Monday, November 30, 2009

Melangkah ke husnu-zone!

InsyaAllah, kali ni saya ingin berkongsi satu artikel berkenaan bersangka baik. Artikel ni diambil dari Pelita Brunei. Memandangkan hati ini mula menunjukkan symptom2 mazmumah ni eloklah diubat dengan peringatan secepat mungkin kerana inilah tandanya hati kita sudah sakit. Moga-moga selepas ini ianya dapat membina sangkaan yang baik-baik terhadap apa yang berlaku kepada kita. Lebih-lebih lagi berbaik sangka dengan Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud:

“ Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain.”
(Surah al-Hujurat 49:12)

Oleh itu, teruskan membaca. Semoga yang meng’post’ lebih banyak dapat manfaat daripada yang membaca…
Mulianya sifat berbaik sangka

Hubungan baik sesama manusia khususnya antara orang Islam haruslah diusahakan dengan sebaik mungkin. Di dalam al-Qur'an, Allah subhanahu wata'ala telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Ini bertepatan dengan firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al Hujuraat ayat 10, tafsirnya:

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Ini bermaksud, kita sebagai hamba-Nya mestilah menanamkan sifat atau sikap berhubungan baik sesama kita sebagai muslim dan juga memperkukuh dan memantapkan persaudaraan. Islam menuntut umatnya agar memelihara hubungan persaudaraan sebaik mungkin. Salah satu daripadanya ialah dengan bersangka baik dengan apa jua yang kita dengar atau pandang sekalipun perkara berkenaan kita pandang dengan mata dan dengar dengan telinga kita sendiri. Jika perkara ini timbul lebih-lebih lagi dengan perkara negatif, janganlah terus diterima bulat-bulat, jauh sekali dari terus memberikan tindak balas yang juga bersifat negatif. Selidiki akan kebenaran dan ketidakbenarannya. Seseorang yang ditimpa musibah umpamanya kecurian, akan merasakan dirinya dalam ketakutan dalam menghadapi hari mendatang kerana merasa sangat jera perkara yang sama akan berlaku dan dari sini akan timbul prasangka buruk dan yakin musibah berkenaan akan datang lagi menimpa diri dan keluarganya, di samping menuduh atau membenci segala apa yang melibatkan musibah itu berlaku. Sewajarnya mereka bersyukur dengan segala kejadian yang menimpa kerana ada rahmat di sebaliknya. Kemungkinan kejadian ini akan menjadikan mereka berhati-hati, berwaspada dan bersabar, di samping muhasabah diri dan berusaha dan mencari punca sebab kejadian berlaku.

Namun bagi mereka yang mempunyai iman yang mantap, mereka akan bersangka baik dan menganggap semua itu datangnya dari Allah subhanahu wata'ala dan yakin ada hikmat di sebalik semua yang berlaku. Apapun jua, sebagai hamba-Nya yang beriman hendaklah berpandukan kepada ajaran-Nya dan sunah Rasulullah sallallahu Alaihi wasallam.
Firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al Hujuraat ayat 6, tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Jauhkanlah diri kita daripada beranggapan negatif kerana andainya bersikap demikian akan menghancur dan merosakkan ukhuwah sesama kita. Kita hindarkan diri dari bersifat bersangka buruk yang ada di dalam diri seseorang, malahan juga pada saat-saat waktu akibat terpengaruh dengan keadaan persekitaran.

Dengan bersangka baik, hubungan sesama sahabat dan saudara akan terhindar dari keretakan dan pecah belah malah keharmonian akan dikecapi kerana tiada perasaan bersangka buruk bersarang di dalam hati dan fikiran kita. Selain itu, dengannya jua menghindarkan orang lain dari menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang nyata.

Dalam mengharungi kehidupan dan situasi kehidupan yang penuh pancaroba dan pergolakan ini, pastinya pelbagai perkara yang kita lihat sama ada perkara itu kita ingini atau kurang kita ingini, umpamanya, kita sewajarnya turut bersyukur dan berbahagia dengan kejayaan orang lain walaupun diri kita sendiri belum ke arah itu.
Janganlah kita merasakan diri kita kurang bertuah atau menyalahkan nasib kerana tidak memiliki nikmat seumpamanya. Malah jadikanlah perkara ini akan lebih membuatkan diri dan kehidupan kita sentiasa tenang dan terhindar dari berperasaan iri hati, jauh dari bersangka buruk dengan mengatakan mereka memperolehinya dengan cara yang salah dan sebagainya. Bagi mereka yang beriman ianya lebih memberikan semangat untuknya dan akan terus berusaha mengikut jejak mereka dalam meraih kejayaan kerana yakin bahawa kejayaan yang mereka perolehi datangnya dari Allah, di samping berusaha yang lebih jitu.

Bersangka buruk pula boleh mendatangkan dosa kerana tanpa asas yang kukuh mengakibatkan terjadinya sifat-sifat buruk yang lain yang merosakkan hubungan kita dengan orang lain umpamanya mencerca, mengumpat, ghibah, benci, hasad dengki, menjarakkan hubungan dengan orang lain. Seperti firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah Al Hujuraat ayat 12, tafsirnya:

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan kea'iban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

Berburuk sangka merupakan perkara yang amat merugikan kerana disebabkannya terhasillah dosa dan sebesar-besar pembohongan atau dusta. Berbohong atau berdusta merupakan satu perbuatan yang jika sekali dicuba akan menjadi kebiasaan atau kelaziman. Dusta seseorang yang biasa berdusta bukanlah merupakan paksaan, tetapi sudah merasa seronok berbuat demikian. Dia akan merasa puas dan bangga apabila pendengarnya merasa kagum dan terpukau.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Rasulullah sallallahu Alaihi wasallam bersabda, bermaksud:

"Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran, dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta."

Sebagai mukmin sejati, perkara seumpama ini hendaklah dihindari dan menyedari betapa berburuk sangka sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi terhadap sesama muslim. Apabila perasaan ini timbul, maka segeralah kita bertaubat dan meminta ampun kepada Allah subhanahu wata'ala. Berusaha dan cegah serta jauhi perkara demikian kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud menyesatkan dan menyelewengkan kita dan akidah kita akan terpesong dan hancur. Kita sewajarnya memperkukuh jalinan persaudaraan antara sesama kita dan memperkembangkan sifat berbaik sangka, bukannya berburuk sangka.

No comments:

Jangan nodai Ramadhanmu…

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan ibadah dan perjuangan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bagaimana dengan puasa k...