mendekatkan kita kepada Allah. Yakni semakin banyak ilmu, semakin bertambah rasa kehambaan kepada-Nya. Misalnya, semakin tinggi ilmu, semakin rasa hina dan lemah di hadapan Tuhan.
Sebaliknya, jika makin bertambah ilmu, makin sombong, makin tidak beramal, ertinya ilmu itu bukanlah ilmu yang membawa manfaat kepada tuannya walaupun ilmu yang dimilikinya ialah ilmu agama.

Jadi, niat mesti betul dalam kita hendak menuntut apa saja ilmu. Biarlah ilmu yang kita pelajari itu untuk mencari keredhaan Allah semata-mata, iaitu dapat menjadi penyuluh hidup kita di jalan yang diredhai-Nya.
Antara ilmu yang wajib kita tuntut ialah:

Ilmu Tauhid. Iaitu ilmu tentang iman dan akidah. Ilmu ini penting untuk mencegah daripada kekufuran, mencegah maksiat dan mengesahkan ibadat. Dengan ilmu tauhid seseorang itu terdorong mengerjakan syariat, berakhlak, mencintai Allah, bertawakal kepada Allah, sabar, redha dan takut serta harapkan Allah.

Ilmu Tasawuf. Ilmu tentang akhlak dan bagaimana membersihkan hati. Peranan ilmu ini ialah untuk membersihkan hati dari dosa, kesalahan dan kesilapan. Ia dapat menghidupkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Seterusnya dapat mengikhlaskan hati , menghalusi akhlak dengan Allah dan manusia.

Ilmu Syariat. Ilmu tentang ibadah, adab, peraturan dan ketetapan perintah Allah. Dengan adanya ilmu syariat ini dapat melahirkan orang yang berdisiplin, menghormati undang-undang, mencetuskan kehidupan lahir yang bersih, dapat menegakkan keadilan dalam kehidupan, dapat menyelesaikan sebarang masalah dan terhindar dari perkara yang sia-sia.

Orang yang berilmu yang benar-benar mengamalkan ilmunya, adalah tinggi darjatnya di sisi Allah. Firman-Nya:
“Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu dan begitu pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
(Al Mujadalah:11)

Orang berilmu yang tawadhukn dengan ilmunya dan mengamalkan ilmunya itulah yang akan diangkat darjatnya oleh Allah. Sebaliknya jika kita sombong dengan ilmu, kita akan dimurkai dan mendapat laknat daripada Allah.
Apalah yang hendak disombong dan dibanggakan, bukankah ilmu yang ada pada kita hanya serpihan atau sebesar debu di jalanan. Ilmu itu adalah limpahan nur daripada Allah, tanpa izin-Nya kita tidak akan memperoleh apa-apa manfaat pun daripadanya!.

2 comments:

Anonymous said...

Perkongsian yang menginsafkan. Kadangkala apabila kita mempunyai sesuatu ilmu dan dapat menyampaikan dengan baik pada individu lain timbul masalah hati. Masalah hati inilah yang merungkaikan kita daripada keberkatan ilmu, akibatnya tidak diamalkan..seterusnya menyebabkan kita terlaknat dengan ilmu yang kita ada. Nauzubillah.

Teringat kembali quote arab " al-ilmu bila 'amal ka syajar bila thamar"

Dewasa ini, ramai yang menuntut ilmu tapi kurang penghayatan dan implimentasi dalam hidup. Seperti ramai mampu berbicara tentang islam tapi kurang penghayatan.

~mungkin komen ni agak lari dari maksud artikel.sekadar perkongsian.

H.R PuTeRa YuSoFF said...

Alhamdulillah masih byk lagi yang berjalan atas tali Allah...
jemput dtg blog saya... http://putera-yusoff.via.my

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...